Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home timbulkan persoalan mengenai standard penjagaan, langkah perlindungan di rumah jagaan
Premis Windsor Convalescent Home. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home menarik perhatian orang ramai terhadap standard penjagaan di rumah jagaan warga emas di Singapura dan menimbulkan persoalan sama ada langkah-langkah perlindungan sedia ada mencukupi.
Walau bagaimanapun, penyokong kebajikan warga emas yang ditemu bual Mediacorp berkata isu sebenar bukanlah kekurangan peraturan, tetapi sama ada peraturan tersebut dipatuhi secara konsisten.
IKLAN
“Singapura mempunyai sistem kawal selia yang sangat ketat,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Perkhidmatan Lions Befrienders, Cik Karen Wee. “Jadi persoalannya ialah: adakah para pengendali mematuhi piawaian yang ditetapkan?”
Di bawah Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HCSA), penyedia perkhidmatan mesti memenuhi pelbagai keperluan yang merangkumi penjagaan pesakit, tenaga kerja, tadbir urus, kawalan jangkitan, pengurusan ubat-ubatan serta pelaporan insiden.
Rumah jagaan warga emas akan diaudit sebelum lesen dikeluarkan atau diperbaharui, dan juga boleh menjalani audit berkala, pemeriksaan mengejut di luar jadual serta siasatan terhadap aduan.
Mereka juga diwajibkan melantik kepimpinan klinikal yang berkelayakan, memastikan kakitangan yang memberikan penjagaan secara langsung menerima latihan yang mencukupi dan berwibawa, serta menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penghuni sejurus selepas mereka diterima masuk.
Selain itu, mereka perlu melaporkan sebarang dakwaan penderaan fizikal, seksual atau psikologi kepada Kementerian Kesihatan (MOH), serta mengekalkan langkah-langkah perlindungan bagi mengelakkan kesilapan pemberian ubat.
IKLAN
Ini termasuk memastikan ahli farmasi mengaudit sistem pengurusan ubat-ubatan sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan. Mereka juga perlu menyediakan peralatan yang mencukupi, melindungi harta benda penghuni serta memastikan bekalan linen yang bersih sentiasa mencukupi.
Walaupun rangka kerja kawal selia yang menyeluruh sudah diwujudkan, Cik Wee berkata kes Windsor sudah pasti akan menyebabkan ahli keluarga tertanya-tanya sama ada audit yang dijalankan mencukupi untuk mengesan masalah sebelum ia menjadi lebih serius. Beliau menyeru agar lebih banyak pemeriksaan mengejut dijalankan.
“Ini akan membantu mengenal pasti pengendali yang lemah,” katanya.
Pengasas dan Pengerusi Tsao Foundation, Dr Mary Ann Tsao, berkata kelemahan serius di rumah jagaan warga emas boleh berpunca daripada kekurangan tenaga kerja, latihan kakitangan yang tidak mencukupi, pemantauan mutu yang lemah serta langkah penjimatan kos.
“Rumah jagaan warga emas yang baik memerlukan kos operasi yang tinggi kerana ia memerlukan ramai tenaga kerja,” katanya. “Bagi memaksimumkan keuntungan, mungkin timbul godaan untuk mengambil jalan pintas dan melaksanakan langkah penjimatan kos yang tidak sesuai.”
IKLAN
KENAL PASTI TANDA-TANDA AMARAN
Walaupun pihak pengawal selia bertanggungjawab menjalankan pemantauan, kedua-dua pakar berkata ahli keluarga tetap memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan utama.
Dr Tsao berkata ahli keluarga perlu menilai tahap sokongan profesional yang disediakan, termasuk akses kepada doktor yang mempunyai latihan sewajarnya, nisbah kakitangan kejururawatan kepada penghuni serta standard keseluruhan pemantauan kesihatan.
Beliau juga mengesyorkan agar ahli keluarga memerhatikan cara kakitangan berinteraksi dengan penghuni serta sama ada penghuni mempunyai pilihan yang bermakna dalam kehidupan harian mereka.
Cik Wee berkata ahli keluarga juga perlu memberi perhatian kepada keadaan fizikal rumah jagaan tersebut.
IKLAN
“Perkara pertama yang perlu anda lihat apabila melangkah masuk ialah infrastrukturnya – adakah ia kelihatan usang? Adakah katil kehilangan roda, atau laci mempunyai pemegang yang rosak? Adakah penghadang katil kelihatan kotor?
“Jika anda sendiri tidak sanggup menyentuhnya, maka anda tahu keadaan itu tidak memuaskan.”
Beliau turut berkata ahli keluarga perlu memerhatikan tahap kebersihan, sama ada terdapat bau yang tidak menyenangkan secara berterusan, dan sama ada penghuni yang meminta bantuan diberi perhatian dengan segera.
Lawatan secara berkala juga sama penting. “Jika anda datang melawat setiap minggu, anda akan tahu jika ada sebarang masalah. Anda tidak boleh sekadar menempatkan orang tersayang di situ dan hanya datang sekali setiap beberapa bulan.”
Menurut Cik Wee, petunjuk yang paling jelas selalunya datang daripada penghuni sendiri.
Perubahan mendadak dalam emosi, selera makan, tingkah laku atau tahap kognitif tidak seharusnya dianggap sebagai proses penuaan yang normal.
Penghuni yang menjadi pendiam, tertekan, luar biasa senyap atau bersungguh-sungguh mahu meninggalkan rumah jagaan mungkin sedang memberi isyarat bahawa terdapat masalah yang lebih serius.
“Kita semua sepatutnya bertanya kepada diri sendiri - apakah jenis penjagaan yang kita mahukan untuk diri kita dan orang yang kita sayangi?” katanya.
Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home timbulkan persoalan mengenai standard penjagaan, langkah perlindungan di rumah jagaan
SINGAPURA: Pembatalan lesen Windsor Convalescent Home menarik perhatian orang ramai terhadap standard penjagaan di rumah jagaan warga emas di Singapura dan menimbulkan persoalan sama ada langkah-langkah perlindungan sedia ada mencukupi. Walau bagaimanapun, penyokong kebajikan warga emas yang...