BTC USD 76,604.1 Gold USD 4,361.32
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kenaikan Kos Bahan Binaan Masih Terkawal - Nanta

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,719
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,719
Reaction score
97
Points
80

Kenaikan Kos Bahan Binaan Masih Terkawal - Nanta​

ea1a5929fda8b5b1ae3725e9cb49dd5b6018db94e6851


Peningkatan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan dunia masih berada pada tahap terkawal.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata buat masa ini kontraktor masih mampu menyerap kenaikan kos berkenaan dan meneruskan projek tanpa sebarang penangguhan.

“Buat masa ini, keadaan masih berada dalam kadar yang boleh dikawal dan tidak memerlukan penambahan peruntukan.

“Namun, kita akan terus memantau keadaan. Sekiranya berlaku kenaikan harga secara mendadak, kita mempunyai strategi untuk menanganinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference di sini, hari ini.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan kajian berhubung kesan krisis tersebut terhadap industri pembinaan dan membentangkan hasil kajian itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata kajian itu merangkumi strategi jangka pendek dan panjang bagi menangani sebarang kesan ekonomi, khususnya melibatkan rantaian bekalan dan kos bahan binaan.

“Kita perlu faham bahawa sektor pembinaan merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi negara. Jika projek-projek ditangguhkan, ekonomi boleh terjejas kerana peruntukan disediakan tidak dibelanjakan dalam sektor pembinaan.

“Atas sebab itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek-projek sedia ada walaupun terdapat kenaikan harga, kerana ia masih berada pada tahap yang boleh ditangani.

 

Pemaju swasta berdepan tekanan margin keuntungan jika kos bahan terus naik: Sim​


  • Jun 19, 2026, Jumaat - 4:36pm
kch-ub190626-hl-sheda-p1.jpeg
SIM

KUCHING: Walaupun bekalan bahan binaan di Sarawak kekal stabil, namun pemaju swasta dijangka berdepan tekanan margin keuntungan sekiranya kos pembinaan terus meningkat, kata Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Kuching Dato Sim Kiang Chiok.

Menurutnya, kenaikan kos yang berpunca daripada ketegangan geopolitik di rantau Teluk memberi kesan kepada beberapa komponen utama industri pembinaan termasuk bahan api, logistik dan bahan binaan import.

“Bagi pemaju swasta di Kuching, margin keuntungan mungkin terjejas sekiranya harga bahan terus meningkat. Namun, keadaan semasa masih jauh berbeza berbanding gangguan bekalan yang dialami ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media sebagai mengulas laporan mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi bahawa projek infrastruktur awam di seluruh negara masih dapat diteruskan mengikut jadual kerana kerajaan masih mampu menyerap peningkatan kos bahan binaan.

Menurut Sim, maklum balas yang diterima daripada pemain industri menunjukkan kos diesel, pengangkutan, keluli, simen dan bahan binaan import telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan rantaian bekalan tempatan di Sarawak masih berfungsi dengan baik dan tiada laporan mengenai kekurangan bekalan bahan utama seperti simen, besi tetulang, agregat dan konkrit bancuh siap secara meluas.

Menurutnya lagi, kebimbangan utama industri ketika ini bukanlah mengenai ketersediaan bahan binaan, sebaliknya peningkatan kos input yang berlaku secara beransur-ansur.

Sim berkata, sektor pembangunan swasta di Sarawak masih menunjukkan aktiviti yang memberangsangkan walaupun berdepan peningkatan kos operasi, sekali gus membuktikan daya tahan industri terhadap cabaran ekonomi semasa.

Beliau menyambut baik kenyataan Nanta bahawa kerajaan telah menyediakan pelan mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menghadapi sebarang peningkatan kos pembinaan susulan konflik geopolitik yang berlaku.

Pada masa yang sama, Sim berkata terdapat perkembangan positif yang boleh membantu meredakan tekanan kos dalam sektor pembinaan selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran baru-baru ini.

Katanya, perkembangan tersebut telah membantu mengurangkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global dan membuka laluan ke arah pembukaan semula Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan penting bagi minyak dan gas asli cecair dunia.

“Penurunan harga minyak global sejak kebelakangan ini berpotensi mengurangkan kos pengangkutan, logistik dan pembuatan bahan binaan.

“Walaupun kesannya mungkin mengambil masa untuk dirasai dalam rantaian bekalan, industri berharap tekanan kos yang dialami sebelum ini akan mula reda pada separuh kedua tahun 2026,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Sim mengingatkan bahawa pemain industri masih perlu berwaspada kerana sebarang gangguan baharu terhadap pasaran tenaga global boleh memberi kesan semula kepada kos pembinaan.

“Setakat ini, sektor pembinaan Sarawak kekal berdaya tahan dan apa yang kita hadapi adalah peningkatan kos yang sederhana, bukannya krisis bekalan bahan binaan,” tegasnya.

 
Back
Top
Log in Register