kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Majlis Media Malaysia Sambut Baik Langkah Rujuk RUU Kebebasan Maklumat 2026 Kepada JKPK
Majlis Media Malaysia (MMM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) selepas bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Kenyataan MMM hari ini memaklumkan langkah merujuk RUU itu di bawah Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat adalah bagi membolehkan setiap fasal diteliti dengan lebih menyeluruh oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pelbagai pihak berkepentingan lain.
"Perundangan yang mempunyai kepentingan dari sudut Perlembagaan tidak seharusnya diluluskan tanpa penelitian menyeluruh dan pertimbangan sewajarnya kerana Akta Kebebasan Maklumat akan membentuk hubungan antara negara dan rakyat bagi generasi akan datang," menurut kenyataan itu.
Majlis itu memaklumkan RUU berkenaan juga harus memberi kesan perundangan kepada hak rakyat untuk mengakses maklumat yang dipegang oleh pihak berkuasa awam sebagai komponen penting demokrasi berperlembagaan serta hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut MMM, proses di peringkat Jawatankuasa Pilihan memberikan peluang sebenar untuk memastikan RUU itu mencerminkan prinsip pendedahan maksimum dan pengecualian yang digubal secara khusus tertakluk kepada ujian kemudaratan dan kepentingan awam di samping menyelaras serta meminda undang-undang kerahsiaan dan peruntukan kawal selia sedia ada bagi memastikan konsistensi dengan RUU berkenaan.
Sebagai badan berkanun bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 dan diamanahkan untuk mendukung piawaian etika serta profesionalisme dalam bidang berkenaan, MMM bersedia dan berbesar hati untuk memberikan input kepada Jawatankuasa Pilihan.
“Majlis menggesa Jawatankuasa Pilihan agar mengadakan libat urus yang bermakna dengan pengamal media, masyarakat sivil, ahli akademik dan orang ramai sepanjang proses tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurut MMM, akses kepada maklumat menjadi asas kepada kewartawanan yang baik dengan membolehkan wartawan menyiasat perkara berkepentingan awam, mengesahkan dakwaan rasmi, mendedahkan amalan rasuah serta salah tadbir, dan menangani penyebaran maklumat salah.
"Kewartawanan bebas bergantung pada fakta, dan fakta pula bergantung pada akses kepada sesuatu maklumat... oleh itu, Akta Kebebasan Maklumat bukan sahaja satu pembaharuan demokratik malah menjadi prasyarat bagi mewujudkan media yang beretika, profesional dan bertanggungjawab sebagaimana yang disasarkan oleh Akta Majlis Media Malaysia 2025," katanya.