Pengendali bas sekolah SG dibenar naikkan tambang sehingga 20% pada Jul dan Ogos
Gambar fail sebuah bas sekolah di Singapura. (Gambar fail: TODAY/Leonard Leong)
SINGAPURA: Pengendali bas sekolah dibenarkan mengenakan bayaran tambahan atau surcaj bahan api sementara sehingga 20 peratus ke atas tambang bagi Julai dan Ogos menyusuli harga bahan api yang masih tinggi, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (26 Jun).
"Pengendali sedang berbincang dengan pihak sekolah mengenai sebarang pelarasan tambang dan memaklumkannya kepada ibu bapa semasa cuti sekolah Jun supaya mereka boleh merancang urusan pengangkutan apabila sesi persekolahan bermula," kata kementerian itu.
IKLAN
Sebelum ini, pemerintah mengumumkan langkah sokongan sementara kepada pengendali bas sekolah bagi perkhidmatan dari April hingga Jun selepas harga bahan api meningkat menyusuli perang di Timur Tengah.
Pada Mei lalu, kadar sokongan itu dinaikkan daripada 13 peratus kepada 20 peratus bersamaan hasil tambang pengangkutan.
Ketika itu, MOE memaklumkan bahawa pihak pengendali dibenar mengenakan surcaj bahan api bagi tempoh terhad mulai Julai sekiranya harga bahan api kekal tinggi bagi membantu mengimbangi peningkatan kos operasi.
Kementerian itu turut menasihatkan sekolah-sekolah supaya menimbangkan secara munasabah permohonan pengendali pengangkutan yang dilantik untuk menaikkan tambang bas bagi aktiviti luar sekolah.
MOE menyatakan pihaknya akan terus memantau rapat perubahan harga bahan api dan menyemak had maksimum surcaj bahan api mengikut keperluan.
IKLAN
Para pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE tidak akan menanggung sebarang kenaikan tambang kerana mereka akan menerima tambahan subsidi bas sekolah bagi menampung sebarang peningkatan tersebut.
Mereka yang memerlukan bantuan tambahan atau tidak layak di bawah skim berkenaan boleh mendapatkan bantuan berasaskan sekolah.
Amerika Syarikat dan Iran menandatangani perjanjian pada 17 Jun bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih tiga bulan.
Walaupun harga bahan api meningkat sepanjang perang itu, ia masih kekal tinggi dan terus meningkatkan kos operasi.
Pengendali bas sekolah SG dibenar naikkan tambang sehingga 20% pada Jul dan Ogos
SINGAPURA: Pengendali bas sekolah dibenarkan mengenakan bayaran tambahan atau surcaj bahan api sementara sehingga 20 peratus ke atas tambang bagi Julai dan Ogos menyusuli harga bahan api yang masih tinggi, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (26 Jun). "Pengendali sedang berbincang...
