combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
TH Disaran Jalin Kerjasama Dengan PNB Perkukuh Pengurusan Aset, Pelaburan - Pakar
Pensyarah Perakaunan dan Percukaian Universiti Antarabangsa Al-Madinah Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai
Lembaga Tabung Haji (TH) disaran menjalinkan kerjasama strategik dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB), bagi memperkukuh pengurusan aset serta pelaburannya sebagai usaha untuk meningkatkan prestasi institusi itu dalam jangka masa panjang, kata pakar ekonomi.
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata langkah itu wajar dipertimbangkan, memandangkan TH kini menguruskan aset bernilai hampir RM100 bilion, yang memerlukan struktur tadbir urus serta pengurusan portfolio yang matang dan berdisiplin.
Beliau berkata dalam hal berkenaan, PNB boleh dijadikan penanda aras berdasarkan pengalaman institusi itu dalam mengurus portfolio pelaburan berskala besar.
“TH dilihat masih tidak mempunyai satu disiplin pengurusan portfolio yang matang, menyebabkan mudah dipengaruhi oleh pihak luar dan ahli lembaga pengarah sehingga menjadikan pelaburannya tidak cukup mantap, jika dibandingkan dengan PNB atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya memikirkan kemungkinan dalam jangka masa panjang, sama ada TH memberikan kontrak kepada institusi seperti PNB untuk mengurus portfolionya atau TH perlu mewujudkan pasukan pengurusan pelaburan yang betul-betul berkelayakan, serta mempunyai disiplin pengurusan portfolio yang mantap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Barjoyai berkata disiplin portfolio yang jelas perlu menetapkan peruntukan bagi setiap kelas aset, termasuk pelaburan berpendapatan tetap, pasaran saham tempatan, tawaran awam awal (IPO), pelaburan asing, hartanah dan pelaburan jangka masa panjang.
Beliau berkata peruntukan tersebut perlu berasaskan kajian portfolio yang kukuh dan dipatuhi secara konsisten, bagi mengelakkan TH terlalu terdedah kepada pelaburan yang berorientasi keuntungan jangka masa pendek.
“Kalau kita lihat misalnya KWSP, mereka telah menguruskan pelaburan sejak sekian lama dan mempunyai satu disiplin portfolio, iaitu ada peratusan tertentu bagi pelaburan yang boleh dilaksanakan seperti peratusan untuk pelaburan pendapatan tetap, pasaran saham tempatan, IPO, pelaburan asing, hartanah dan pelaburan jangka masa panjang.