afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Pegawai SPRM nafi ahli perniagaan diberi imuniti untuk keterangan
Bekas PM Muhyiddin Yassin sedang dibicarakan atas 7 tuduhan berkaitan program Jana Wibawa, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan semasa wabak Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera. (Gambar Bernama)
Penolong Pesuruhjaya Kanan SPRM Mazery Zaini, 42, menolak dakwaan peguam bela Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik, di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Azman diberikan layanan istimewa atau ditawarkan kekebalan undang-undang sebagai balasan bagi memberi keterangan terhadap Muhyiddin.
Hisyam mencadangkan bahawa Azman, pengarah urusan KCJ Engineering Sdn Bhd, terlepas didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan program Jana Wibawa sebagai balasan tampil memberi keterangan terhadap Muhyiddin.
Beliau menegaskan bahawa SPRM sebelum ini menyiasat Azman serta bekas timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli perniagaan Lian Tian Chuan, namun hanya Adam yang didakwa di mahkamah.
Hisyam: Tidakkah kamu rasa perkara ini pelik dan membingungkan?
Mazery: Bagi saya, tidak.
Hisyam: Adakah kamu setuju jika saya katakan Azman terima layanan istimewa daripada SPRM?
Mazery: Saya tidak setuju.
Hisyam: Dan saya cadangkan kepada kamu bahawa Azman menerima layanan istimewa ekoran wujudnya satu perjanjian, ‘persefahaman’ antara SPRM dan Azman, (iaitu) hadir ke mahkamah, beri keterangan, dan kami akan berikan imuniti serta perlindungan. Kamu setuju?
Mazery: Saya tidak setuju.
Mazery sebelum ini memberi keterangan bahawa Azman tidak pernah direman mahupun didakwa berhubung dakwaan meminta suapan daripada syarikat-syarikat tertentu sebagai balasan membantu mereka memperoleh projek Jana Wibawa.
Beliau berkata, siasatan SPRM mendapati Azman bertindak atas permintaan Muhyiddin.
Pada Ogos 2025, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Adam daripada kesemua 12 tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.
Pembebasan itu dibuat selepas pihak pendakwaan menerima surat representasi Adam dan menawarkan pilihan penyelesaian kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam bela, Amer Hamzah Arshad, Mazery turut menafikan bahawa Azman terdorong untuk mereka-reka perbincangan peribadi dengan Muhyiddin mengenai Jana Wibawa pada Julai 2020 akibat tekanan kewangan.
Amer:Susulan siasatan terhadap Azman, syarikat-syarikatnya terjejas selepas SPRM membekukan akaun miliknya dan syarikat-syarikatnya.
Mazery: Saya setuju.
Amer: Dan disebabkan itu, dia sanggup mereka-reka naratif bahawa berlakunya perbincangan antara dia dengan Muhyiddin?
Mazery: Saya tidak setuju.
Muhyiddin, 79, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta suapan berjumlah RM225.3 juta bagi pihak Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, Azman, serta KCJ Engineering.
Dia turut menghadapi tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity lalu dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Muhyiddin didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 1 Mac 2020 dan 8 Julai 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.