combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kepelbagaian Adalah Kekuatan Malaysia - Ketua Menteri Sabah
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tiba bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kepelbagaian wilayah, bangsa, budaya dan agama merupakan kekuatan Malaysia yang menyatukan rakyat sebagai sebuah keluarga, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata semangat perpaduan, sikap saling menghormati dan kerjasama perlu terus dipupuk bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan sejahtera.
“Pada detik sungguh bersejarah dan bermakna ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghayati tema Hari Malaysia yang diangkat tahun ini, iaitu ‘Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati’,” katanya menerusi tayangan video ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Tetamu kehormat sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hajiji berkata tema itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara maju, inklusif dan harmoni, di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dapat dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat serta wilayah.
“Semoga Malaysia, khususnya Sabah akan terus aman dan makmur, seterusnya membawa negara menuju kejayaan dalam segala bidang.
“Marilah kita meraikan sambutan Hari Malaysia ini dengan penuh semangat patriotisme agar keharmonian rakyat tanpa mengira bangsa dan agama terus terpelihara dan berkekalan,” katanya.
Kira-kira 5,000 menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di BCCK malam ini.