combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,146
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,146
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Presiden Singapura Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Negara Tiga Hari
Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam tiba di Malaysia malam ini bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pesawat yang membawa Tharman bersama isterinya, Jane Ittogi Shanmugaratnam, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada 9.19 malam.
Pemimpin itu kemudian diberikan istiadat kawalan kehormatan statik di Kompleks Bunga Raya, yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diketuai oleh Kapten Muhammad Hanafi Ja'afar.
Turut hadir menyambut ketibaan Presiden Singapura itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick selaku menteri pengiring, dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Ini lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai presiden Singapura kesembilan pada 14 Sept 2023.
Lawatan itu menzahirkan hubungan erat antara kedua-dua negara, sekali gus mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Tharman dijadualkan diberikan Istiadat Sambutan Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, mewakili peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.