Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,772
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,772
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
ATM Perhebat Pemodenan Aset, Perkukuh Kesiagaan Pertahanan Negara - PAT
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuh postur pertahanan negara menerusi pemodenan aset dan peningkatan keupayaan ketiga-tiga cabang perkhidmatan, khususnya bagi menghadapi cabaran keselamatan di wilayah timur dan Laut China Selatan.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata usaha itu meliputi perolehan aset baharu, pembangunan infrastruktur serta integrasi keupayaan darat, maritim, udara dan siber bagi memastikan ATM kekal bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau berkata pada masa sama, operasi rondaan di sempadan daratan, perairan dan ruang udara terus dilaksanakan tanpa henti, termasuk di Pantai Timur Sabah yang kini bebas daripada ancaman jenayah penculikan.
“Kawasan tersebut sebelum ini pernah berdepan ancaman penculikan, namun kini insiden berkenaan berjaya dinoktahkan berikutan kepekaan anggota kita yang mengawal keselamatan 24 jam sehari, sanggup berkorban masa dan berjauhan daripada keluarga,” katanya dalam temu bual khas sempena Hari ATM ke-93 di sini.
Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Malek Razak berkata Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka mula diterima pada pertengahan tahun depan, selain disokong pembinaan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) dan perolehan Fast Interceptor Craft (FIC).
Beliau berkata perolehan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) turut menjadi keutamaan bagi meningkatkan mobiliti strategik anggota dan aset antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong kelangsungan operasi TLDM.
“Selain itu, pangkalan baharu TLDM akan dibina di Bintulu, Sarawak khusus untuk Markas Wilayah Laut 4 bagi meningkatkan kesiagaan mendepani isu tuntutan bertindih dan ancaman ‘zon kelabu’ di Laut China Selatan,” katanya.
Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, Malek Razak berkata pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan atau Bare Base di Bintulu mencatatkan kemajuan fizikal 40.37 peratus dan dijadual siap pada 3 Mei 2028, bagi membolehkan pesawat bertindak pantas apabila diperlukan.
Beliau berkata ATM turut bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membaiki dan menaik taraf infrastruktur serta landasan kapal terbang di Stesen Lima, Terumbu Layang-Layang.