combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Maulidur Rasul: Umat Islam Diseru Terus Teladani Akhlak Rasulullah
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sambutan Maulidur Rasul 1448/2026 hari ini menyaksikan seruan ketua-ketua negeri supaya umat Islam terus meneladani akhlak Rasulullah SAW dengan memperkukuh perpaduan, menyemai kasih sayang serta mengamalkan nilai ihsan dan kebajikan dalam kehidupan seharian.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah umat Islam perlu membawa wajah Islam yang sebenar dengan mengangkat nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan, terutama ketika dunia masih dihimpit dengan pelbagai konflik, peperangan, krisis kemanusiaan serta peningkatan budaya kebencian dan perpecahan.
“Peristiwa yang menimpa saudara kita di Palestin dan di beberapa wilayah Islam yang bergolak menjadi peringatan bahawa keamanan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Umat Islam hendaklah memperkukuh perpaduan, memperbanyak doa, menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta terus menjadi contoh akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz pula bertitah penghayatan terhadap Rukun Negara perlu terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat sebagai panduan membentuk peribadi, akhlak dan peradaban berteraskan nilai agama serta adat.
Baginda bertitah prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang amat penting bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan dilaksanakan berlandaskan peraturan yang ditetapkan.
“Pegangan terhadap agama dan penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat,” titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan.
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa meneladani Rasulullah bukan hanya melalui pengakuan kecintaan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui amalan yang penuh keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah.
“Sifat rahmah yang dizahirkan dalam setiap tutur kata dan tindakan baginda (Rasulullah) menjadi teladan sepanjang zaman dalam membina masyarakat yang saling menyayangi, menghormati, amanah serta bertanggungjawab.