combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Akademi Vokasional McDonaldâs Malaysia Lahirkan Lebih 1,500 Graduan Setahun
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonaldâs Malaysia Datuk Azmir Jaafar bercakap ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Akademi Vokasional McDonaldâs Malaysia di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia melahirkan kira-kira 1,500 hingga 2,000 graduan setahun menerusi program pendidikan dan latihan kemahiran yang ditawarkan, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Beliau berkata jumlah itu disasarkan meningkat kepada antara 6,000 hingga 7,000 pelajar setahun menerusi peluasan kerjasama dengan institusi pendidikan serta pelaksanaan program Akademi Dalam Industri (ADI).
“Usaha berkenaan selaras dengan komitmen McDonald’s Malaysia untuk memperkukuh pembangunan bakat tempatan serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri makanan dan minuman, dengan syarikat sendiri yang memerlukan kira-kira 20,000 pekerja setiap tahun.
“Pendekatan ini juga selari dengan saranan kerajaan supaya industri menjadi rakan aktif dalam membangunkan bakat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, dengan memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia keenam di sini.
Beliau berkata McDonald’s Malaysia telah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia dan institusi pendidikan bagi mempromosikan program ADI supaya lebih ramai belia, khususnya dari luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan berpeluang menyertai program di Akademi Vokasional McDonalds Malaysia.
Azmir berkata termasuk kumpulan graduan kali ini, akademi vokasional itu telah melahirkan hampir 5,500 graduan dalam bidang perkhidmatan makanan dan hospitaliti sejak 2018, sekali gus membuka peluang kepada golongan muda untuk membina kemahiran, keyakinan dan masa depan kerjaya yang lebih jelas.
“Kami percaya setiap anak muda berhak mendapat peluang untuk membina masa depan, tanpa mengira latar belakang atau titik permulaan mereka. Melalui Akademi Vokasional McDonald’s, kami mahu membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan kelayakan yang boleh membuka lebih banyak peluang untuk terus berkembang.
“Apabila kira-kira 80 peratus graduan terus bersama McDonald’s dan lebih 250 telah berkembang ke jawatan penyeliaan dan pengurusan, ia menunjukkan bahawa peluang pertama boleh menjadi permulaan kepada kerjaya yang lebih besar,” katanya.
Selepas tamat latihan, graduan mempunyai laluan perkembangan kerjaya yang tersusun, bermula sebagai kru sebelum berkembang menjadi ketua kru, penolong pengurus restoran dan seterusnya pengurus restoran selain, berpeluang menyertai latihan lanjutan dan membina kerjaya dalam peranan operasi atau korporat.