combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Polis Kesan William Bantu Siasatan Kes Pemerdagangan Manusia
Datuk Dennis Lim Kwang Keng
Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai William atau Ah Wei bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemerdagangan dan eksploitasi manusia yang dibongkar susulan serbuan ke atas sebuah pusat panggilan sindiket penipuan di Bukit Mertajam, 16 Julai lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata lelaki tempatan berusia 49 tahun itu diperlukan sebagai saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata alamat terakhir William ialah di Kampung Dato Abdul Rahman, Kluang, Johor dan lelaki itu diminta tampil bagi memberikan keterangan kepada polis.
“Individu ini bukan orang dikehendaki tetapi diperlukan sebagai saksi bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Pada 16 Julai lepas, polis menyerbu sebuah banglo empat tingkat di Bukit Mertajam selepas menerima laporan daripada wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun dipercayai dikurung serta dieksploitasi.
Lim berkata dalam operasi itu, polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menahan seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan serta pengendali kegiatan tersebut, serta 28 lagi warga asing terdiri daripada Filipina, Thailand, Pakistan, Kemboja, Nigeria dan Afrika Selatan yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata siasatan turut mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan melalui panggilan telefon dengan menyasarkan mangsa di Kanada dan Amerika Syarikat, termasuk menyamar sebagai anggota polis Kanada serta agensi penguat kuasa bagi memperdayakan mangsa.
“Siasatan awal mendapati wanita warga Cameroon itu dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan dan tidak dibayar gaji selama setahun.
“Pergerakan mangsa turut dikawal dan pasportnya dipegang sindiket bagi menghalangnya melarikan diri. Mangsa hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekali sehari sebelum dia berjaya menghubungi keluarganya di Cameroon untuk mendapatkan bantuan,” katanya.