BTC USD 75,680.9 Gold USD 4,352.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Penutupan Windsor, LC dedah tekanan rumah penjagaan kecil; pakar kata isu bukan sekadar wang

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Penutupan Windsor, LC dedah tekanan rumah penjagaan kecil; pakar kata isu bukan sekadar wang​

screenshot_2026-07-02_085811.jpg

Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home (kiri) dan LC Nursing Home (kanan) mendedahkan cabaran yang sudah lama dihadapi pengendali rumah-rumah jagaan bersaiz kecil. (Gambar: Google Street View, Instagram/LC Nursing Home)

SINGAPURA: Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home dan LC Nursing Home mendedahkan tekanan yang sudah lama dihadapi para pengendali rumah jagaan yang lebih kecil, daripada kekurangan tenaga kerja hingga peningkatan kos operasi, menurut para pakar dan pengendali yang ditemui Mediacorp.

Namun, mereka menegaskan cabaran struktur itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan bagi kelemahan serius dalam aspek tadbir urus dan penjagaan yang menyebabkan kedua-dua rumah jagaan tersebut ditutup.

IKLAN

Profesor Madya Wee Shiou Liang, seorang pakar gerontologi dari Sekolah Pembangunan Insan S R Nathan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata saiz kedua-dua rumah jagaan yang agak kecil itu mungkin meletakkan mereka dalam keadaan yang kurang menguntungkan.

"Ini merupakan dua rumah jagaan kecil yang tidak menikmati kelebihan skala ekonomi seperti pengendali-pengendali yang lebih besar, dan bergelut untuk memenuhi piawaian asas penjagaan," kata beliau.

Namun, beliau mengingatkan agar penutupan tersebut tidak dianggap sebagai bukti berlakunya kelemahan secara meluas dalam sektor berkenaan.

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa masalah ini bersifat sistemik, dan saya berharap ia hanyalah kes yang terpencil," kata beliau.

Sebaliknya, beliau berkata kedua-dua kes itu mencerminkan kelemahan yang berbeza-beza. Kelemahan di LC Nursing Home berterusan meskipun audit dijalankan berulang kali, dengan tempoh pemulihan diberikan, sekali gus menunjukkan ketidakupayaan pertubuhan tersebut. Sementara itu, Windsor Convalescent Home pula berdepan dengan kegagalan dalam tadbir urus klinikal dan pengawasan kepimpinannya.

IKLAN

Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini menyatakan hasrat untuk berkongsi dapatan auditnya dengan sektor tersebut serta bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi memperkukuh sokongan, termasuk menyediakan latihan untuk membantu rumah-rumah jagaan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehingga 2024, Singapura mempunyai 88 rumah jagaan yang terdiri daripada 35 pengendali awam, 30 pengendali swasta dan 23 pengendali bukan berasaskan keuntungan. Mediacorp sudah menghubungi MOH untuk mendapatkan angka yang lebih terkini serta jumlah rumah jagaan bersaiz kecil di negara ini.

SUMBER TERHAD, KEKURANGAN TENAGA KERJA

Tekanan sedemikian sememangnya sudah menjadi kebiasaan bagi pengendali rumah jagaan yang lebih kecil seperti Cik Irene Ong, yang mengendalikan Irene Nursing Home di Jalan Ampas dan Serene Nursing Home di Joo Chiat.

Kedua-dua rumah jagaannya, yang mempunyai kapasiti lebih 100 katil secara keseluruhan, beroperasi di bangunan yang diubah suai dan bukannya dibina khusus sebagai rumah jagaan.

IKLAN

Selain mengawasi operasi, beliau turut melakukan rondaan harian di wad, melatih kakitangan dan memeriksa sendiri tugas-tugas klinikal.

"Kami tidak mempunyai banyak sumber dan tenaga kerja, jadi kami perlu melakukan pelbagai tugas," kata beliau.

Seperti kebanyakan pengendali lain, beliau banyak bergantung kepada pekerja asing, yang kebanyakannya akan pulang selepas kontrak mereka tamat, sekali gus memaksa rumah jagaan untuk terus merekrut dan melatih pekerja baharu.

Beliau juga membelanjakan sekitar S$400,000 untuk menaik taraf kemudahan di Serene Nursing Home untuk memenuhi keperluan peraturan.

"Saya tidak akan kata ia sukar untuk mematuhi peraturan, tetapi ada kalanya ia mencabar," kata beliau.

IKLAN

"Kami perlu berusaha untuk mematuhinya demi keselamatan pesakit."

Pengalamannya mencerminkan tekanan yang lebih meluas yang dihadapi rumah-rumah jagaan bersaiz kecil dalam mengimbangi kemampuan kos, tenaga kerja dan pematuhan terhadap peraturan, menurut para pakar yang ditemui Mediacorp.

"Penjagaan di rumah jagaan di sini dibiayai menerusi gabungan subsidi pemerintah yang berdasarkan ujian kemampuan (means-testing), MediFund dan bayaran sendiri, dan sektor ini juga telah meningkatkan kapasitinya dengan ketara sepanjang sedekad lalu," kata Profesor Madya Wee.

"Namun, kos tenaga kerja merupakan perbelanjaan terbesar dan ia terus meningkat."

Menurut beliau, tidak seperti pengendali yang lebih besar, rumah jagaan kecil sering kali bergelut untuk mengagihkan kos tetap seperti tadbir urus klinikal, latihan kakitangan dan sistem pengurusan bermutu bagi bilangan penghuni yang lebih ramai, sekali gus menjadikan "tekanan antara kemampuan kos dan kualiti" lebih ketara.

"Namun tekanan kewangan adalah satu penjelasan, bukannya alasan. Kegagalan di kedua-dua rumah jagaan ini berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan keupayaan asas, yang tidak dapat diselesaikan dengan wang semata-mata."
Rumah Jagaan Windsor Convalescent Home di Pasir Panjang Road pada 18 Jun 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Profesor Madya Kelvin Tan, ketua program Minor dalam Pengajian Penuaan Gunaan di SUSS, berkata kekurangan tenaga kerja kekal sebagai antara cabaran struktur terbesar yang dihadapi sektor itu.

"Rumah jagaan di negara yang mempunyai penduduk yang semakin menua berdepan cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja bagi mengendalikan operasinya, mereka bersaing sesama sendiri, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, selain bersaing dengan sektor lain," kata beliau sambil menambah bahawa pekerja asing juga perlu direkrut dan dilatih.

Beliau turut menarik perhatian kepada tekanan kewangan yang dihadapi penyedia perkhidmatan, dengan banyak rumah jagaan bukan berasaskan keuntungan bergantung kepada sumbangan bagi menyokong pembiayaan pemerintah, manakala pengendali swasta lazimnya menempatkan para penghuni yang mampu membayar yuran lebih tinggi.

Ketua Pegawai Hospital Kwong Wai Shiu, Dr Mok Ying Jang, berkata isu tenaga kerja kekal sebagai antara cabaran operasi terbesar bagi rumah jagaan, yang banyak bergantung kepada jururawat dan kakitangan penjagaan warga asing yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bahasa, budaya dan amalan klinikal tempatan.

Menurut beliau, peningkatan kos tenaga kerja turut menjejaskan kemampanan kewangan pengendali, manakala sebahagian keluarga masih bergelut untuk membayar yuran rumah jagaan meskipun menerima subsidi berdasarkan ujian kemampuan.

Tambah beliau, keluarga yang pendapatannya melebihi had kelayakan subsidi mungkin memilih rumah jagaan yang mengenakan yuran yang lebih rendah berbanding pengendali lebih besar yang lazimnya mengikut garis panduan yuran MOH dan AIC.

Bagi pengendali amal seperti Hospital Kwong Wai Shiu, kemampanan kewangan jangka panjang kekal menjadi kebimbangan kerana usaha mengumpul dana masih diperlukan untuk menampung defisit operasi, kata Dr Mok.
LC Nursing Home. (Gambar: Laman web LC Nursing Home)
PERLUKAH PENARAFAN RUMAH JAGAAN DITERBITKAN?

Tindakan penguatkuasaan yang diambil baru-baru ini turut menghidupkan semula gesaan agar kualiti rumah jagaan didedahkan dengan lebih telus. Namun, para pakar mempunyai pandangan yang berbeza-beza, bukan mengenai sama ada keluarga berhak untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, tetapi tentang cara maklumat tersebut seharusnya disediakan.

Tidak seperti Amerika Syarikat dan Australia, Singapura tidak menerbitkan penarafan awam bagi setiap rumah jagaan berdasarkan kualiti penjagaan atau hasil pemeriksaan yang dijalankan.

MOH sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa dapatan audit dikongsi secara langsung dengan pemegang lesen, yang bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah pembetulan yang diperlukan dengan segera dan berkesan bagi memastikan keselamatan para penghuni.

Kementerian itu turut menjelaskan, memandangkan dapatan audit boleh membawa kepada prosiding pengawalseliaan yang tertakluk kepada prosedur berkanun, MOH tidak memaklumkan para penghuni serta keluarga mereka sebelum sebarang tindakan pengawalseliaan dimuktamadkan.

Namun, Profesor Madya Tan berpendapat ketelusan yang lebih tinggi dapat memperkukuh tadbir urus serta menggalakkan penambahbaikan bagi seluruh sektor itu.

"Tiada sebab untuk kita terlalu berhati-hati," kata beliau sambil menambah bahawa penerbitan dapatan pemeriksaan boleh menggalakkan lebih ramai golongan profesional untuk menyumbang kepada sektor tersebut, selain membantu para penderma mengenal pasti rumah-rumah jagaan yang memerlukan sokongan.

Di Amerika Syarikat, rumah jagaan yang menyertai program Medicare atau Medicaid diberikan penarafan awam lima bintang berdasarkan pemeriksaan kesihatan, tenaga kerja dan ukuran kualiti.

Australia turut menerbitkan penarafan dalam bentuk bintang berdasarkan pengalaman para penghuni, pematuhan terhadap piawaian kualiti, tenaga kerja serta petunjuk-petunjuk penjagaan.

Profesor Madya Wee bersetuju bahawa ketelusan yang lebih tinggi dapat membantu keluarga membuat pilihan yang lebih baik berdasarkan maklumat.

Namun, beliau mengingatkan bahawa sistem penarafan yang tidak dirangka dengan baik boleh mendorong para pengendali untuk mengejar markah pemeriksaan, dan bukannya meningkatkan kesejahteraan para penghuni.

"Sesebuah audit hanya menggambarkan keadaan pada satu-satu masa, dan rumah jagaan sangat berbeza dari segi tahap kesihatan serta kerapuhan penghuni yang mereka jaga. Tanpa pelarasan yang mengikut profil para penghuni, keputusan audit semata-mata boleh mengelirukan, malah boleh menghukum rumah jagaan yang memikul tugas lebih mencabar untuk menjaga para penghuni yang lebih uzur," kata beliau.

Beliau menambah, penerbitan keputusan audit secara berkala juga berisiko mendorong para pengendali untuk memberi tumpuan kepada audit berbanding para penghuni, sehingga mewujudkan amalan yang "terlalu berhati-hati" serta pematuhan yang hanya bertujuan untuk memenuhi syarat, bukannya membawa kepada penambahbaikan sebenar.

Sebaliknya, beliau berkata sebarang rangka kerja pelaporan pada masa hadapan harus mengukur kualiti hidup dan pengalaman sebenar para penghuni, di samping pematuhan terhadap piawaian pengawalseliaan.

 
Back
Top
Log in Register