combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
UKM, University Of Yamanashi Tubuh Hab Hidrogen Majukan Inovasi Tenaga Bersih
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri), ketika gimik perasmian Simposium Ke-4 Teknologi Sel Fuel dan Hidrogen bersempena Simposium Antarabangsa Ke-2 Hidrogen Solar 2026 (SFCHT-SSH2026) di Palm Garden Hotel, Putrajaya, hari ini.
Turut sama, Timbalan Naib Canselor (HEPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ismanizan Ismail (tengah) dan Pengarah Institut Sel Fuel (SELFUEL) di UKM, Prof Dr Siti Kartom Kamarudin (kanan).
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan University of Yamanashi, Jepun menubuhkan Japan-Malaysia Hydrogen Hub (JMH2) bertujuan memperkukuh penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, kerjasama industri dan pemindahan teknologi dalam teknologi hidrogen dan sel bahan api.
Inisiatif strategik yang ditubuhkan di bawah Program for Forming Japan's Research Universities (J-PEAKS) Jepun, terletak di Fuel Cell Institute (SELFUEL) UKM dan dijangka berfungsi sebagai platform serantau untuk penyelidikan kolaboratif, mobiliti penyelidik dan pelajar, latihan profesional, libat urus industri dan pengkomersialan teknologi tenaga bersih.
Penubuhan JMH2 diumumkan bersempena dengan Simposium mengenai Sel Bahan Api dan Teknologi Hidrogen ke-4 dan Simposium Antarabangsa mengenai Hidrogen Solar ke-2 (SFCHT-SSH 2026), acara dua hari yang bermula pada hari ini.
Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penubuhan JMH2 dimeterai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM Prof Dr Ismanizan Ismail dan Naib Presiden University of Yamanashi Prof Dr Xiaoyang Mao, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Ismanizan berkata penubuhan hab berkenaan mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memajukan industri teknologi tinggi dan memperkukuh keupayaan tenaga bersih negara.
Beliau berkata Fuel Cell Institute UKM telah membangunkan kepakaran yang kukuh dalam bidang teknologi hijau, teknologi mampan, pengeluaran hidrogen, aplikasi sel bahan api, menjadikan kerjasama dengan University of Yamanashi satu langkah strategik ke hadapan.
"Inilah jalan keluar untuk kami menyokong agenda kerajaan dalam memajukan tenaga alternatif dan tenaga boleh baharu, mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil dan menyumbang ke arah aspirasi karbon sifar bersih," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Ismanizan berkata JMH2 ialah satu-satunya hab di Malaysia yang memberikan tumpuan khusus terhadap hidrogen dan teknologi sel bahan api serta mempunyai potensi untuk menjadi platform utama bagi kerjasama ASEAN.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada penyelidik dan pelajar pascasiswazah, tetapi juga kepada pemain industri melalui kerjasama penyelidikan, pemindahan teknologi dan inovasi.
Loading…
www.bernama.com