kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Penggunaan Anggaran Pengurusan Nilai Aset TH Undang Risiko Kewangan - Pakar
Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa RM4.044 bilion daripada penilaian aset hartanah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2017 hanya berdasarkan anggaran pengurusan, disifatkan pakar ekonomi sebagai tindakan berisiko tinggi terhadap kedudukan kewangan institusi itu.
Dapatan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 itu menunjukkan hanya RM556 juta daripada jumlah keseluruhan penilaian RM4.6 bilion dibuat berdasarkan laporan penilai profesional.
Pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata penggunaan anggaran pengurusan dalam menentukan Nilai Aset Yang Boleh Direalisasi (RAV) mendedahkan institusi kepada risiko nilai aset yang "terlalu optimistik", memandangkan pihak pengurusan mempunyai kepentingan langsung terhadap gambaran kewangan mereka.
Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata meskipun keadaan itu tidak semestinya membuktikan berlaku manipulasi, namun penilaian kendiri tidak memberikan tahap keyakinan yang sama seperti penilaian oleh penilai profesional bebas.
"Jika nilai aset dianggarkan lebih tinggi daripada nilai yang benar-benar boleh direalisasikan, RAV akan kelihatan lebih besar, dan kedudukan kewangan TH boleh kelihatan lebih kukuh daripada keadaan sebenar," katanya kepada Bernama ketika mengulas laporan berkenaan.
Barjoyai berkata situasi itu berpotensi memberikan ruang kepada agihan hibah yang lebih tinggi daripada tahap selamat, justeru beliau mencadangkan agar hartanah bernilai besar dinilai secara bebas menggunakan kaedah konsisten serta disokong bukti pasaran yang jelas.
Beliau berkata pengiraan RAV juga perlu mempunyai piawaian yang jelas, diaudit secara bebas serta disahkan oleh jawatankuasa khas terdiri daripada pakar pelaburan dan akauntan bertauliah.
"Angka yang digunakan untuk menentukan kemampuan agihan hibah mesti memenuhi prinsip asas tadbir urus kewangan, iaitu konservatif, boleh disahkan dan tidak terlalu bergantung kepada anggaran pihak yang berkepentingan terhadap keputusan tersebut," katanya.