jelasBERITA: Bagaimana SG boleh tambak lebih banyak tanah pada masa depan?
Pulau Bukom merupakan antara pulau yang boleh digabungkan bagi membentuk sebuah pulau lebih besar di bahagian barat. (Gambar fail: Shell)
SINGAPURA: Singapura mempunyai kawasan tanah tebus guna terbesar di dunia dari segi nisbah, merangkumi lebih satu perempat daripada keseluruhan kawasan darat seluas 744 kilometer persegi.
Keluasan tersebut mungkin bertambah tidak lama lagi, dengan beberapa projek penambakan tanah berskala besar bakal dilaksanakan. Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 bahawa Singapura sedang mempertimbangkan untuk menggabungkan beberapa pulau di selatan Pulau Jurong bagi membentuk sebuah pulau lebih besar di bahagian barat dalam beberapa dekad akan datang.
IKLAN
Kerja-kerja persiapan bagi "Long Island", strategi perlindungan pantai berskala besar Singapura, akan bermula pada penghujung 2026 bagi menyediakan asas untuk projek seluas 800 hektar yang dijangka mengambil masa beberapa dekad untuk disiapkan.
Namun, kaedah penambakan tanah konvensional, seperti menambak dengan bahan isian, semakin terjejas oleh kos yang meningkat dan bekalan bahan isian yang terhad, menurut para pakar. Terdapat juga kebimbangan mengenai kesannya terhadap alam sekitar.
Singapura sudahpun meneroka kaedah-kaedah alternatif. Pada September 2025, negara ini menambak 800 hektar tanah di Pulau Tekong menggunakan kaedah polder, yang mengurangkan hampir separuh penggunaan pasir tetapi memerlukan kos penyelenggaraan lebih tinggi.
Apakah keadaan masa depan penambakan tanah di Singapura? Mediacorp mendapatkan pandangan para pakar geoteknikal untuk mengetahuinya.
Berapa luas kawasan tanah tebus guna di Singapura?
IKLAN
Usaha penambakan tanah bermula seawal 1822 di tebing selatan Sungai Singapura, lokasi Boat Quay pada hari ini. Semasa pemerintahan British, kawasan Collyer Quay, Telok Ayer dan kemudian Lembangan Kallang serta Beach Road turut ditambak, menurut BiblioAsia terbitan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Secara keseluruhan, sekitar 300 hektar atau tiga kilometer persegi tanah ditambah ketika itu, kira-kira seluas 420 padang bola sepak. Selepas merdeka, Singapura menambah lagi antara 160 dengan 165 kilometer persegi, dengan keluasan darat negara meningkat daripada sekitar 581.5 kilometer persegi pada 1965 kepada 744 kilometer persegi hari ini.
Sebagai contoh, Skim Penambakan Pantai Timur yang dilancarkan pada 1966 dan dilaksanakan dalam tujuh fasa sehingga 1986, menambak sekitar 15 kilometer persegi tanah yang kini merangkumi Taman East Coast, East Coast Parkway (ECP) dan estet-estet perumahan seperti Marine Parade.
Tanah tebus guna kini membentuk sekitar 28 peratus daripada keseluruhan kawasan darat Singapura, kata Profesor Madya Darren Chian dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Persekitaran di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang mempunyai kepakaran dalam bidang penambakan tanah.
Pada tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, pemerintah memberi tumpuan kepada proses perbandaran yang pesat, di samping pembangunan prasarana penting. Ini mendorong pelaksanaan projek-projek seperti Penambakan East Coast untuk membina perumahan awam dan Lapangan Terbang Changi, kata Profesor Madya Chian.
IKLAN
Dengan ekonomi menjadi semakin matang sepanjang 1990-an dan 2000-an, keutamaan beralih kepada khidmat global bernilai tinggi, dengan pembangunan Pulau Jurong dan peluasan hab kewangan di Marina Bay.
Hari ini, projek penambakan seperti Long Island yang bakal dibangunkan turut memenuhi tujuan untuk meningkatkan daya tahan jangka panjang terhadap perubahan iklim, dengan paras tanah dinaikkan untuk melindungi kawasan pantai daripada kenaikan paras laut, tambah beliau.
Bagaimana Singapura menambak tanah secara tradisional?
Pada tahun-tahun awal, kerja penambakan tanah dilakukan menggunakan bahan daripada bukit yang dipotong, iaitu tanah yang digali dari kawasan berbukit, kata Profesor Chu Jian, Kursi Presiden dalam Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sebagai contoh, bukit-bukit di Tampines digali agar tanahnya dapat digunakan untuk kerja-kerja penambakan, kata beliau.
IKLAN
"Bagi kerja-kerja penambakan tanah pada tahun-tahun berikutnya, kita tidak lagi mempunyai bukit untuk dipotong, jadi kita mula mengimport pasir," kata beliau sambil merujuk kepada Pulau Jurong, Chinese Garden dan Changi East sebagai kawasan-kawasan yang ditambak menggunakan pasir import.
Disebabkan oleh bekalan bahan isian yang terhad, Singapura turut menggunakan tanah liat marin daripada kerja-kerja pembinaan benteng laut serta bahan yang digali daripada projek pembinaan MRT dan bangunan, tambah beliau.
Untuk menambak tanah, benteng atau tembok laut dibina di sepanjang sempadan kawasan yang hendak ditambak sebelum kawasan tersebut diisi dengan bahan-bahannya.
"Sebaik-baiknya, pasir digunakan kerana ia mudah dikendalikan dan tidak mudah dimampatkan. Jika anda menggunakan tanah liat, ia sangat sukar untuk dirawat ... kos untuk memperbaiki keadaan tanah juga akan menjadi lebih tinggi," kata Profesor Chu.
"Tetapi semestinya, kos pasir semakin meningkat dan ia juga mungkin tidak mudah untuk diperoleh."
Cabaran untuk mendapatkan bahan isian yang mencukupi bagi tujuan penambakan tanah menjadi lebih besar apabila Singapura perlu menambak kawasan laut yang semakin dalam, menurut para pakar.
Satu hektar kawasan laut sedalam sekitar 10 meter memerlukan kira-kira 100,000 meter padu bahan isian, sama ada pasir, tanah yang diluluskan atau bahan galian yang diluluskan, kata Encik David Ng dari Institusi Jurutera Singapura (IES).
Kebanyakan kerja penambakan hari ini dilakukan di kawasan dengan kedalaman dasar laut sehingga 20 meter, kata Encik Ng, yang juga merupakan pengasas bersama dan pengarah eksekutif One Smart Engineering.
Dengan mengandaikan purata kedalaman dasar laut pada 20 meter, Long Island yang mempunyai keluasan sebanyak 800 hektar mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 160 juta meter padu bahan isian berdasarkan anggaran kasar. Jumlah tersebut kira-kira bersamaan dengan isi padu 64,000 kolam renang bersaiz Olimpik, kata Encik Ng.
Bagaimana kaedah penambakan tanah berkembang?
Singapura beralih kepada kaedah polder bagi projek terbaharu di Pulau Tekong, dengan menggunakan benteng di sekeliling kawasan serta sistem pengepaman berterusan untuk mewujudkan tanah yang boleh digunakan di bawah paras laut, kata Profesor Madya Chian.
"Kaedah polder mengurangkan dengan ketara jumlah pasir yang diperlukan, tetapi ia melibatkan proses kejuruteraan yang lebih rumit serta kos operasi jangka panjang yang berterusan disebabkan oleh keperluan sistem pengepaman tanpa henti dan penyelenggaraan benteng," kata beliau.
Bahan kitar semula alternatif seperti tanah daripada kerja-kerja penggalian atau tanah liat marin yang dirawat dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasir import, selain mengelakkan sisa pembinaan tempatan daripada dibuang ke tapak-tapak pelupusan. Namun, bahan-bahan tersebut memerlukan rawatan kimia yang khusus dan teknik-teknik penstabilan tanah, tambah beliau.
Bahan-bahan sedemikian merupakan "inisiatif kemampanan yang sangat baik", kata Profesor Madya Edward Park, penyelidik utama di Balai Cerap Bumi Singapura yang kajiannya memberi tumpuan kepada perlombongan pasir. Namun, jumlah bahan yang dihasilkan lazimnya hanya membentuk sebahagian kecil daripada ratusan juta meter padu yang diperlukan bagi projek-projek penambakan berskala besar.
"Selalunya, bahan-bahan tersebut tidak dapat memenuhi permintaan pada skala yang begitu besar," kata beliau.
"Alternatif lain secara teori termasuk pasir buatan (batu yang dihancurkan). Namun, penghasilan pasir buatan pada skala yang diperlukan untuk tunjuan penambakan menggunakan tenaga yang sangat tinggi dan kosnya terlalu mahal. Disebabkan oleh kekangan logistik dan ekonomi ini, pasir akan terus menjadi bahan yang paling banyak diperlukan untuk mewujudkan kawasan daratan berskala besar pada masa akan datang."
Bagi Long Island, para jurutera berkemungkinan menggunakan sistem polder hibrid, dengan benteng perlindungan di kawasan sekeliling serta rangkaian saliran untuk mewujudkan tanah di bawah paras laut. Kaedah tersebut dapat mengurangkan dengan ketara jumlah bahan isian yang diperlukan, kata beliau.
Jika rancangan untuk menggabungkan pulau-pulau di bahagian barat diteruskan, ia berkemungkinan menggunakan pendekatan yang sama seperti pembangunan Pulau Jurong, iaitu dengan membina benteng penahan yang kukuh untuk menghubungkan beberapa pulau di selatan dan menambak kawasan perairan cetek di antaranya bagi membentuk sebuah kawasan daratan yang bersambung, tambah beliau.
"Walaupun pasir semula jadi mungkin masih lagi diperlukan untuk komponen-komponen struktur yang penting seperti asas bagi benteng dan lapisan perlindungan tembok laut, gabungan reka bentuk polder dengan bahan kitar semula tempatan akan membolehkan Singapura melaksanakan projek-projek mega ini dengan kesan terhadap alam sekitar yang jauh lebih kecil," kata beliau.
Bagaimana kesan terhadap alam sekitar dapat dikurangkan?
Para pakar alam sekitar berkata projek penambakan berskala besar akan mengganggu ekosistem serta menyebabkan kehilangan habitat dan kepelbagaian biologi. Sebagai contoh, perairan di sekitar pulau-pulau yang dicadangkan untuk dibangunkan di bahagian barat mempunyai terumbu karang dan hidupan marin yang kaya, yang mungkin musnah atau berubah secara kekal.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan bahawa ia mengiktiraf nilai kepelbagaian biologi pulau-pulau di bahagian barat dan kawasan sekitarnya.
Justeru, ia sedang mengkaji rancangan yang tersedia kerana "adanya keperluan untuk merancang lebih awal dan menyediakan pilihan bagi masa depan".
Sebagai sebahagian daripada proses perancangan, kementerian tersebut akan menjalankan kajian teknikal, termasuk penilaian alam sekitar, sebagai panduan bagi sebarang rancangan pembangunan.
"Sudah tentu, kita tidak dapat mengelakkan sepenuhnya kesan terhadap alam sekitar. Namun, terdapat kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan tersebut," kata Profesor Chu dari NTU, sambil merujuk kepada kajian-kajian alam sekitar sebagai salah satu cara untuk menentukan pendekatan bagi kerja-kerja penambakan.
Ekosistem marin juga boleh dipulihkan selepas kerja-kerja penambakan selesai, kata beliau, sambil merujuk kepada persekitaran baharu di East Coast sebagai contoh.
Encik Ng dari IES berkata kajian sedang dijalankan untuk meneroka pelbagai kemungkinan. "Bagi projek-projek penambakan tanah yang akan datang, kita benar-benar perlu mengkaji dan meneroka penggunaan reka bentuk, kaedah pembinaan serta bahan yang lebih mampan untuk mengurangkan kesan terhadap persekitaran marin dan pantai di sekitarnya," kata beliau.
Salah satu pendekatan yang berpotensi ialah menggabungkan struktur-struktur terapung dengan struktur penahan konkrit bertetulang, iaitu struktur penahan kedap air, bagi mewujudkan ruang bawah laut yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.
Struktur terapung juga boleh digabungkan dengan struktur kedap air untuk mewujudkan ruang yang boleh digunakan di atas paras laut, manakala garis pantai baharu di kawasan tanah tebus guna boleh direka agar ia dapat menyokong hidupan marin, kata beliau.
jelasBERITA: Bagaimana SG boleh tambak lebih banyak tanah pada masa depan?
Singapura mempunyai kawasan tanah tebus guna terbesar di dunia dari segi nisbah, merangkumi lebih satu perempat daripada keseluruhan kawasan darat seluas 744 kilometer persegi.