combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Perbelanjaan Pertahanan Didorong Ancaman Baharu, Bukan Sekadar Dinamik Serantau
Keperluan untuk perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi bukan hanya didorong oleh dinamik serantau tetapi juga oleh ancaman yang muncul, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata beberapa perkembangan telah mengubah pendekatan kerajaan terhadap dasar dan perbelanjaan pertahanan termasuk kemunculan cabaran seperti ancaman siber dan elektromagnet serta penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.
Beliau berkata dalam landskap keselamatan serantau, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat serta perubahan persekitaran keselamatan.
“Ini bukan bermaksud Malaysia secara tiba-tiba melihat mana-mana negara tertentu sebagai ancaman, tetapi jelas terdapat peningkatan aktiviti dan kehadiran tentera di rantau ini, terutamanya apabila persaingan strategik antara kuasa besar semakin meningkat.
“Apabila satu pihak meningkatkan kehadiran atau keupayaannya, lumrah untuk pihak lain bertindak balas sewajarnya. Ini mewujudkan persekitaran keselamatan yang lebih kompleks bagi negara seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memerlukan tambahan peruntukan pertahanan yang berpotensi mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit bagi memastikan negara mempunyai aset dan keupayaan mencukupi untuk menangani persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.
Mohamed Khaled berkata kemungkinan berlaku salah faham atau insiden kecil meningkat menjadi sesuatu yang lebih serius pasti meningkat apabila lebih banyak aset ketenteraan beroperasi dalam ruang geografi yang agak terhad.
Berhubung perkembangan di selatan Filipina termasuk kawasan berhampiran dengan Sabah, beliau berkata walaupun sesuatu insiden tidak melibatkan Malaysia secara langsung, ketegangan di kawasan itu boleh membawa implikasi lebih luas kepada keselamatan negara dan kestabilan di Laut China Selatan.
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia menghormati hak Filipina untuk menentukan pengaturan dan perkongsian pertahanannya berdasarkan keperluan keselamatan negara itu.