combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pelancongan Pelayaran Buka Pasaran Antarabangsa Buat Produk Tempatan Perak
Kredit foto: Nur Afiradina Arshad
Industri pelancongan pelayaran berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu apabila kapal persiaran Star Dream Cruise dari Singapura singgah di perairan Pulau Pangkor hari ini, sekali gus membawa limpahan rezeki kepada peniaga, pengusaha pengangkutan dan pemain industri pelancongan di koridor Manjung-Sitiawan.
Perkara itu diakui Pengurus Pemasaran Sarang Burung Walet Jess Lum dengan berkata pihaknya mengambil peluang untuk mempromosikan produk tempatan dan jenama syarikat itu kepada para pelancong berkenaan.
“Sarang burung walet antara produk premium Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Cina, selain Singapura berfungsi sebagai hab penting untuk memperluas pasaran ke negara lain.
“Ini peluang terbaik untuk memperkenalkan produk yang mewakili Sitiawan dan Perak. Apabila pelancong mengenali produk ini, mereka mungkin akan datang ke bilik pameran kami di Sitiawan untuk mengetahui lebih lanjut atau membuat pembelian,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jeti Marina Island di sini.
Peniaga durian Ling Wei Yao, 33, dari Sitiawan berkata ketibaan Star Dream Cruise itu mampu membuka peluang pendapatan baharu kepada peniaga kecil.
“Saya kali pertama menyertai program ini dengan menjual pelbagai jenis durian premium termasuk Musang King dan Black Thorn selain air kelapa dan pencuci mulut berasaskan kelapa.
“Selain meluangkan masa di sekitar kompleks jeti ini, ada pelancong yang berjalan-jalan dengan menaiki bas di sekitar Manjung dan Sitiawan. Ada juga yang menikmati durian di premis kami atau membawanya pulang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Group Marina Island Ding Mei Looi berkata persinggahan kapal persiaran itu masih dalam fasa percubaan, namun sambutan positif daripada pelancong dan peniaga tempatan menunjukkan potensi besar sektor itu untuk berkembang di daerah berkenaan.
“Pengalaman daripada persinggahan pertama dan kedua kapal ini banyak membantu pihak kami untuk memahami kehendak pelancong antarabangsa, khususnya dari Singapura yang juga majoriti penumpang,” katanya.