NDR2026: Majikan sambut baik langkah pemerintah tanggung kos cuti penjagaan anak
Orang ramai di Raffles Place, Singapura, pada 22 Januari 2025. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Perniagaan menyambut baik langkah pemerintah untuk menanggung sepenuhnya kos cuti penjagaan anak, namun sesetengah pihak masih mempersoalkan cara mengatasi kekurangan tenaga kerja ketika pekerja mengambil cuti penjagaan anak.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat komunikasi Betterment Group, Leon Lai, yang mempunyai dua anak, berkata manfaat langkah itu dijangka mengatasi sebarang kekurangan yang mungkin dihadapi syarikat.
IKLAN
“Dengan perancangan awal aliran kerja dan sikap saling memahami antara jabatan, kekurangan tenaga kerja boleh ditangani,” katanya.
Namun, pengarah urusan dan pengasas syarikat teknologi Win-Pro Consultancy, Ronald Soh, berkata bantuan kewangan itu tidak menyelesaikan masalah asas.
“Pada dasarnya, nampaknya beban kos sudah dihapuskan. Namun, orang yang sepatutnya bekerja itu juga tidak ada,” katanya.
“Justeru, ia turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) ekoran tenaga kerja yang terhad.”
Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (23 Ogos) bahawa ibu bapa akan menerima lebih banyak cuti penjagaan anak, dengan pemerintah menanggung sepenuhnya kos majikan bagi skim cuti berkaitan anak yang diwajibkan di sisi undang-undang, sehingga had tertentu.
IKLAN
Buat masa ini, kos tersebut dikongsi antara pemerintah dengan majikan.
Di bawah skim yang dipertingkat itu, setiap ibu bapa akan mendapat lapan hingga 12 hari cuti setahun, bergantung pada jumlah anak warga Singapura mereka berusia bawah 12 tahun. Ini meningkat daripada enam hari setahun bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah, atau dua hari setahun bagi mereka yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) menyifatkan langkah pemerintah itu sebagai komitmen penting untuk menyokong majikan dan keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SNEF, Hao Shuo, berkata bayaran balik kos cuti itu akan memberi majikan lebih banyak kelonggaran dalam menyokong pekerja yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga.
“Sokongan bayaran balik yang dipertingkat juga dapat membantu majikan mengambil langkah menangani cabaran operasi akibat ketidakhadiran pekerja, termasuk mengambil tenaga kerja sementara jika sesuai,” katanya.
IKLAN
BEBAN KE ATAS PERNIAGAAN KECIL-KECILAN
Pengasas bersama kedai sup OMMA Chicken Soup, Josiah Tan, berkata langkah itu akan menjadi “masalah besar” bagi perniagaannya sekiranya pemerintah tidak menanggung sepenuhnya kos tersebut.
Beliau berkata perniagaan sektor makanan dan minuman (F&B) tidak mempunyai pilihan bagi amalan bekerja dari rumah, menyebabkan majikan perlu mencari pengganti.
“Masalah asasnya ialah seseorang tidak hadir, tetapi kerja itu masih perlu dilakukan,” katanya.
Encik Hao mengakui sesetengah majikan akan bimbang dengan perubahan itu, khususnya mereka yang mempunyai ramai pekerja dengan tanggungjawab menjaga keluarga.
IKLAN
Beliau berkata sokongan tambahan, seperti khidmat tenaga kerja sementara, mungkin diperlukan bagi majikan sedemikian.
NDR2026: Majikan sambut baik langkah pemerintah tanggung kos cuti penjagaan anak
Perniagaan menyambut baik langkah pemerintah untuk menanggung sepenuhnya kos cuti penjagaan anak, namun sesetengah pihak masih mempersoalkan cara mengatasi kekurangan tenaga kerja ketika pekerja mengambil cuti penjagaan anak.