jelasBERITA: Bagaimana penipu hasilkan panggilan Zoom palsu guna video sebenar PM Wong, pemimpin SG?
Bagi menjadikan panggilan Zoom itu kelihatan sahih, penipu menambah beberapa "peserta" yang tidak bercakap dan rakaman video mereka didapati dimainkan secara berulang. (Grafik: CNA/Teha Muhamad)
SINGAPURA: Pada April 2022, Lawrence Wong, yang ketika itu Menteri Kewangan, menyertai satu sidang media pemerintah menerusi pautan video dari Amerika Syarikat untuk mengumumkan butiran pelonggaran langkah pengurusan selamat COVID-19 di Singapura.
Empat tahun kemudian, penipu menggunakan rakaman daripada sidang media itu untuk meyakinkan seorang mangsa bahawa Encik Wong, yang kini Perdana Menteri Singapura, merupakan antara sekumpulan pemimpin Singapura dan dunia yang memerlukan bantuan kewangan bagi menstabilkan aliran perdagangan melalui Selat Hormuz yang terjejas akibat perang.
IKLAN
Mangsa menyertai satu sidang palsu Zoom yang dihasilkan menggunakan rakaman bukan sahaja PM Wong, malah Presiden Tharman Shanmugaratnam, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah serta beberapa tokoh politik dan kewangan terkemuka lain.
Mangsa akhirnya memindahkan sekurang-kurangnya S$4.9 juta kepada penipu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Mei.
Rakaman penuh panggilan Zoom itu dikongsi secara eksklusif dengan Mediacorp oleh SPF.
Analisis Mediacorp menemukan beberapa teknik yang sebelum ini tidak dilaporkan yang digunakan untuk melaksanakan penipuan tersebut, terutama penggunaan meluas video sebenar tetapi kurang dikenali yang masih boleh diakses di YouTube.
Penipu, dalam erti kata lain, tidak menghasilkan watak-watak dalam panggilan Zoom itu dari awal.
IKLAN
Sebaliknya, mereka menghasilkan satu penipuan secara langsung yang meyakinkan, dengan hampir sepenuhnya menggunakan video sebenar, digabungkan dengan audio yang diubah suai, identiti dicuri dan tindihan grafik.
INDIVIDU SEBENAR, VIDEO SEBENAR
Sembilan individu atau institusi berprofil tinggi sebenar ditampilkan sebagai peserta dalam panggilan penipuan tersebut.
Antaranya Cik Indranee, yang kelihatan dalam panggilan itu mendakwa bahawa "tindakan diselaraskan dengan segera" diperlukan bagi memastikan "pelayaran bebas dan selamat melalui Selat Hormuz".
Siasatan Mediacorp mendapati rakaman Cik Indranee sebenarnya diambil daripada wawancara pada Mac 2023 dengan stesen radio Money FM 89.3, ketika Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara itu membincangkan inisiatif perumahan dan perancangan bandar.
Penipu menggunakan video sebenar individu sebenar yang tersedia di YouTube bagi menjadikan panggilan sidang itu kelihatan meyakinkan. (Video: YouTube & Pasukan Polis Singapura)
Bagi penipuan Zoom itu, audio daripada wawancara sebenar tersebut digantikan dengan suara palsu atau dimanipulasi.
IKLAN
Namun, video Cik Indranee sendiri, termasuk gerakan tangan dan kepalanya, kelihatan tidak disunting.
Analisis lanjut mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh segmen visual dalam penipuan Zoom itu diambil daripada video YouTube yang masih boleh diakses orang ramai. Video-video tersebut sama ada sudah lama atau mempunyai jumlah tontonan yang rendah.
Antaranya rakaman Encik Tharman dalam satu panel online yang dimuat naik pada November 2020, tiga tahun sebelum beliau menjadi Presiden.
Setakat Ogos 2026, video asal panel Encik Tharman itu ditonton kurang 200 kali, manakala rakaman wawancara Cik Indranee dengan Money FM 89.3 mencatat lebih 350 tontonan.
Profesor Madya Hannah Yee-Fen Lim, peneraju tadbir urus AI di Institut Kewangan, Teknologi dan Masyarakat Global Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata jumlah tontonan rendah bermakna mangsa kurang berkemungkinan pernah melihat video asal tersebut.
IKLAN
Menurutnya, penggunaan rakaman yang tersedia kepada orang ramai juga jauh lebih murah dan mudah berbanding menghasilkan wajah seseorang menggunakan AI.
AUDIO PALSU, PENJENAMAAN PALSU
Penipu mengambil beberapa langkah bagi menyembunyikan unsur dalam rakaman sebenar yang boleh membongkar penipuan mereka, terutama logo penerbit asal.
Rakaman asal Cik Indranee dan Encik Wong masing-masing mempunyai tera air Money FM 89.3 dan The Straits Times di bahagian kanan atas skrin.
Penipu menutup tera air (watermark) itu dengan grafik "Live Zoom Recording".
Namun, panggilan Zoom sebenar tidak memaparkan logo sedemikian dalam skrin setiap peserta. Sebaliknya, Zoom memaparkan penunjuk rakaman pada antara muka mesyuarat dengan aplikasi secara keseluruhan.
Penipu menyembunyikan tera air asal video dengan meletakkan grafik palsu "Live Zoom" di atasnya. (Petikan skrin: YouTube, Pasukan Polis Singapura)
Seperti dalam kes Cik Indranee, trek audio asal bagi kebanyakan klip digantikan dengan suara sintetik yang mungkin dijana AI atau dirakam individu lain sebelum diubah secara digital bagi menyerupai suara tokoh awam terbabit.
Analisis menggunakan alat pengesan deepfake mendapati klip audio itu berkemungkinan dimanipulasi.
Akibatnya, pergerakan bibir jelas tidak sepadan dengan percakapan, sesuatu yang turut didedahkan SPF sebelum ini.
Namun, Profesor Madya Lim berkata mangsa mungkin tidak memberi perhatian kepada ketidakselarasan tersebut sekiranya mereka "sudah berada dalam keadaan takut atau mengalami emosi yang mendalam".
Terdapat juga satu adegan selama 15 saat pada awal rakaman yang tidak dapat dikesan Mediacorp sumber asalnya.
Dalam adegan itu, PM Wong dan Cik Indranee kelihatan duduk bersebelahan sebelum PM Wong berdiri dan beredar untuk menjawab panggilan telefon.
Alat pengesan deepfake menandakan bahagian itu sebagai berkemungkinan besar dimanipulasi.
Para penyelidik dari Pusat Internet dan Masyarakat Dipercayai Universiti Nasional Singapura (NUS) yang meneliti segmen itu bagi pihak Mediacorp menyatakan ia mungkin dihasilkan menggunakan AI untuk menggabungkan rakaman sebenar yang berasingan atau menggunakan rakaman sebenar sebagai input bagi menghasilkan video baharu.
Satu adegan dalam panggilan tersebut, yang dikenal pasti alat pengesan deepfake sebagai berkemungkinan besar dimanipulasi, mungkin dijana menggunakan AI atau dihasilkan dengan menggabungkan dua klip. (Gif: Pasukan Polis Singapura)
APABILA YANG SEBENAR MENYAMARKAN YANG PALSU
Satu-satunya trek audio asal yang dipercayai tidak diubah penipu menampilkan Menteri Ehwal Luar Kanada Anita Anand.
Pada 25 Mac, Cik Anand mengadakan sidang media maya dari Paris dan menjawab soalan mengenai peranan Kanada dalam memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Kenyataan asalnya cukup hampir dengan jalan cerita penipuan berhubung bantuan kewangan berkaitan Selat Hormuz sehingga penipu tidak perlu mengubahnya.
Oleh sebab kata-kata Cik Anand kekal sepadan dengan pergerakan bibirnya, segmen beliau, yang paling panjang dalam panggilan itu pada lebih tujuh minit, menjadi "sandaran" kepada penipuan tersebut.
Profesor Madya Reuben Ng, seorang saintis tingkah laku dan data di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew NUS, berkata teknik itu bertujuan menghakis rasa curiga dan membina kepercayaan mangsa.
Menurutnya, dengan meletakkan video tersebut pada awal panggilan, mangsa lebih mudah menurunkan tahap kewaspadaan.
KELEMAHAN YANG MEMBONGKAR PENIPUAN
Walaupun penipuan itu dirancang dengan teliti, masih terdapat beberapa kesilapan yang dapat dilihat.
Contoh paling jelas terdapat di bahagian kiri bawah paparan video utama, tempat Zoom memaparkan nama akaun yang menghantar video.
Sepanjang panggilan selama 19 minit itu, nama tersebut tidak pernah berubah dan kekal sebagai "Lawrence Wong", walaupun wajah pada skrin bertukar antara Cik Indranee, Cik Anand, penasihat presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE) Anwar Gargash dan seorang moderator yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam.
Panggilan sidang itu mempunyai beberapa petanda yang menunjukkan rakaman video yang dilihat mangsa bukan disiarkan secara "langsung", sebaliknya menggunakan semula video daripada sumber lain. (Petikan skrin: YouTube)
Butiran tersebut menunjukkan satu akaun memainkan beberapa rakaman, sama ada disusun terlebih dahulu atau ditukar secara manual semasa panggilan.
Selain paparan utama itu, penipu turut mengendalikan empat akaun Zoom lain menggunakan identiti berbeza. Kesemuanya menyertai panggilan secara pasif tanpa berkata-kata.
Antaranya Encik Tharman serta seorang wakil firma pelaburan Amerika BlackRock.
Mediacorp mendapati rakaman Zoom Encik Tharman dan wakil BlackRock dimainkan secara berulang, satu lagi petanda visual bahawa panggilan tersebut adalah palsu.
Pakar berkata teknik mewujudkan "sekumpulan" peserta palsu merupakan taktik yang sudah lama digunakan pihak berniat jahat. (Petikan skrin: Pasukan Polis Singapura)
PENIPUAN MASA DEPAN
Cik Jennifer Soh, Ketua Siasatan Jenayah Teknologi Tinggi Asia-Pasifik di firma keselamatan siber Group-IB, berkata penipuan sedemikian kini menjadi "sangat mudah untuk ditiru".
Menurutnya, kemahiran menggodam tidak diperlukan. Penipu hanya memerlukan sebuah komputer riba, video yang tersedia kepada orang ramai, aplikasi pengklonan suara yang murah dan beberapa akaun palsu.
Group-IB menyatakan bahawa pada suku kedua 2025 sahaja, ia menjejaki kerugian akibat penipuan berkaitan deepfake bernilai AS$347 juta (S$440.5 juta) di seluruh dunia.
Cik Soh turut merujuk kepada kes serupa di Hong Kong pada 2024 apabila seorang pekerja kewangan diperdaya untuk memindahkan AS$25 juta (S$31.7 juta) kepada penipu. Beliau menyertai panggilan video di mana semua pesertanya, termasuk individu yang dipercayainya sebagai ketua pegawai kewangan, sebenarnya deepfake.
Di Singapura, kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah meningkat lebih seganda tahun lalu, daripada 1,504 kes pada 2024 kepada 3,363 kes pada 2025.
Pakar memberi amaran bahawa penipuan melibatkan deepfake tidak lama lagi mungkin sukar dikenal pasti dengan mata kasar.
Menurut Cik Soh, perkembangan seterusnya yang lebih membimbangkan mungkin melibatkan deepfake secara langsung dan interaktif, dengan penipu dapat memberi respons kepada soalan secara meyakinkan dalam masa nyata.
Profesor Madya Ng pula percaya penipuan akan menjadi semakin disasarkan.
Dengan memanfaatkan serangan siber atau kebocoran data di web gelap, pihak berniat jahat boleh membina "profil tingkah laku mendalam" seseorang dan mereka bentuk penipuan berdasarkan kelemahan khusus mangsa.
"Penipu pandai menjangkakan apa yang anda mahukan dan mewujudkan kelemahan itu pada waktu yang tepat," kata Profesor Madya Ng.
jelasBERITA: Bagaimana penipu hasilkan panggilan Zoom palsu guna video sebenar PM Wong, pemimpin SG?
SINGAPURA: Pada April 2022, Lawrence Wong, yang ketika itu Menteri Kewangan, menyertai satu sidang media pemerintah menerusi pautan video dari Amerika Syarikat untuk mengumumkan butiran pelonggaran langkah pengurusan selamat COVID-19 di Singapura. Empat tahun kemudian, penipu menggunakan rakaman...