BTC USD 81,578.7 Gold USD 4,165.56
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KOMPILASI Renungan Jumaat

Koleksi Doa: Mohon Diberi Rezeki Di Kala Kesempitan

doa.jpg


"Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan." - Surah Hud:6

Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.

Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.

Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.

Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu.
Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)

Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.
 
solat.jpg


Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, kadang-kala kita terlalu sibuk sehinggakan kita jadikan ia alasan untuk melengah-lengahkan solat atau lebih teruk lagi, meninggalkannya terus. Jikadilakukan sedikit pengiraan, dalam sehari, kita perlu menunaikan solat:

Subuh: 2 rakaat
Zuhur: 4 rakaat
Asar: 4 rakaat
Maghrib: 3 rakaat
Isyak: 4 rakaat

Jadi jumlah keseluruhan adalah 17 rakaat sehari. Katakan seseorang itu mengerjakan solat lebih kurang 2 minit untuk setiap rakaat, maka jumlah masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari hanyalah selama 34 minit. Dalam sehari ada 24 jam bersamaan 1440 minit. Jika dikira peratusan masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari, hanyalah 2.36%.
Bagaimana pula dalam masa seminggu? 34 minit darab 7 bersamaan 238 minit. 238 minit bersamaan dengan 3.97 jam. Jika dikira dalam sebulan pula, katakan purata dalam sebulan ada 4 minggu.3.97 jam darab 4 bersamaan dengan 15.88 jam.

Dalam setahun pula, 15.88 jam sebulan darab dengan 12 sama dengan 190.56 jam. 190.56 jam ini jika ditukarkan kepada unit hari adalah bersamaan dengan 7.94 hari. Rupanya dalam setahun, masa kita untuk sembahyang hanyalah lebih kurang 8 hari.

Kita kira dari segi purata umur manusia pula. Katakan purata umur seseorang adalah sehingga 60 tahun. Umur 10 tahun merupakan umur seseorang mencapai akil baligh dan sudah mula wajib untuk menunaikan solat. Ini bermakna, seseorang yang berusia 60 tahun perlu bersolat selama 50 tahun. Jika dalam setahun, masa yang diambil untuk menunaikan solat hanyalah 7.94 hari, maka dalam tempoh waktu 50 tahun, masa yang diambil untuk menunai solat hanyalah 397 hari. 397 hari lebih kurang bersamaan 1 tahun 1 bulan.

Bayangkan dalam sepanjang umur kita, Allah hanya menyuruh kita menggunakan 1 tahun 1 bulan dari keseluruhan umur 60 tahun kita untuk menunai solat. Itupun kadangkala masa solat kita kurang kerana uzur, jama', kurang 2 rakaat untuk solat Jumaat.

Jika difikirkan kembali, 34 minit sehari adalah sangat singkat. Tengok wayang 2 jam, shopping berjam-jam, 34 minit tu tak luak pun masa 24 jam kita untuk sehari. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita dan menghargai masa 34 minit itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk.
 
10zulhijjah.jpg


Solat

• Disunatkan untuk sentiasa bersegera mengerjakan solat fardhu berjemaah dan memperbanyakkan solat sunat kerana ini merupakan salah satu ibadah yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.Diriwayatkan bahawa Thauban r.anhu berkata:Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
(Hendaklah kalian memperbanyakkan sujud kepada Allah Ta’ala kerana setiap kali kamu bersujud,maka Allah Ta’ala mengangkat kedudukanmu dan menghapuskan kesalahanmu).(Riwayat Muslim).

Puasa
• Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari hadits Abi Sa’id Al-Khudri radhiallahu anhu berkata:
(Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda: Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun).(Al-Bukhari no: 2840 dan Muslim no: 1153).

• Diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Abu Daud dan Nasa’i dari hadits Hunaidah Bin Khalid dari isterinya dari sebahagian isteri-isteri Rasulullah s.a.w bersabda:
(Rasulullah s.a.w berpuasa pada sembilan Zulhijjah,Sepuluh Muharram dan tiga hari setiap bulan).

• Imam Nawawi berkata: Puasa pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah merupakan sunnah yang sangat dititik beratkan.
Takbir,Tahlil dan Tahmid Kepada Allah Ta’ala

• Di dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.anhu,katanya:
(Perbanyakkanlah Tahlil,Takbir dan Tahmid).(Musnad Imam Ahmad: 9/323-324 no: 5446 dan para muhaqqiq hadis ini berkata: Hadis sahih).

• Imam Bukhari berkata: Suatu hari,Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.anhuma keluar ke pasar pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah,mereka berdua bertakbir dan orang ramai pun turut serta bertakbir bersama mereka berdua.

• Beliau juga berkata: Umar r.anhu telah bertakbir di dalam khemahnya di Mina dan telah didengari oleh mereka yang berada di dalam masjid,lalu mereka bertakbir dan orang-orang yang berda di pasar turut serta bertakbir hinggakan Mina bergema dengan Takbir.

Puasa Hari Arafah

Puasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sangat-sangat dianjurkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji pada hari tersebut sepertimana dalam satu hadits Rasulullah s.a.w bersabda:
(Aku berharap kepada Allah agar dihapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya). (Muslim: 2/819 no: 1162 dan Al-Turmudzi no: 143 no: 749).

Namun begitu,bagi sesiapa yang sedang menunaikan haji pada hari tersebut mereka tidak disunahkan untuk berpuasa kerana Rasulullah wuquf di Arafah tanpa berpuasa.

Menunaikan Haji Bagi Yang Mampu

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
(Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; (Barang siapa mengingkari kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta).( QS. Ali Imron: 97).

Ini merupakan kemuncak ibadah pada bulan Zulhijjah.Bagi sesiapa yang berkemampuan untuk menunaikan haji,maka diwajibkan kepadanya untuk menyempurnakan rukun islam yang kelima ini dan merupakan sebaik-baik amalan bertaqarrub kepada Allah Ta’ala.

• Diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab shahihnya dari Ibnu Umar bahawa Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda:
(Islam dibangun di atas lima rukun: Bersaksi bahwa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa).(Al-Bukhari no: 8 dan Muslim no: 16).

Akhir kata,rebutlah peluang keemasan ini selagi masih ada hayat dikandung badan.Jangan sia-siakan bonus yang cukup hebat ini kerana tahun hadapan belum tentu lagi kita hidup di dunia ini.Mengemislah di dunia sebelum anda menjadi pengemis di kehidupan yang kekal abadi.
 
Mengkhianati Dan Dikhianati

kids.jpg



“Aku tertekan la semalam aku putus cinta... ''
''Semalam kawan aku fitnah aku depan cikgu..''
''Lukisan aku tapi orang lain dapat nama ''


Pernah tidak anda lalui saat seperti itu? Itulah antara situasi apabila diri dikhianati. Saat kita menyebut-nyebut tentang khianat mesti rasa sakit hati, marah dan sebagainya. Setiap orang pasti pernah merasai perasaan dikhianati.

Khianat boleh terbahagi kepada beberapa jenis antaranya tipu, menyakiti fizikal dan mental, mempermainkan perasaan dan sebagainya. Pernahkah anda merasai perasaan sebegitu? Hampir 80% manusia di muka bumi ini pernah melalui saat ini. Manakala 20% pula datangnya dari golongan mereka yang menyakiti dan mengkhianati.

Motif di sebalik mengkhianati orang lain ini hanya empunya diri sahaja yang tahu. Mungkin kerana hendak berseronok? Mungkin juga faktor terdesak? Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang terlintas di hati mereka. Penyebab yang utama ialah hati. Ada sesuatu di hati mereka yang membuatkan diri mereka terasa teruja hendak mengkhianati orang lain.

Dalam hati mereka ada perasaan dengki dan dendam terhadap mangsa yang disakiti. Apa yang mereka rasai selepas mengkhianati perasaan orang ialah PUAS.

Apa yang mereka PUAS sebenarnya?

Nafsu mereka yang puas. Hati yang penuh rasa iri hati, dendam, dengki dan sebagainya itulah yang akan rasa puas. Walhal mereka sebenarnya menambah sesuatu perasaan tidak tenang dalam diri. Mungkin hari ini mereka puas setelah menyakiti hati orang tapi hari seterusnya merekalah akan menjadi orang yang paling sakit, iaitu sakit di lubuk hati mereka. Pada saat itulah mereka akan menjadi orang yang paling sakit di jiwanya akibat perbuatannya itu.

Mahukah kita menjadi orang yang mengkhianati orang lain? Semata-mata untuk 'tenangkan' nafsu dalam diri ini? bukan sekali nafsu inginkan kita berbuat begitu pada orang malahan nafsu inginkan perkara seperti itu berulang-ulang kali supaya senantiasa puas dan 'tenang'.

Bukan ingin menyalahkan nafsu, bukan ingin menyalahkan sesiapa tetapi salahkan diri sendiri. Mahukah kita menzalimi diri sendiri dengan membiarkan diri melakukan perkara begitu? Kasihan pada diri sendiri..itu yang lebih utama

Kebanyakan orang sekarang sanggup membiarkan diri berada dalam kezaliman. Kezaliman pada diri sendiri. apabila sudah tiada perasaan kasih sayang pada diri, sudah pasti tidak akan ada kasih sayang pada orang lain. Perkara itulah yang membuatkan diri rasa seperti hendak menyakiti orang lain dengan mengkhianati mereka.
Fikir-fikirkanlah kembali adakah dengan berbuat begitu apa faedah yang kita akan dapat selain memuaskan nafsu jahat sendiri? Tiada jawapan untuk soalan sebegini kerana memang tiada jawapan. Hanya orang yang mengkhianati orang dapat menjawab soalan ini.
 
Jangan Ditanya Kenapa

muslimah-1.jpg


Dulu, aku hanya wanita biasa yang sering melakukan dosa, sibuk dengan hal duniawi. Jarang sekali aku memikirkan hal akhirat. Sampai satu ketika, hidayah itu datang. Alhamdulillah kerana Allah memilih diriku untuk ke arahNya.

Di penjuru usia, aku menangisi akan semua dosa yang telah ku lakukan. Aku cuba bangkit untuk melakukan perubahan. Aku mula lakukan perubahan sedikit demi sedikit. Sudah pasti apabila seseorang itu melakukan penghijrahan, dugaan akan datang. Aku akur. Orang sekeliling akan sedikit merasa pelik dengan perubahan yang ada.

"Kenapa engkau berubah.."
"kenapa alim sangat sekarang..."
"Kenapa itu dan kenapa begini? "
Pelbagai persoalan dan respons yang akan telah ku terima. Pada kawan-kawan yang memahami, mereka hanya tersenyum dan mendoakan dalam hati. Tapi pada mereka yang seakan kurang puas hati, mereka mula mempersoalkan.

Pada mulanya aku selalu terfikir, bagaimana untuk aku hadapi mereka? Sememangnya keadaan itu mulanya sedikit melemahkan aku. Aku sering menangis. Pada Allah aku luahkan. Aku mohon hati aku dikuatkan dan mohon aku istiqamah dalam melakukan perubahan. Alhamdulillah, tidak lama kemudian mereka semua senyap seolah-olah dapat menerima perubahan diri aku.

Sahabat-sahabatku, inginku suarakan rasa hati ini. ''Jangan ditanya kenapa aku berubah, tetapi tanyakanlah pada diri mengapa kita perlu berubah". Manusia akan berubah bila--bila masa saja dan mereka berubah kerana untuk mendapat redha Allah.

Apabila seseorang itu ingin berubah, berilah semangat kepada mereka.Walaupun mungkin kita bukanlah muslimah yang sempurna, tapi sekurang-kurangnya setiap pertanyaan dan reaksi kita jangan sampai melemahkan orang yang ingin berubah. Perubahan itu perlu dilakukan, bukan kerana suka-suka, tapi kerana Allah. Kalau dulu kita mungkin kurang baik, kita boleh berubah untuk jadi yang lebih baik.

Adalah lebih baik kita mendoakan sahabat yang ingin berhijrah dari kita mempersoalkan perubahan itu. Dan jika kita mempersoalkan perubahan seseorang itu ibarat kita mempersoalkan kepada Allah. Satu hari nanti, kalian yang lain pun akan berubah dengan izin Allah.
 
Jangan Mengharapkan Kebaikan Kita Dibalas

hand.jpg


Kadang-kadang berasa geram, kecewa dan hampa juga bila kebaikan yang kita lakukan kepada seseorang tidak dihargai walau pun sekadar mengucapkan terima kasih. Itulah kelemahan manusia,inginkan dirinya dihargai.

Jangan berasa kecewa dan merajuk bila keadaan ini berlaku. Sesungguhnya Allah tidak pernah leka dan terlepas pandang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh hambaNya. Ganjaran pahala tetap akan dibalas di akhirat nanti. Kita hanya perlu perbetulkan niat agar melakukan sesuatu kebaikan semata-mata kerana Allah.

Tabiat suka mengingkari, membantah dan memperkecilkan nikmat merupakan penyakit lazim yang menimpa manusia. Nikmat Allah yang tidak putus-putus dibalas dengan mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya. Begitulah tabiat manusia. Apa nak dihairankan jika mereka mengingkari kebaikan yang pernah kita berikan kepadanya.

Siapalah kita untuk mengungkit-ungkit secebis kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain berbanding kebaikan Allah kepada seluruh makhluk. Namun Allah Maha Sabar dan Maha Pengasih. Allah terus-menerus mengurniakan nikmat walau pun hambaNya menderhakaiNya saban waktu.

Berlapang dada dan bersabarlah. Teruskan memberi kebaikan kepada orang lain walau pun tiada penghargaan, terima kasih dan balasan. Bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk melakukan kebajikan ketika orang lain melakukan kejahatan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah. Kami tidak menghendaki daripada kamu sebarang balasan atau terima kasih daripada kamu. ( Surah al-Insan : 9)

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk istiqamah melakukan jasa, bakti dan kebaikan kepada sesiapa sahaja semata-mata inginkan kemuliaan di sisi Allah di akhirat kelak.
 
Laksana Amanah Jangan "U-Turn"

man.png



Amanah Menghambatku

Bingkisan kali ini lebih kepada peringatan kepada diri ini. Terimbau terngiang-ngiang saat itu. kata-kata ini bergema memenuhi runag dewan pada pagi itu,
"Untuk jawatan......... disandang oleh ....................................".

Tika itu semua mata memandang ke depan mencari-cari pemilik nama yang disebalik namanya bererti 'kegembiraan'. Orang lain kelihatan gembira, tetapi tidak pada pemilik nama itu. Debar dihatinya hanya pemilik hati ini yang Maha Mengetahui. Melangkah kaki tanpa sikit pun menoleh kiri kanan hanya mata tertumpu melangkah ke depan.

Saat itu hanya Allah mengerti betapa hati ini berbaur rasa. Ini jalan yang dipilih. Tiada lagi istilah mengundur atau turning back mahupun U-Turn . Yang ada hanya satu iaitu mengalas tanggungjawab hingga ke akhir mercu. Pada awal, berdiri di depan ramai umat manusia pertama-tamanya tentu berasa gemuruh, namun lama kelamaan jika perasaan itu dilontar jauh pasti kegusaran itu dapat diatasi dengan mudah. Semuanya bermula dengan 'mind setting' kita sendiri.

Ya, mind setting'. Boleh kita ambil umpama seorang yang demam, bila demamnya itu diberat-beratkannya, mukanya dipermuram-muramkan nescaya demam akan bertambah tetapi kalau dilawannya dengan berkata "Ah, aku tidak demam", dengan sendirinya demam itu beransur hilang sebelum pun sempat menjadi berat.

Begitu juga seorang pengecut, cubalah lawan perangai itu walaupun hati berdebar-debar. Jalankan akal, apa sebabnya saya takut begini? Mula-mula pastinya jantung berdebar tika cuba memberani-beranikan diri tetapi nanti setelah menjadi kebiasaan debar jantung itu akan hilang sendiri.

Jika hendak melatih diri agar punya keberanian sengajakan diri menempuh bahaya yang ngeri seperti mengukur hebatnya seorang pelayar lihatlah lautan yang dilalui, ditempuhnya lautan ketika ombak dan gelombang besar maka tentu berani itu dalam kalbunya.

Jangan Bermegah, Laksana Amanah

"Amboi dah jadi exco sekarang dah mula berlagak ye. Bangga, sombong, ujub ......" Antara lafaz kata seorang pensyarah kepada diriku dengan niat gurauan.

Namun di sebalik gurauan itu memberi makna tersirat yang menyentak pemikiran lalu menyentuh kalbuku. Itu bukan sekadar gurauan tetapi berupa peringatan. Sifat ujub bangga antara sifat yang merosakkan bukan sahaja hati tapi seluruh kehidupan pengamalnya.

Merasa puas diri sendiri.

Disangka diri sudah sangat cukup dan sempurna. Perangai begini membawa lupa akan kekurangan diri dan ingat akan kekurangan orang lain. Janganlah sifat ujub ini menjalar ke dalam diri, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau kita tiada. Sebab kita itu pun tidak akan sempurna kalau tidak dengan orang lain. Keutamaan tidak cukup diberikan Allah kepada satu orang tetapi berbagi-bagi.

Laksana kita ingin memasak makanan yang lazat tidak akan berasa jika cili hanya membanggakan pedasnya, garam membanggakan masinnya, cuka yang membanggakan masamnya, ikan yang membanggakan enaknya sendiri. Jika segala kepedasan, kemasinan, kemasaman, dan keenakan itu dikumpulkan dalam satu belanga, dimasak dengan tangan yang ahli, barulah menjadi makanan yang menjilat jari.

Hamparan Harapan, Emasnya Ikhlas

Bila bercerita mengenai harapan, teringat pula bait-bait lagu yang menjadi halwa telinga sekitar 80-an "Harapan setinggi gunung". Jika diselami maksud bait lirik itu tentunya tinggi harapan orang itu. Masakan tidak tinggi jika telah disamakan harapan dengan gunung. Hendak mendaki gunung perlu keringat yang memecah peluh hingga baju terpaksa kita perah.

Harapan orang tentunya menggunung pada pemegang tangungjawab tetapi lebih berat lagi bahu yang menggalasnya. Memberi harapan pastinya sedikit sebanyak akan terikat dengan janji. Resmi manusia, mengikat janji mudah sekali tetapi memantri kata untuk dikota payah sekali umpamanya bila sebelum kita mendapat duit, janji itu ini, pada kawan dijanji mahu belanja makan, pada emak berkira-kira mahu menghulur beberapa keping not, itu ini mahu dibeli tetapi bila mana duit digenggami disimpan kemas dalam peti.

Melupakan semua janji yang kita taburi, sudahnya airmata yang menjadi galang ganti. Itu dikira masih baik lagi, jika dihambur caci maki tentulah lagi menyakitkan hati, alamatnya hingga nafas terakhir perasaan bersalah membaluti diri.

Memikul jawatan ini diri tidak menabur janji apatah lagi menghamparkan harapan. Hanya satu menjadi pegangan, melakukan semua ini dengan ikhlas. Mahu mengikhlaskan hati ini ibarat emas murni, tidak bercampur perak berapa persen pun. Pekerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas.

Misalannya seorang yang berkerja kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya atau dia bekerja pagi sampai ke petang kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Pekerjaannya itu baik tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur.

Dasarnya itu akan baik dari zat sampai ke sifatnya jika didasarkan kepada lillah hi ta'ala iaitu ikhlas kerana Allah. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Sesuai lidah dan hati, itulah ikhlas! lain di mulut lain di hati, bukanlah ikhlas tetapi culas.

"Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya
Sebelum kelihatan bukti pada perbuatannya
Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati
Lidah hanya dijadikan sebagai tanda dari hati".
 
Back
Top
Log in Register