Pelan Belia SG sasar lebih setengah juta belia dalam lima tahun; lebih banyak program kerjaya, kredit teroka hobi
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo bercakap kepada wartawan di Scape pada 20 Julai 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Satu pelan nasional baharu bagi pembangunan belia dilancarkan pada Sabtu (25 Jul) oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo.
Dinamakan Pelan Belia SG, ia menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih setengah juta belia daripada pelbagai latar belakang dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Encik Neo, yang kini juga merupakan Menteri Negara Kanan Pendidikan.
IKLAN
"Pelan Belia ini adalah hasil daripada pandangan lebih 60,000 belia dalam satu tempoh tertentu bagi memahami kebimbangan, aspirasi dan apa yang ingin mereka capai," kata Encik Neo kepada wartawan pada Isnin menjelang pelancaran pelan tersebut di Forum Belia SG di Pusat Konvensyen Suntec.
Lebih 415,000 maklum balas dikumpulkan daripada golongan belia dan pihak berkepentingan antara November 2024 hingga Mac tahun ini mengenai pelan tersebut, menurut kenyataan media bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Belia Kebangsaan (NYC) pada Sabtu.
Di bawah pelan itu, lebih 20 inisiatif akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membantu belia Singapura menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin kompleks.
Antara inisiatif tersebut ialah pemberian kredit untuk membolehkan belia meneroka hobi dan minat baharu, projek perintis kehidupan berdikari di ruang kediaman bersama (co-living), serta lebih banyak peluang pendedahan di luar negara.
Di bawah projek perintis kehidupan berdikari itu, pengendali swasta Coliwoo dan Eco-Energy akan menawarkan sekitar 100 unit kediaman pada kadar diskaun kepada mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun.
IKLAN
NYC juga akan memperuntukkan sehingga S$20 juta bagi menyokong sehingga 3,000 projek yang diterajui belia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam wawancara di SCAPE di Somerset, Encik Neo berkata pemerintah sentiasa memberi perhatian dan tumpuan besar terhadap golongan belia, dengan Singapura secara konsisten berada antara negara terbaik di dunia dari segi pembangunan belia.
"Namun pada masa yang sama, terdapat perubahan asas yang sedang berlaku di sekeliling kita. Ketika kita bercakap sekarang, beberapa peperangan sedang berlaku dan akibatnya berlaku gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos," katanya.
"Ia menyebabkan sebahagian belia kita tertanya-tanya sama ada mereka masih mampu menikmati perkara yang pernah dinikmati oleh ibu bapa mereka."
Kadar perubahan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini, termasuk kemunculan kecerdasan buatan (AI), turut menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan belia mengenai peluang yang bakal tersedia kepada mereka pada masa hadapan, kata Encik Neo.
IKLAN
"Ditambah pula dengan kebangkitan media sosial. Di satu pihak, ia menjadikan belia kita lebih saling berhubung, namun di pihak yang lain, ia juga boleh menyebabkan mereka sentiasa berasa dinilai dan tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar cukup baik," katanya.
Namun begitu, Encik Neo berkata ramai belia masih yakin terhadap masa depan negara dan mahu mencari makna serta tujuan hidup, di samping menyumbang secara aktif kepada masyarakat.
MCCY dan NYC menyatakan pihaknya mendapati bahawa 76 peratus belia yakin terhadap masa depan Singapura, tetapi hanya 66 peratus berasa yakin terhadap masa depan mereka sendiri.
Mereka turut mengatakan walaupun 91 peratus belia bercita-cita untuk mempunyai kerjaya yang bermakna, 52 peratus bimbang mereka tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk mengikuti perkembangan ekonomi yang pesat berubah - dengan sekitar 40 peratus melihat AI sebagai ancaman kepada peluang pekerjaan dan bukannya pemudah cara.
Tekanan-tekanan ini turut menyumbang kepada peningkatan kebimbangan berkaitan kesihatan mental, dengan 30 peratus belia melaporkan mengalami isu sedemikian.
IKLAN
"Saya rasa hasrat kami adalah untuk memastikan kami menyediakan sesuatu yang menyokong mereka bukan sahaja untuk berjaya, malah untuk benar-benar berkembang maju. Kami mahu membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya," kata Encik Neo.
DEMOGRAFI BELIA YANG BERBEZA
Pelan itu "sengaja direka agar fleksibel" supaya belia di pelbagai peringkat kehidupan - golongan belia di Singapura ditakrifkan sebagai mereka yang berusia antara 15 hingga 35 tahun - dan mempunyai keperluan yang berbeza dapat memanfaatkannya, kata pemangku menteri itu.
"Sebagai contoh, sebahagian belia yang lebih muda memberitahu kami bahawa mereka lebih mengambil berat tentang usaha meneroka, mencari hala tuju, mengenal pasti perkara yang benar-benar memberi makna dan tujuan hidup kepada mereka. Ramai daripada mereka juga mahu mentakrifkan kejayaan mengikut acuan mereka sendiri," katanya.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, terdapat rancangan untuk menyediakan sehingga 30,000 peluang pendedahan kerjaya setiap tahun menjelang 2030 merentasi sektor awam dan swasta, menurut MCCY dan NYC.
Program pendedahan kerjaya ini membolehkan belia mengenali pelbagai pekerjaan dan industri melalui program penerokaan kerjaya berskala kecil yang berlangsung dari setengah hari hingga beberapa minggu, sekali gus memberi mereka pengalaman secara langsung mengenai pekerjaan, industri, individu serta realiti tugasan harian.
MCCY dan NYC berkata program tersebut telah terbukti berkesan. Sekitar 11,000 peluang pendedahan kerjaya ditawarkan kepada belia tahun lalu dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, pembuatan, hospitaliti serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Encik Neo berkata dalam tempoh perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini, terdapat industri tertentu yang mempunyai kekosongan jawatan, namun tidak ramai belia yang berminat untuk menceburinya.
"Saya ingin menggalakkan semua belia supaya benar-benar meneroka dan mencuba perkara baharu serta memanfaatkan program pendedahan kerjaya ini. Mungkin ia melibatkan satu jawatan dalam industri yang sebelum ini anda tidak pernah terfikir untuk ceburi, tetapi anda boleh menggunakannya untuk merasai sendiri pengalaman tersebut ... dan kemudian melihat sama ada ia benar-benar sesuai untuk anda ataupun tidak," katanya.
Satu lagi inisiatif yang bakal diperkenalkan ialah skim Kredit Curiosity bagi membolehkan belia meneroka aktiviti bukan akademik, minat dan hobi baharu, serta menjalin persahabatan di luar sekolah.
Sebagai permulaan, MCCY akan bekerjasama dengan kumpulan bantu diri untuk menyediakan kredit bernilai S$500 kepada belia berusia antara 13 hingga 17 tahun yang menerima sokongan daripada kumpulan-kumpulan tersebut.
"Saya rasa apa yang kami mahu lakukan adalah memastikan belia kita mempunyai sebanyak mungkin peluang untuk meneroka minat mereka. Itu adalah sesuatu yang penting bagi mereka," kata Encik Neo.
"Seperti juga perkara lain, kami akan melihat sejauh mana keberkesanannya dan, sudah tentu, jika ia berkesan, ada kemungkinan ia akan diperluaskan lagi atau lebih banyak perubahan dasar akan diperkenalkan."
KEBIMBANGAN BELIA YANG LEBIH BERUSIA
Sebaliknya, terdapat golongan belia yang lebih berusia dan berada pada peringkat kehidupan yang berbeza, yang mungkin lebih mengambil berat tentang perkara seperti pekerjaan dan kerjaya, kata Encik Neo.
Walaupun terdapat pelan berasingan daripada kementerian lain yang boleh membantu mereka dalam aspek tersebut, mereka masih mahukan ruang tersendiri sebagai sebahagian daripada proses perkembangan diri, selain mahu menyumbang secara aktif dan mempunyai suara dalam pembangunan belia, katanya.
Oleh itu, panel belia akan diwujudkan bagi membolehkan mereka bersama-sama menggubal dasar dan membentuk cadangan mengenai isu-isu yang melibatkan golongan belia.
MCCY dan NYC melancarkan panel tersebut pada 2024 bagi melibatkan belia secara langsung dalam penggubalan dasar, dengan pusingan pertama meliputi empat topik iaitu daya tahan kewangan, kerjaya, kesejahteraan digital serta alam sekitar dan kemampanan. Pusingan seterusnya akan diadakan pada separuh kedua 2026.
Satu lagi contoh bagaimana belia yang lebih berusia boleh menyumbang ialah melalui Somerset Belt Youth CoLab, kata Encik Neo.
Badan yang mempunyai 15 anggota itu ditubuhkan pada April dan akan berkhidmat selama dua tahun sehingga 2028. Ia mempunyai peruntukan tahunan sebanyak S$300,000 bagi memperkasakan belia untuk mengambil alih tanggungjawab terhadap program dan aktiviti di kawasan Somerset.
PERANAN PEMERINTAH
Apabila ditanya sama ada Pelan Belia SG akan mengurangkan kebebasan belia untuk menentukan hala tuju mereka sendiri, Encik Neo menjelaskan bahawa peranan pemerintah adalah menyediakan sumber dan peluang.
Program-program tersebut dikendalikan oleh rakan kerjasama yang berpengalaman bekerja dengan golongan belia, dan akhirnya terpulang kepada belia sendiri sama ada mereka mahu menyertainya, katanya.
"Di pihak kami, kami akan memastikan semua program tersedia. Tetapi apa yang kami tidak mampu lakukan ialah memastikan belia itu berjaya berkawan atau menyertai program-program tersebut. Di sinilah belia sendiri perlu memainkan peranan," katanya.
Beliau menambah: "Peranan kami sebenarnya - dari sudut pemerintah, NYC dan kementerian - adalah untuk menyelaras serta melakukan perkara yang kami mahir lakukan: membawa rakan kerjasama bersama, menyediakan pelbagai kemudahan dan menyokong mereka dengan sumber yang diperlukan."
Bagi aspek yang melibatkan belia secara langsung, seperti program sebenar dan pemilihan lokasi, organisasi rakan kerjasama mempunyai kefahaman yang baik kerana mereka berpengalaman bekerja dengan golongan belia, kata Encik Neo.
"Di sinilah kami mahu memanfaatkan kepakaran mereka supaya kerjasama ini berjaya dan tidak dilihat sebagai satu usaha dari atas ke bawah," katanya.
Encik Neo menegaskan bahawa Pelan Belia SG bukanlah satu pelan yang bersifat tetap, sebaliknya merupakan "pelan yang sentiasa berkembang" dan akan sentiasa dikemas kini.
Pemerintah tidak boleh bergantung kepada dapatan daripada sesi libat urus kali ini untuk tempoh beberapa tahun akan datang kerana dunia berubah dengan begitu pantas dan kebimbangan golongan belia juga akan berubah, katanya.
"Ia bukan bermakna kita mempunyai pelan lima tahun dan hanya membuat semakan besar dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, tetapi ia adalah sesuatu yang akan sentiasa kami sesuaikan dan ubah kerana kami perlu memahami apa yang benar-benar dekat dengan hati golongan belia," kata Encik Neo.
Beliau menambah bahawa pemerintah sedia melabur lebih banyak dalam program yang terbukti berjaya dan mendapat sambutan tinggi, serta mengurangkan pelaburan terhadap program yang kurang mendapat sambutan.
"Sejujurnya, saya rasa kami tidak mempunyai penanda aras ekonomi yang khusus," kata Encik Neo sambil menambah bahawa matlamat utama adalah untuk memupuk rasa harapan dan peluang terhadap masa depan dalam kalangan belia.
Encik Neo turut menekankan peranan ibu bapa dalam pembangunan belia.
"Di sebalik setiap belia yang berjaya, pastinya ada ibu bapa yang memberi mereka peluang, sokongan dan kepercayaan untuk meneroka perkara-perkara mengikut cara mereka sendiri," katanya.
Pelan Belia SG sasar lebih setengah juta belia dalam lima tahun; lebih banyak program kerjaya, kredit teroka hobi
SINGAPURA: Satu pelan nasional baharu bagi pembangunan belia dilancarkan pada Sabtu (25 Jul) oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo. Dinamakan Pelan Belia SG, ia menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih setengah juta belia...