SG lancar lebih 200 kursus latihan dengan langganan AI percuma, pusat kemahiran baharu
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong (dua dari kiri) dan Pemangku Menteri Tenaga Manusia Jasmin Lau (tiga dari kiri) melawat sebuah studio di Connect by SWDA, di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat, pada 16 September 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
SINGAPURA: Lebih 200 kursus latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang merangkumi langganan percuma selama enam bulan bagi alat AI premium terpilih untuk warga Singapura yang layak, dilancarkan pada Rabu (16 Sep), menurut Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA).
Agensi itu turut melancarkan Connect by SWDA, sebuah pusat khidmat kerjaya dan kemahiran di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI), yang menghimpunkan sokongan kerjaya, kemahiran dan tenaga kerja di bawah satu bumbung.
IKLAN
Berucap pada pelancaran Festival SkillsFuture di LLI pada Rabu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata SWDA – badan berkanun baharu yang menggabungkan fungsi SkillsFuture Singapore (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) – perlu menjadikan sistem kemahiran lebih mudah untuk digunakan oleh rakyat Singapura.
"Di Singapura, kita mempunyai banyak skim, banyak program, banyak penyedia. Kadangkala ia boleh mengelirukan, malah terasa terlalu banyak untuk difahami. Jadi kita perlu memperkemasnya dan memberi lebih tumpuan kepada keperluan pengguna," kata Encik Wong.
"Orang ramai tidak sepatutnya perlu tahu agensi mana yang mengendalikan skim tertentu sebelum mereka boleh mendapatkan bantuan."
SWDA akan menyediakan proses yang "lebih mudah dan tersusun", yang disesuaikan dengan keperluan para pekerja dan perniagaan, tambah beliau.
Sehubungan itu, Connect by SWDA bukan sekadar tempat bagi orang ramai mendaftar untuk mengikuti kursus-kursus.
IKLAN
"Di sinilah kita menghimpunkan pembelajaran, bimbingan kerjaya dan sokongan pekerjaan. Di sinilah para pencari kerja boleh menilai kedudukan mereka, memahami peluang yang tersedia dan mendapatkan nasihat yang disesuaikan berhubung kemahiran serta langkah yang perlu diambil untuk maju," kata Encik Wong, yang merasmikan pembukaan pusat tersebut.
Pelancaran itu sejajar dengan matlamat agensi tersebut untuk menyediakan sokongan yang lebih bersepadu bagi memenuhi keperluan berkaitan kerjaya, kemahiran dan pembangunan tenaga kerja, menurut SWDA.
Di tingkat bawah, orang ramai boleh mendapatkan khidmat penasihat kerjaya dan kemahiran di lokasi serta saranan berasaskan AI untuk mengenal pasti peluang, kursus dan sokongan pembiayaan yang relevan. Tingkat dua pula menyediakan ruang khusus bagi sesi perbincangan yang "lebih mendalam dan tertumpu" menerusi janji temu yang dibuat lebih awal dan kegiatan yang disusun khas.
Dalam menggariskan perubahan yang perlu dilakukan SWDA untuk menghasilkan hasil yang lebih baik bagi para pekerja dan perniagaan, Encik Wong menegaskan agensi baharu itu perlu berusaha untuk menghubungkan pembelajaran dengan pekerjaan dan kerjaya.
Ini memerlukan kerjasama rapat dengan institut-institut pendidikan, penyedia latihan dan majikan, selain memberi tumpuan kepada mutu dan kerelevanan latihan sebelum seseorang memasuki alam pekerjaan dan ketika individu tersebut sudah bekerja.
IKLAN
Sambil menegaskan bahawa para pekerja tidak boleh diketepikan dalam proses transformasi perniagaan, Encik Wong berkata tugas SWDA adalah untuk merapatkan sokongan bagi perniagaan dan pekerja.
"Kita mahu perniagaan menjadi lebih produktif dan berdaya saing, tetapi kita juga mahu pekerja meraih manfaat menerusi kemahiran yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik dan prospek yang lebih cerah. Pemerintah akan cuba menyatukan dua bidang kerja penting ini: transformasi tenaga kerja dan transformasi perniagaan," kata beliau.
KURSUS DAN ALAT AI
Di festival tersebut, SWDA mengumumkan bahawa mulai Rabu, para pekerja yang mahu mempertingkat keupayaan AI mereka boleh memilih daripada lebih 200 kursus AI yang ditawarkan oleh sekitar 30 penyedia latihan yang disokong SWDA.
Kursus-kursus tersebut memenuhi keperluan pembelajaran yang berbeza, daripada penggunaan AI dan meningkatkan produktiviti di tempat kerja hingga membangunkan keupayaan lanjutan bagi pekerjaan yang menggunakan AI dan transformasi perniagaan, menurut SWDA.
IKLAN
Warga Singapura yang layak, berusia 18 tahun dan ke atas, yang mendaftar dan menghadiri mana-mana kursus tersebut akan menerima akses percuma selama enam bulan bagi alat AI premium.
Inisiatif itu pertama kali diumumkan pada Februari semasa Belanjawan 2026, dengan Encik Wong ketika itu berkata bahawa ia akan membolehkan rakyat Singapura berlatih menggunakan model-model AI yang lebih canggih, yang lazimnya memerlukan langganan berbayar.
Di bawah inisiatif Langganan AI SkillsFuture selama tiga tahun, para peserta boleh memilih untuk melanggan alat AI seperti ChatGPT Plus, Google AI Pro, Manus AI dan Microsoft 365 Personal.
Para peserta juga boleh memilih Singtel AI Pass, yang memberikan akses kepada tujuh alat AI termasuk Otter.AI dan Hailuo AI.
Bercakap kepada media, Pemangku Menteri Tenaga Manusia Jasmin Lau berkata sedang AI semakin menjadi sebahagian daripada cara orang ramai bekerja, ramai rakyat Singapura tertanya-tanya bagaimana untuk bermula.
Walaupun seseorang tidak akan menjadi pakar selepas mengikuti hanya satu kursus atau bengkel, matlamatnya adalah untuk memudahkan orang ramai belajar, berlatih dan mencuba kemahiran yang baru diperolehi dalam tugasan sebenar, kata beliau.
Akses percuma kepada pelbagai alat AI premium akan membolehkan rakyat Singapura berlatih dan menjadi lebih yakin untuk menggunakannya, kata beliau.
Kursus-kursus tersebut turut disokong dan diberi subsidi oleh SWDA, manakala para peserta boleh menggunakan Kredit SkillsFuture mereka untuk membayar baki yuran.
"Harapan kami adalah supaya semua rakyat Singapura menjadi lebih yakin dalam menggunakan AI dan lebih selesa sedang cara kita bekerja berubah," kata beliau.
"Bagi sesetengah daripada kita, ia mungkin sekadar untuk membantu kita agar tidak berasa begitu keliru apabila majikan, penyelia atau rakan sekerja menyebut tentang AI atau penggunaan arahan 'prompt'. Bagi yang lain, ia mungkin melibatkan pembinaan kemahiran yang lebih mendalam atau kemahiran baharu untuk membantu mereka dalam pekerjaan, atau membuat persediaan bagi pekerjaan yang sedang muncul."
Selain kursus-kursus baharu itu, SWDA bekerjasama dengan Institut Teknologi Singapura (SIT) untuk membangunkan alat penilaian kendiri secara online bagi membantu orang ramai menilai tahap kesediaan mereka dalam menggunakan AI.
Dikenali sebagai 'AI Ready Quiz', alat tersebut juga boleh menyarankan sumber pembelajaran dan kursus AI yang dipilih secara khas.
Alat penilaian kendiri, kursus dan maklumat berhubung langganan AI itu boleh didapati di portal MySkillsFuture.
PORTAL SEHENTI BAGI MAJIKAN
SWDA turut melancarkan portal sehenti baharu bagi para majikan pada Rabu, yang menggantikan laman 'SkillsFuture for Business' sedia ada.
Portal baharu 'OurWorkforce' menghimpunkan semua inisiatif latihan dan pembangunan tenaga kerja SWDA untuk majikan menerusi satu wadah digital bersepadu, menurut agensi tersebut.
Menerusi portal berkenaan, majikan boleh mencari kursus latihan dan huraian pembangunan tenaga kerja yang relevan serta menerima saranan yang disesuaikan berdasarkan keperluan perniagaan mereka.
Mereka juga boleh menggunakan alat digital untuk mengenal pasti peluang transformasi, mereka bentuk semula pekerjaan dan menggunakan AI dengan berkesan, tambah agensi tersebut.
Festival SkillsFuture 2026 berlangsung dari 16 September hingga 28 Oktober dan menampilkan lebih 140 acara di serata Singapura untuk individu dan syarikat.
SG lancar lebih 200 kursus latihan dengan langganan AI percuma, pusat kemahiran baharu
Lebih 200 kursus latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang merangkumi langganan percuma selama enam bulan bagi alat AI premium terpilih untuk warga Singapura yang layak, dilancarkan pada Rabu (16 Sep), menurut Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA).