kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,699
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,699
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Jerebu: JAS Negeri Sembilan Tingkat Kawalan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan meningkatkan kawalan bagi kawasan daratan terutama terhadap aktiviti pembakaran terbuka susulan keadaan jerebu yang semakin serius di beberapa daerah di negeri ini.
Pengarah JAS Negeri Sembilan Abdul Aziz Parmin berkata antara punca yang turut diberi perhatian adalah kilang, kuari, kenderaan bermotor, projek pembangunan, pembukaan tanah serta apa-apa aktiviti yang boleh menyumbang kepada pelepasan habuk sehingga menyebabkan pencemaran udara.
“Keutamaan ketika ini adalah meningkatkan kawalan di daratan, terutama terhadap aktiviti pembakaran terbuka, tanpa mengabaikan punca lain yang boleh menyumbang kepada pelepasan habuk atau jerebu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan surat kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh daerah supaya bersama-sama meningkatkan penguatkuasaan terhadap punca pencemaran.
Abdul Aziz berkata kualiti udara di beberapa kawasan di Negeri Sembilan berada pada tahap tidak sihat, dengan Nilai merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 172, Seremban (168) dan Port Dickson (155) setakat 12 tengah hari ini.
Beliau berkata segala tindakan berkaitan keadaan jerebu akan dirujuk kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, manakala di peringkat negeri pihaknya akan sentiasa mengemas kini laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Dalam pada itu, mengenai pembenihan awan, Abdul Aziz berkata perkara itu akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat pusat berdasarkan bacaan IPU semasa dan mengikut keperluan.
