NLB lancar kempen 5 tahun galak rakyat SG lebih kerap dan banyak membaca
Kempen ReadSG akan dilancarkan pada September 2026. (Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)
SINGAPURA: Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan melancarkan ReadSG, kempen nasional selama lima tahun bagi menggalakkan rakyat Singapura menjadikan tabiat membaca sebagai rutin seharian.
Kempen itu akan dilancarkan pada 6 September sempena Bulan Membaca Nasional yang diadakan buat julung-julung kalinya.
IKLAN
Menurut NLB, dalam dunia digital yang menyaksikan semakin ramai orang mengakses kandungan berbentuk bacaan pendek dan ringkas, kempen tersebut bertujuan untuk menggalakkan pembacaan bahan yang lebih panjang.
Usaha itu diharap akan dapat meningkatkan daya tumpuan, kemahiran berfikir secara kritis, kesejahteraan mental serta memupuk sifat empati dan kefahaman sosial.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah ReadSG Challenge, yang membolehkan para peserta merekodkan sesi bacaan harian menerusi platform digital pemerintah CrowdTaskSG.
Para peserta akan memperoleh mata ganjaran dan syiling digital yang boleh ditebus sebagai wang tunai apabila berjaya menyelesaikan cabaran.
Turut diperkenalkan ialah Read For Good, yang sebelum ini dikenali sebagai Read for Books, di mana setiap 15 minit yang diluangkan untuk membaca akan menyumbang kepada usaha amal bagi menyokong masyarakat, termasuk program KidSTART Singapore.
IKLAN
Maklumat lanjut mengenai kedua-dua inisiatif itu akan diumumkan semasa pelancaran kempen tersebut.
Majlis pelancaran akan berlangsung di Bangunan Perpustakaan Negara dari pukul 11.00 pagi hingga 6.00 petang, dengan pelbagai aktiviti termasuk ruang membaca bertema, sudut aktiviti dan sesi membaca secara beramai-ramai.
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan menghadiri majlis tersebut sebagai tetamu kehormat dan penaung kempen.
NLB juga akan mengadakan semula Big Book Giveaway pada 19 dan 20 September.
Tahun lalu, sekitar 60,000 buku terpakai diagihkan kepada orang ramai.
NLB lancar kempen 5 tahun galak rakyat SG lebih kerap dan banyak membaca
Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan melancarkan ReadSG, kempen nasional selama lima tahun bagi menggalakkan rakyat Singapura menjadikan tabiat membaca sebagai rutin seharian.