combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Bukan Sekadar Postur: Rahsia Di Sebalik Tulang Belakang Si Kecil
Dr Saw Lim Beng. Kredit: SMC
Ibu bapa digesa untuk memberikan perhatian terhadap perubahan postur badan anak mereka kerana situasi yang sering dilihat disebabkan oleh postur yang tidak betul atau beg sekolah yang terlalu berat sebenarnya boleh menjadi tanda awal skoliosis, iaitu keadaan tulang belakang melengkung, yang berkembang secara senyap semasa zaman kanak-kanak dan remaja.
Pakar Bedah Robotik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Saw Lim Beng berkata skoliosis ialah keadaan kecacatan tiga dimensi, iaitu tulang belakang melengkung dan berpusing yang memberikan kesan kepada keseimbangan badan secara keseluruhan.
Beliau berkata skoliosis pada kanak-kanak sering kelihatan ringan dan berkembang dengan sangat perlahan pada peringkat awal, namun apabila mereka berada pada fasa tumbesaran pesat antara 10 hingga 15 tahun, tulang belakang boleh berkembang dengan sangat cepat.
"Lengkungan ringan kadangkala boleh menjadi semakin ketara sepanjang fasa pertumbuhan pesat ini," katanya sambil menambah bahawa pemeriksaan susulan secara berkala amat penting bagi membolehkan intervensi perubatan awal dilakukan sekiranya lengkungan mula berkembang.
Dr Saw berkata pada peringkat awal, skoliosis mungkin tidak menyebabkan kesakitan, tetapi apabila berkembang, kesannya menjadi lebih ketara dan kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda amaran seperti sakit otot akibat ketidakseimbangan, bahu atau pinggul yang tidak sekata, dan asimetri badan yang ketara.
Beliau berkata selain itu, skoliosis juga boleh memberikan kesan lebih mendalam yang melibatkan emosi, terutamanya golongan remaja yang bimbang tentang imej badan boleh mempengaruhi keyakinan, penglibatan dalam aktiviti harian dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Dr Saw berkata walaupun postur dan beban berat boleh menyumbang kepada ketidakselesaan belakang, keadaan itu tidak menyebabkan kelengkungan tulang belakang dan menjelaskan bahawa 80 hingga 90 peratus kes skoliosis ialah idiopatik, iaitu punca sebenar tidak diketahui.
Salah faham ini, katanya, sering menyebabkan ibu bapa menyalahkan anak mereka dan melambatkan pemeriksaan perubatan yang sewajarnya, malah ada ibu bapa yang mengharapkan keadaan itu pulih dengan sendiri.
Dr Saw berkata pengesanan awal dapat mengelakkan keperluan pembedahan. Pengurusan awal lazimnya memberikan tumpuan kepada pendekatan bukan pembedahan seperti memakai pendakap khas untuk mengawal perkembangan lengkungan, senaman fisioterapi khusus, dan pemantauan berkala semasa tempoh pertumbuhan.