Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Rakyat Malaysia Perlu Terus Bersatu Dalam Kepelbagaian - Aaron
Malaysia perlu terus menjadi sebuah negara dengan rakyat yang mampu berbeza tanpa berpecah, bersuara tanpa membenci dan mempertahankan identiti tanpa merendahkan pihak lain, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata rakyat tidak perlu menjadi sama untuk bersatu kerana kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan adat menjadi kekuatan negara ini dengan tugas generasi masa kini adalah memperkukuh Malaysia yang dibentuk oleh generasi terdahulu.
“Kepelbagaian itulah kekuatan kita. Perpaduan tidak boleh hanya dipertahankan ketika krisis. Perpaduan mesti dibina setiap hari. Daripada mengurus kepelbagaian, kita mesti membina kebersamaan.
“Daripada sekadar mengelakkan perpecahan, kita mesti memperkukuh rasa memiliki. Dan daripada sekadar hidup bersama, kita mesti membina masa depan bersama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept.
Aaron berkata dalam era digital, cabaran terhadap perpaduan turut berubah apabila sesuatu insiden kecil boleh menjadi besar dalam sekelip mata selepas dirakam, disebar atau diambil di luar konteks.
“Salah faham, maklumat palsu dan provokasi boleh bergerak lebih pantas daripada usaha membina kefahaman,” katanya.
Selain itu, Aaron berkata Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatatkan skor 0.701, meningkat daripada 0.629 pada 2022 dan 0.567 pada 2018 yang menunjukkan asas perpaduan negara terus mengukuh walaupun masih banyak yang perlu dilakukan.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara mengutamakan pendekatan pencegahan, mediasi dan dialog bagi mengenal pasti serta menangani ketegangan sebelum berkembang menjadi konflik.
Beliau berkata kementerian itu mempunyai 596 Mediator Komuniti terlatih serta Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) melibatkan 12 agensi kerajaan sebagai antara mekanisme menangani isu berkaitan perpaduan.