afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Kenyataan exco tak boleh dianggap pendirian kerajaan negeri, kata Adun
Wakil Pakatan Harapan di Negeri Sembilan Teo Kok Seong dan J Arul Kumar kritik kenyataan exco dikatakan umum pelucutan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Teo yang pernah berkhidmat sebagai exco dari 2023 hingga 2026 berkata, pendirian rasmi kerajaan negeri berhubung sebarang perkara lazimnya diumumkan menerusi kenyataan menteri besar atau pejabat setiausaha kerajaan negeri.
“Oleh itu, kenyataan bersama barisan exco hanya mencerminkan pendirian ahli-ahli exco berkenaan dan tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ketua DAP Negeri Sembilan J Arul Kumar menggesa kerajaan negeri menjelaskan pendirian rasminya berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Arul menegaskan bahawa kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh exco itu, mengisytiharkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz adalah sah, bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Ismail Lasim semalam, yang menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa melucutkan jawatan Yang Dipertuan Besar secara sepihak.
Adun Nilai itu berkata, kenyataan yang saling bercanggah membimbangkan memandangkan kedua-duanya merupakan hasil mesyuarat exco Negeri Sembilan yang sama semalam.
“Setiap ahli exco berhak mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza semasa perbincangan. Namun, setelah sesuatu keputusan dibuat, keputusan rasmi kerajaan mestilah satu dan tidak boleh disampaikan dalam bentuk yang berbeza-beza sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“Perbezaan kenyataan rasmi seperti ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan institusi diraja dan perkara yang mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
“Saya menyeru agar menteri besar dan seluruh barisan exco mengambil langkah segera untuk menyelaraskan pendirian rasmi kerajaan negeri serta memberikan penjelasan yang jelas dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Arul berkata, kerajaan negeri harus mendedahkan keputusan sebenar yang dibuat ketika mesyuarat exco semalam, dan kenyataan mana merupakan pendirian rasmi.
Tambahnya, semua perkara melibatkan institusi diraja mesti dikendalikan secara berhati-hati, bertanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang kerana ia melambangkan kedaulatan, sejarah serta identiti negeri.
Semalam, Ismail berkata, isu proklamasi melucutkan takhta Tuanku Muhriz perlu diselesaikan menerusi proses perlembagaan dan perundangan yang sah, bukannya dijadikan isu politik mahupun peribadi.
Hari ini, beberapa ahli exco daripada Umno mengeluarkan kenyataan yang dikatakan mengisytiharkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz. Bagaimanapun, pejabat Ismail masih belum mengesahkan kesahihan kenyataan tersebut.
Dua wakil Perikatan Nasional dalam barisan exco itu, iaitu Fairuz Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat), bagaimanapun tidak menyiarkan semula kenyataan itu.
Dalam pada itu, wartawan veteran Kalimullah Hassan menolak kenyataan exco berkenaan, sambil mempersoalkan bila majlis itu diberi kuasa untuk memutuskan pelucutan takhta Yang Dipertuan Besar.
“Sejak bila exco Negeri Sembilan ada kuasa menyingkirkan raja yang memerintah? Kalau begitu, adakah ini juga boleh berlaku di Pahang? Atau di Kelantan? Atau di negeri-negeri lain?” soalnya menerusi hantaran di Facebook.