kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,700
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,700
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Kelantan Berpotensi Jadi Hab Tenaga Hijau Negara
Kelantan mempunyai potensi geografi dan cuaca yang luas untuk dibangunkan sebagai hab atau “lubuk ekonomi” tenaga boleh baharu negara, namun kadar penyerapan teknologi itu pada peringkat domestik dan perusahaan kecil dan sederhana masih di tahap yang perlahan.
Profesor Madya Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr. Hasyiya Karimah Adli berkata biarpun projek solar berskala besar telah mula wujud di negeri ini, pendedahan rakyat terhadap penggunaan solar persendirian masih pada tahap rendah disebabkan kekangan kos modal permulaan yang tinggi.
Beliau yang merupakan penyelidik berkata kos pemasangan sistem panel solar domestik pada ketika ini dianggarkan mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 untuk sebuah rumah.
"Kawasan bentuk muka bumi Kelantan yang landai serta penerimaan cahaya matahari yang konsisten dengan kadar radiasi solar tinggi antara 4.21 hingga 5.56 kWh/m² setiap hari menjadikan negeri ini sangat ideal untuk industri solar.
"Bagaimaapun, pada peringkat domestik pemasangan kekal perlahan. Rakyat mungkin tidak sedar bahawa kerajaan ada menyediakan pelbagai inisiatif seperti skim sewaan solar tanpa modal awalan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai potensi Kelantan, Hasyiya Karimah berkata negeri itu merekodkan penggunaan elektrik sekitar 2,500 GWh hingga 3,000 GWh setahun dan mengikut pengiraan analitik data, Kelantan hanya memerlukan kapasiti pemasangan sekitar 2.22 GWp (Gigawatt-peak) untuk menampung 100 peratus keperluan elektriknya sendiri.
"Kapasiti ini secara teknikalnya memerlukan ruang seluas kira-kira 7,777 ekar. Angka ini kelihatan besar tetapi ia sebenarnya hanya mewakili 0.2 peratus sahaja daripada keseluruhan keluasan tanah negeri Kelantan yang berjumlah 3.7 juta ekar. Kita mempunyai tanah terbiar yang luas dan bumbung bangunan yang mencukupi," katanya.
Beliau turut memuji kewujudan Loji Solar Terapung Danau Tok Uban berkapasiti 98 MWp di Pasir Mas sebagai model rujukan terbaik, dengan inovasi solar terapung atau floating solar berjaya mengatasi isu penerangan hutan (land clearing) di samping meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar setempat.
Hasyiya Karimah turut menarik perhatian terhadap impak rantaian global seperti krisis geopolitik di Asia Barat dan Selat Hormuz yang menjadi laluan 25 peratus pasaran minyak dunia, sekali gus meletakkan harga minyak mentah Brent melepasi USD100 setong.