BTC USD 75,561.0 Gold USD 4,359.74
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pengarah syarikat nafi ahli perniagaan guna namanya untuk dapat projek

afwan83

Active+ Member
Messages
3,221
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,221
Reaction score
12
Points
25

Pengarah syarikat nafi ahli perniagaan guna namanya untuk dapat projek​

af99b948-kompleks-mahkamah-kuala-lumpur-fmt-resize-280126-1.jpg

Pengarah dan eksekutif kanan perolehan Nepturis Sdn Bhd Aliza Abd Malek beri keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai saksi pendakwaan ke-13 dalam perbicaraan kes rasuah bekas PM Muhyiddin Yassin.

Aliza Abd Malek, 46, tidak bersetuju dengan dakwaan peguam bela Amer Hamzah Arshad dalam perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa Lian Tian Chuan memindahkan pemilikan syarikat berkenaan kepadanya dan rakan pengarah Rizman Akum Khan sebagai proksi untuk mendapatkan projek, termasuk kontrak bernilai RM141 juta bagi membina ibu pejabat polis Klang Utara.

Semasa pemeriksaan balas, Aliza selaku saksi pendakwaan ke-13 berkata, beliau menerima gaji asas bulanan sebanyak RM6,500 sebagai pengarah, elaun RM6,000, dan bonus tahunan sehingga dua bulan gaji.

Amer Hamzah: Pendapatan itu ialah ganjaran untuk memastikan kamu kekal sebagai pengarah dan, di atas kertas, sebagai pemegang saham. Adakah kamu setuju?

Aliza: Ini semua rezeki.

Amer Hamzah: Jadi ‘rezeki’ kamu datang daripada tindakan membenarkan Lian menggunakan nama kamu?

Aliza: Dia tidak guna nama saya. Dia mahu saya maju dalam kerjaya. Sebab itulah dia serahkan syarikat ini kepada saya dan Rizman.

Minggu lepas, Aliza memberi keterangan bahawa beliau dan Rizman masing-masing memegang 50% kepentingan dalam Nepturis Sdn Bhd, walaupun Lian terus mengawal syarikat itu selepas menyerahkannya kepada mereka pada 2018.

Eksekutif kanan perolehan itu juga mengakui bahawa aturan ini tidak didedahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada Januari 2022, Nepturis dianugerahkan kontrak untuk membina ibu pejabat polis di bawah program Jana Wibawa, yang diperkenalkan bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, Aliza disoal mengenai penglibatan berterusan Lian dalam Nepturis.

Beliau berkata, Lian telah memberi peluang kepadanya dan Rizman untuk memajukan kerjaya mereka, namun kekal terlibat dalam pengurusan syarikat.

“Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan akhbar saya, saya telah lama mengenalinya, dan dia beri peluang kepada saya dan Rizman untuk memajukan kerjaya kami serta menambah baik keadaan keluarga kami.

“Melalui suntikan modal, strategi, pembangunan perniagaan dan bimbingannya, saya dan Rizman terus menguruskan Nepturis sejajar dengan kepercayaan yang diberikan kepada kami.

“Selain itu, Lian tidak dihalang daripada terlibat dalam pengurusan syarikat,” katanya.

Ditanya sama ada Muhyiddin tahu tentang aturan peribadi antara beliau, Rizman dan Lian mengenai pemilikan syarikat itu, Aliza berkata, beliau tidak tahu dan hanya Lian yang boleh menjawab soalan tersebut.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-14, penolong jurutera awam kanan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Saipullah Husin mengesahkan bahawa beliau terlibat dalam projek pembinaan dan menaik taraf Jalan Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 sejak 14 Okt 2022. Projek itu dianugerahkan kepada Sutracom Sdn Bhd.

Beliau mengesahkan beberapa perakuan yang mengesyorkan bayaran untuk kerja-kerja yang telah siap, serta baucar bayaran yang dikeluarkan kepada Sutracom, perunding dan subkontraktor.

Saipullah memberitahu mahkamah, projek itu mendahului jadual sebanyak lima hari, dengan 83.8% kerja telah siap. Menurutnya, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 4 Jan 2027.

Muhyiddin, 78, berdepan tujuh tuduhan yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa, satu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika wabak Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Presiden Bersatu itu didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta suapan bernilai RM225.3 juta bagi pihak parti daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis, Mamfor Sdn Bhd dan Azman Yusoff.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.

Kesalahan itu didakwa berlaku di AmBank di Petaling Jaya dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.
 
Back
Top
Log in Register