BTC USD 76,377.0 Gold USD 4,296.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ancaman Bukan Konvensional Kini Tumpuan Operasi Keselamatan Sempadan Tentera Darat

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,771
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,771
Reaction score
289
Points
146

Ancaman Bukan Konvensional Kini Tumpuan Operasi Keselamatan Sempadan Tentera Darat​

bc3f7fe81a958839e78b89742ecfaca86a8f11b47ab97

Kredit: Tentera Darat

Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman bukan konvensional termasuk penyeludupan, pencerobohan, pemerdagangan manusia, pembalakan dan pemburuan haram.

Pengarah Transformasi Strategik Markas Tentera Darat Kolonel Ahmad Nirman Fariz Zakaria berkata ancaman itu merangkumi pergerakan bahan terlarang seperti dadah dan senjata api yang boleh menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara.

“Kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dan barangan kawalan, sama ada keluar atau masuk ke negara menyebabkan ketirisan yang merugikan pendapatan negara secara keseluruhan,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Ahmad Nirman Fariz berkata selain itu, pemerdagangan manusia di kawasan sempadan seluruh negara turut mengancam keselamatan sosial dan demografi manakala kawasan pantai timur Sabah secara khusus berdepan ancaman keselamatan maritim termasuk kegiatan lanun dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Beliau berkata negara turut berdepan kegiatan pencurian khazanah alam di kawasan sempadan utara Semenanjung dan Kalimantan, termasuk pencerobohan hutan simpan, pembalakan haram dan pemburuan haram yang menjejaskan sumber flora serta fauna negara.

“Ketika era insurgensi, TDM menumpukan operasi memburu pengganas komunis yang menggunakan kawasan hutan tebal dan sempadan negara untuk mengatur gerakan serta menyembunyikan diri daripada pihak keselamatan.

“Ancaman sentiasa berubah dan TDM akan sentiasa menyesuaikan keupayaan untuk menghadapi ancaman yang berubah-ubah ini,” katanya.

Menurut Ahmad Nirman Fariz, Tentera Darat melaksanakan pelbagai operasi secara bersendirian atau bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), agensi keselamatan lain dan pasukan keselamatan Indonesia serta Thailand bagi memastikan keselamatan sempadan negara.

Beliau berkata penggunaan teknologi termasuk dron, sensor, aset komunikasi taktikal serta analisis perisikan digital membantu memperluas keupayaan pemantauan dan pengawasan di kawasan sempadan dalam menghadapi ancaman ini.

 
Back
Top
Log in Register