dloanman
CG Top Poster Club

- Messages
- 46,541
Top Poster #10
- Joined
- Apr 15, 2012
- Messages
- 46,541
- Reaction score
- 4,820
- Points
- 266
Kos binaan naik 40 peratus, harga rumah dijangka melonjak
Kuala Lumpur: Kenaikan kos pembinaan antara 30 hingga 40 peratus dijangka memberi tekanan kepada harga rumah kerana kebanyakan pemaju tidak mampu menyerap sepenuhnya peningkatan kos bahan binaan.
Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, kos bahan binaan seperti simen, keluli dan pasir menyumbang sebahagian besar dalam struktur kos projek.
Beliau berkata, secara teknikal apabila kos input meningkat, pemaju mempunyai dua pilihan sama ada menyerap kos berkenaan yang akan menjejaskan margin keuntungan atau memindahkan sebahagiannya kepada pembeli melalui harga jualan lebih tinggi.
"Dalam realiti semasa, kebanyakan pemaju tidak mampu menyerap keseluruhan kenaikan kos, jadi sedikit sebanyak ia akan diterjemahkan kepada kenaikan harga rumah.
"Namun, kesannya tidak seragam. Projek dalam kategori mampu milik mungkin lebih dikawal melalui polisi kerajaan, manakala projek komersial atau 'high-end' lebih mudah mengalami kenaikan harga," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, kenaikan kos berkenaan juga memberi tekanan signifikan kepada pemaju dari segi kos operasi keseluruhan termasuk logistik, tenaga kerja dan pembiayaan.
Muhammad Azwan berkata, keadaan rantaian bekalan global yang masih tidak stabil seperti gangguan penghantaran, konflik geopolitik dan turun naik harga bahan mentah meningkatkan lagi ketidakpastian kepada pemaju.
Katanya, situasi itu menyukarkan pemaju membuat anggaran kos yang tepat pada peringkat awal projek.
"Keadaan ini boleh menyebabkan kos projek meningkat (cost overrun), tempoh pembinaan tertangguh dan aliran tunai pemaju terjejas," katanya.
Katanya, dalam keadaan tertentu pemaju juga akan menangguhkan atau menyusun semula pelancaran projek perumahan.
"Situasi ini juga memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan pembeli kerana harga serta tempoh siap projek menjadi kurang pasti," katanya.
Menurutnya, pendekatan bersepadu perlu diambil bagi mengawal kesan kenaikan kos supaya harga rumah kekal mampu milik.
Katanya, pemaju boleh mengoptimumkan reka bentuk projek, mengguna pakai teknologi seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan memperkukuh strategi perolehan bahan.
"Kerajaan juga boleh memainkan peranan melalui pemberian insentif bersasar, kawalan harga bahan kritikal dalam situasi tertentu dan mempercepatkan proses kelulusan projek.
"Langkah jangka panjang seperti memperkukuh rantaian bekalan tempatan juga penting bagi memastikan harga rumah kekal lebih stabil dan mampu dimiliki," katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, industri pembinaan negara dijangka berdepan kenaikan kos bahan binaan antara lima hingga 15 peratus pada kadar minimum dan boleh mencecah sehingga 30 hingga 40 peratus jika konflik di Asia Barat berlarutan, sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian industri.
Pengerusi Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Negeri Perak merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat, Mohd Hawarie Tan Muzi berkata, unjuran itu bergantung kepada tempoh konflik, gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan kos bahan api yang terus menekan kos operasi pembinaan.
sumber - https://www.hmetro.com.my/mutakhir/...naik-40-peratus-harga-rumah-dijangka-melonjak