jelasBERITA: Bagaimana Projek Wolbachia bantu SG basmi denggi
Seorang pegawai NEA melepaskan nyamuk Aedes jantan yang membawa bakteria Wolbachia di sebuah blok HDB. (Gambar fail: NEA)
SINGAPURA: Melepaskan nyamuk untuk memerangi denggi mungkin kedengaran bercanggah dengan usaha mencegah pembiakannya, namun Singapura sudah lebih sedekad membangunkan pendekatan tersebut.
Projek Wolbachia, yang dimulakan pada 2016, menggunakan nyamuk Aedes aegypti jantan yang membawa bakteria Wolbachia untuk membendung jumlah nyamuk berkenaan dan mengurangkan risiko denggi.
IKLAN
Projek itu dilaksanakan selepas kajian makmal dan penilaian risiko selama beberapa tahun, didorong antara lain oleh salah satu penularan denggi paling buruk di Singapura pada 2013 apabila lebih 22,000 kes dilaporkan.
Pengarah Epidemiologi dan Toksikologi Alam Sekitar di Institut Kesihatan Persekitaran (EHI), Dr Chong Chee-Seng, berkata jumlah kes yang tinggi ketika itu mendorong para penyelidik mencari kaedah baharu untuk mengawal jumlah nyamuk.
DAPATKAN PENERIMAAN MASYARAKAT
Apabila para penyelidik mula meneroka penggunaan Wolbachia, belum ada jaminan pendekatan itu akan diterima masyarakat.
Menurut Dr Chong, pihak berkuasa selama bertahun-tahun mengingatkan orang ramai supaya mencegah pembiakan nyamuk. Lantaran itu, cadangan untuk melepaskan nyamuk dengan sengaja di kawasan perumahan mungkin sukar diterima pada peringkat awal.
IKLAN
Wolbachia menarik perhatian para penyelidik kerana bakteria itu wujud secara semula jadi dalam lebih 60 peratus spesies serangga, termasuk rama-rama.
Di bawah projek tersebut, nyamuk Aedes aegypti jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan untuk mengawan dengan nyamuk betina di persekitarannya.
Telur yang terhasil daripada proses mengawan itu tidak menetas, sekali gus mengurangkan jumlah nyamuk secara bertahap-tahap.
Hanya nyamuk jantan dilepaskan dan ia tidak menggigit manusia.
Menurut Dr Chong, perkara itu menjadi antara mesej utama yang disampaikan kepada penduduk bagi meningkatkan penerimaan terhadap projek berkenaan.
IKLAN
PEMBIAKAN NYAMUK SECARA BESAR-BESARAN
Sebelum dilepaskan di estet-estet perumahan, nyamuk tersebut melalui proses pembiakan di sebuah kemudahan.
Telur ditetaskan di dalam air sebelum larva muncul dan kemudian menjadi pupa.
Pada peringkat pupa, nyamuk jantan dan betina boleh diasingkan. NEA juga menggunakan nyamuk betina dalam proses pembiakan untuk menghasilkan telur bagi generasi seterusnya.
Kitaran itu mengambil masa kira-kira seminggu.
IKLAN
Sedekad selepas projek tersebut dimulakan, Dr Chong berkata hasil yang dicatatkan di kawasan pelepasan nyamuk adalah ketara.
Jumlah nyamuk Aedes aegypti di kawasan kajian berkurangan antara 80 hingga 90 peratus, manakala penduduk di kawasan tersebut lebih 70 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi.
Namun, kejayaan Projek Wolbachia tidak menggantikan peranan penduduk dalam mencegah pembiakan nyamuk.
Walaupun nyamuk yang membawa Wolbachia boleh membantu membendung jumlah Aedes aegypti, ia tidak dapat menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
jelasBERITA: Bagaimana Projek Wolbachia bantu SG basmi denggi
Melepaskan nyamuk untuk memerangi denggi mungkin kedengaran bercanggah dengan usaha mencegah pembiakannya, namun Singapura sudah lebih sedekad membangunkan pendekatan tersebut.