combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Sabah Pergiat Usaha Angkat Pesta Kaamatan Sebagai Produk Pelancongan Antarabangsa
Kerajaan Negeri Sabah sedang mempergiat usaha mengangkat Pesta Kaamatan sebagai platform pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan pemain industri, bagi memperkenalkan keunikan budaya negeri itu ke peringkat global.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata usaha tersebut dilaksanakan melalui usahasama antara kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Beliau berkata inisiatif itu turut diperluas menerusi penglibatan pemain industri pelancongan dalam pameran pelancongan antarabangsa, pelaksanaan kempen digital global dan kolaborasi bersama ejen-ejen pelancongan di luar negara.
Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri berkata melalui langkah strategik itu, Kaamatan bukan sahaja diraikan sebagai warisan budaya masyarakat Sabah, malah dipromosikan sebagai produk pelancongan utama mampu menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara.
“Bagi memperkaya pengalaman pelancong, pengisian program Kaamatan turut dipertingkat dengan elemen yang lebih inklusif dan mesra pelancong antarabangsa.
“Ini termasuk penyediaan bahan promosi dwibahasa, persembahan kebudayaan bertaraf antarabangsa, serta pengalaman interaktif di perkampungan budaya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Joachim berkata langkah itu, bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pengunjung luar untuk melihat, memahami, serta merasai sendiri keunikan tradisi dan kepelbagaian etnik yang menjadi identiti Sabah.
Beliau berkata Kerajaan Negeri amat berharap agar Pesta Kaamatan akan terus berkembang sebagai salah satu festival budaya utama pada peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.