BTC USD 82,963.6 Gold USD 4,158.47
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Perkongsian 1 Hari 1 Hadis

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2348.

Dari Juwairiyah (binti Al Harits. isteri Nabi saw.) r,a. katanya : Nabi saw keluar dari rumahnya pagi-pagi setelah selesai solat Subuh. dan Juwairiyah masih berada di tempatnya solat. Setelah waktu Dhuha Rasulullah saw. pulang sedangkan Juwairiyah masih duduk di tempatnya semula. Rasulullah bertanya kepadanya. "Apakah engkau sentiasa duduk (berzikir) seperti itu sejak ku tinggalkan tadi?" Jawab Juwairiyah. "Betul, ya Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Aku hanya mengucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali semenjak itu yang kalau ditimbang dengan apa yang kau baca dalam zikirmu sejak tadi nescaya sama berat. Kalimat itu ialah: Subhanallahi wa bihamdihi 'adada khalqihi, wa ridha nafsihi. wa zinata 'arsyihi, wa midadi kalimaatihi " (Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia sebanyak bilangan makhlukNya, seredha diriNya seberat arasyNya dan sebanyak kalimatNya)
 
Hadis Sunan An-Nasai Jilid 5. Hadis Nombor 4717.

Dari Abu Shalih dari Abu Hurairah dari Rasulullah saw beliau bersabda: "Seorang mukmin tidak akan berzina ketika dia dalam keadaan beriman; dia tidak akan mencuri ketika dia dalam keadaan beriman; dia tidak akan minum minuman keras ketika dia dalam keadaan beriman. Dan jika dia melakukan dosa-dosa itu, maka dia terlepas dari ikatan Islam, kemudian jika dia bertaubat kepada Allah, maka Allah akan menerima taubatnya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1836.

Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah masuk syurga ingin hendak kembali ke dunia, walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya, kecuali orang-orang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, lalu dia mati (syahid) di dunia sampai sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang mati syahid."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2311.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Allah Tabaraka wa Ta'ala mempunyai para malaikat yang bertugas keliling mencari-cari majlis zikir. Bila mereka telah menemukannya, lalu mereka duduk bersama-sama dengan orang-orang yang sedang zikir, memanggil teman-temannya, berkerumun mengitari orang-orang yang sedang zikir itu dengan sayap-sayap mereka sehingga memenuhi ruangan antara mereka dengan langit dunia. Apabila majlis telah bubar, para malaikat naik kembali ke langit. Lalu Allah Ta'ala bertanya kepada mereka, - padahal Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Kalian datang dari mana?" Jawab mereka, "Kami baru kembali memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi. Mereka tasbih, takbir, tahlil, tahmid dan memohon kepada-Mu." Tanya: "Apa yang dimohon mereka kepadaKu?" Jawab : "Mereka memohon syurga kepada-Mu." Tanya: "Pernahkah mereka menampak syurga-Ku?" Jawab : "Tidak'" Firman Allah, "Apalagi kalau mereka menampak syurgaKu!" Kata para malaikat, "Mereka juga memohon kebebasan." Tanya: "Mohon bebas dari apa?" Jawab: "Mohon bebas dari neraka." Tanya: "Pernahkah mereka menampak nerakaKu?" Jawab: "Tidak." Firman Allah Ta'ala: "Apalagi kalau mereka nampak nerakaKu!" Kata para malaikat: "Mereka juga memohon ampun kepadaMu." Jawab: "Aku mengampuni mereka dan memberikan apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari apa yang mereka takuti." Kemudian para malaikat berkata: "Di antara mereka terdapat seorang hamba yang penuh dosa. Dia lalu di majlis itu lalu duduk bersama-sama dengan orang-orang yang zikir." Firman Allah: "Orang itu pun Kuampuni, begitu pula setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu tidak ada yang celaka."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0715.

Dari 'Aisyah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Janganlah kamu memaki orang yang telah mati. Kerana sesungguhnya mereka telah menemui apa yang mereka amalkan (semasa hidupnya)."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1010.

Dari Anas bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: "Andai kata anak Adam itu memiliki emas satu lembah, nescaya dia ingin memiliki satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi penuh mulut (hawa nafsu)nya melainkan tanah (maut). Dan Allah menerima taubat siapa yang taubat kepada-Nya."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1809.

Dari 'Aisyah r.a. bahawa kaum Quraisy amat memusingkan mereka hal seseorang perempuan suku Makhzum yang melakukan pencurian. Mereka mengatakan: "Siapakah yang boleh berbicara dengan Rasulullah saw. (mengemukakan permintaan supaya perempuan itu dibebaskan)? Tiada yang berani untuk membicarakan hal itu hanyalah Usamah kesayangan Rasulullah saw," Lalu Usamah berbicara dengan Rasulullah saw. dan beliau menjawab: "Adakah engkau hendak menolong supaya orang bebas dari hukuman Allah?" Kemudian itu Nabi berdiri dan berkhutbah, sabda beliau: "Hai orang banyak! Orang-orang yang sebelum kamu menjadi sesat jalan disebabkan apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan saja (tidak dihukum). Tetapi kalau seorang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka lakukan hukuman kepadanya. Demi Allah! Kalau seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangan anaknya itu. "
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0978.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: "Ada seorang lelaki berkata, "Aku hendak bersedekah malam ini." Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, "Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi." Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, "Wahai, Allah! Untuk Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi." Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, "Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.' Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :"Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri."
 
Back
Top
Log in Register