combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Malaysia Pergiat Usaha Pelancongan Mesra Muslim Menjelang TMM 2026
Tourism Malaysia (TM) mempergiatkan usaha meningkatkan segmen Pelancongan Mesra Muslim (MFT) Malaysia ke persada global sebagai sebahagian daripada strategi promosi bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia Mohd Akbal Setia berkata langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh daya tarikan sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim, di samping mengetengahkan kepelbagaian budaya, layanan mesra serta produk pelancongan negara.
“Tourism Malaysia akan terus mempergiat usaha promosi dengan memberi tumpuan kepada segmen pelancongan bernilai tinggi termasuk pelancongan mesra Muslim, pelancongan budaya dan berasaskan pengalaman serta pelancongan berasaskan komuniti dengan sokongan strategik daripada agensi serta rakan industri,” katanya pada majlis pelancaran Pameran Pakej Sambutan Aidiladha di Homestay Kampung Sarang Buaya di sini hari ini.
Mohd Akbal yang juga Ketua Sekretariat TMM 2026 berkata program pameran itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya dan berasaskan pengalaman menerusi Program Suai Kenal (Fam Trip) yang dianjurkan bersempena sambutan berkenaan.
Program Fam Trip itu melibatkan tujuh ejen pelancongan dari Singapura serta lima wakil media antarabangsa dan tempatan sebagai sebahagian daripada usaha promosi berterusan di bawah kempen TMM 2026.
Beliau berkata pakej istimewa sempena perayaan itu memberi penekanan besar terhadap perjalanan patuh syariah dengan menggabungkan pemerhatian kerohanian bersama pelancongan berasaskan komuniti tempatan secara menyeluruh.
Pengunjung berpeluang menyelami sendiri adat Islam tempatan menerusi penyertaan dalam demonstrasi tradisional melapah daging korban serta aktiviti memasak secara gotong-royong atau merewang.
“Selaras dengan tema TMM 2026, iaitu ‘Surreal Experiences’, program ini mengetengahkan kekuatan Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan imersif yang berteraskan tradisi budaya dan kehidupan komuniti.
“Ia memperkenalkan pengalaman Aidiladha yang dirangka khas dengan menawarkan peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan kehidupan kampung di samping memahami lebih mendalam adat resam dan nilai tempatan,” katanya.