afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
PMO keluar surat senarai syarikat untuk projek, mahkamah diberitahu
Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, berdepan tujuh tuduhan berkait Jana Wibawa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram RM200 juta yang didakwa masuk dalam akaun parti. (Gambar Bernama)
Perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Zamzuri Abdul Aziz, 55, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, bahawa syarikat yang dinilai oleh jawatankuasa teknikal kementerian termasuk KCJ Engineering Sdn Bhd, Sutracom Sdn Bhd, dan Nepturis Sdn Bhd.
Zamzuri berkata, beliau memegang jawatan setiausaha Bahagian Perolehan ketika proses penilaian tersebut dijalankan pada 2020 dan 2021.
“Sekiranya nama KCJ Engineering Sdn Bhd tidak dinyatakan dalam surat perdana menteri bertarikh 13 Nov 2020, jawatankuasa itu tidak akan menilai syarikat tersebut.
“Ini kerana penilaian hanya dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang disyorkan PMO,” katanya dalam pernyataan.
Beliau berkata, PMO kemudiannya mengesyorkan Nepturis dalam surat bertarikh 3 Feb 2021, dan Sutracom dalam satu lagi surat bertarikh 17 Mac 2021.
Susulan itu, KCJ Engineering dianugerahkan projek pembinaan jalan raya bernilai RM62 juta yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan.
Nepturis pula memperoleh projek bernilai RM141 juta untuk membina IPD Klang Utara, manakala Sutracom memperoleh projek pembinaan dan menaik taraf Jalan Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 bernilai RM605 juta.
Zamzuri berkata, mana-mana surat hasrat daripada syarikat kontraktor yang tidak disertai dengan minit PMO tidak akan mempunyai sebarang nilai dan tidak akan diteruskan ke peringkat penilaian.
“Walaupun surat hasrat daripada syarikat kontraktor boleh dikemukakan secara terus kepada Kementerian Kewangan (MoF), jawatankuasa berkenaan tetap tidak akan membuat sebarang penilaian jika tiada minit daripada PMO.
“Dalam situasi berkenaan, surat hasrat tidak mempunyai sebarang nilai untuk dipertimbangkan dan tidak akan dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Beliau berkata, di bawah undang-undang dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa, perdana menteri tidak mempunyai kuasa undang-undang mengarahkan sesuatu projek dianugerahkan secara terus kepada mana-mana syarikat tertentu.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Zamzuri berkata, PMO campur tangan dalam pemilihan syarikat bagi projek tersebut.
Wan Shaharuddin: Bagaimana PMO boleh terlibat?
Zamzuri: PMO keluar senarai syarikat untuk dinilai bagi sesuatu projek tertentu.
Wan Shaharuddin: Siapa tandatangan surat tersebut?
Zamzuri: Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, 79, berdepan tujuh pertuduhan berkait program Jana Wibawa yang menjadi inisiatif kerajaan yang diperkenalkannya semasa pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Presiden Bersatu itu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya meminta suapan RM225.3 juta bagi pihak parti daripada Bukhary Equity, Nepturis, Mamfor, Azman Yusoff, dan KCJ Engineering.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di PMO, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di AmBank cawangan Petaling Jaya dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral, antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.