BTC USD 81,244.1 Gold USD 4,378.12
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Dosa Disegerakan Balasannya Didunia

حَدَّثَنَا بَكَّارُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ‏:‏ كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلاَّ الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، أَوْ قَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ

Daripada Bakkār bin ‘Abd al-‘Azīz, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: " Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali perbuatan zalim (melampaui batas), derhaka kepada kedua ibu bapa, dan memutuskan silaturahim. Sesungguhnya Allah akan segerakan hukuman ke atas pelakunya di dunia sebelum kematiannya." (HR Abu Daud No: 4902) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, hadis ini menunjukkan bahawa Allah Maha Pengampun, dan banyak dosa manusia ditangguhkan balasannya hingga hari kiamat kecuali beberapa dosa berat yang tidak akan ditangguhkan malah akan disegerakan azab atau bala di dunia.

2. Tiga Dosa yang disegerakan balasannya semasa didunia
i) الْبَغْي – Kezaliman termasuk menindas orang lain, mengambil hak tanpa izin dan menganiaya atau menyakiti orang lain

ii) عُقُوق الْوَالِدَيْن – Derhaka kepada Ibu Bapa termasuk menyakiti, mengabaikan, tidak menghormati ibu bapa, bercakap kasar, meninggikan suara, enggan membantu, serta memalukan mereka

iii) قَطِيعَة الرَّحِم – Memutuskan Silaturahim dengan keluarga

3. Dosa yang melibatkan hak manusia lain (seperti kezaliman, derhaka, dan memutuskan silaturahim) lebih berat kesannya, kerana ia merosakkan hubungan sosial dan kekeluargaan.

4. Kezaliman terhadap sesama manusia adalah antara dosa yang Allah sangat murka, dan boleh menyebabkan kehancuran hidup, kehilangan berkat, atau ditimpa bala secara langsung.

5. Hormat dan taat kepada ibu bapa adalah perintah Allah, dan kedurhakaan membawa kesan langsung dalam kehidupan, seperti rezeki disekat, hati tidak tenang, dan umur tidak diberkati.

6. Memelihara hubungan kekeluargaan membawa keberkatan umur dan rezeki, manakala memutuskannya membawa kesempitan hidup dan kemurkaan Allah.

7. Hadis ini memberi amaran dan juga peluang bahawa selama belum mati, masih ada ruang untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahan. Tidak semua dosa menunggu hari pembalasan. Ada dosa yang dibalas segera di dunia, seperti hidup susah, tidak diberkati, dihina, tidak tenang, ditimpa bala dan sebagainya.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Rabiul Akhir 1447H
29hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Cinta Kepada Kematian

عَنْ عُبَادَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ‏ : مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ ‏

Daripada Ubadah dari Nabi SAW baginda bersabda: Barang siapa yang mencintai pertemuan dengan Allah, maka Allah mencintai pertemuan dengannya, dan barang siapa yang membenci pertemuan dengan Allah, maka Allah membenci pertemuan dengannya. (HR Bukhari No: 6502) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan maksud "suka bertemu Allah" ialah: Seorang hamba yang beriman dan redha apabila sampai ajalnya. Ia sentiasa beramal soleh dan yakin akan ganjaran kebaikan dan Rahmat Allah serta tidak takut menghadapi kematian.

2. Benci bertemu Allah bermaksud orang yang benci kepada kematian kerana cintakan dunia dan takut kehilangan nikmat dunia.

3. Orang beriman sentiasa bersedia untuk bertemu Allah dengan menyibukkan diri beribadah, taubat, dan melaksanakan amal soleh kerana dia yakin akan bertemu dengan Allah dan mendapat balasan baik.

4. Takut mati kerana belum bersedia adalah wajar, maka jadikan ia motivasi untuk memperbaiki diri, bukan untuk menjauhi Allah.

5. Sesiapa yang hidupnya penuh keimanan, maka kematian adalah pintu kepada pertemuan yang ditunggu-tunggu iaitu bertemu Allah yang Maha Penyayang.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Rabiul Akhir 1447H
30hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Daripada Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Tidaklah seorang lelaki Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun solat ke atas jenazahnya, melainkan Allah akan menerima syafaat mereka untuknya (si mati).’” (HR Muslim No: 948) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada mayat yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat dan keampunan kepada mayat yang disolatkan.

2. Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.

3. Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang ikhlas dan beriman mampu menjadi sebab keampunan kepada orang lain. Maka, bergaullah dengan orang soleh, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.

4. Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.

5. Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia, bukan hanya ahli keluarga si mati.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Rabiul Akhir 1447H
01hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Menyempurnakan Jenazah

عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن غَسَّلَ مَيِّتًا فَكَتَمَ عَلَيْهِ غُفِرَ لَهُ أَرْبَعِينَ مَرَّةً، وَمَن كَفَّنَ مَيِّتًا كَسَاهُ اللَّهُ مِنَ السُّندُسِ وَإِسْتَبْرَقِ الْجَنَّةِ، وَمَن حَفَرَ لِمَيِّتٍ قَبْرًا فَأَجَنَّهُ فِيهِ أُجْرِيَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ كَأَجْرِ مَسْكَنٍ أُسْكِنَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Rafi‘, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memandikan jenazah, lalu menyembunyikan (aib)nya, Allah akan mengampuninya sebanyak empat puluh kali. Dan sesiapa yang mengkafankan jenazah, Allah akan memakaikannya dengan sutera halus (sundus) dan tebal (istabraq) dari syurga. Dan sesiapa yang menggali kubur untuk jenazah lalu mengebumikannya di dalamnya, akan diberikan pahala seumpama menyediakan tempat tinggal (rumah) kepadanya sehingga hari kiamat.” (HR Al Hakim 1/354) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Mengurus jenazah dengan cara memandikan, mengkafankan, dan mengebumikan jenazah merupakan ibadah yang diberi ganjaran besar di sisi Allah jika dilakukan dengan ikhlas dan penuh adab.

2. Orang yang memandikan jenazah perlu menjaga adab ke atas mayat antaranya dengan menyembunyikan aib si mati. Ulama menyatakan “aib jenazah” boleh merujuk kepada perubahan fizikal mayat, bau busuk atau sebarang tanda buruk.

3. Jika terdapat aib pada si mati dan orang yang memandikan jenazah tidak mendedahkannya, Allah akan mengurniakan kepadanya keampunan yang besar sebanyak 40 kali (atau darjat), menunjukkan betapa tinggi nilai rahsia seorang Muslim.

4. Mengkafankan jenazah adalah fardhu kifayah, balasan yang sangat besar kepada orang yang menunaikan hak jenazah dengan penuh ihsan, termasuk menyediakan kain kafan.

5. Menggali kubur dan mengebumikan jenazah juga termasuk fardhu kifayah, dan dalam hadis ini disebut ganjarannya seperti pahala memberi tempat tinggal kekal kepada si mati sehingga hari kiamat.

6. Hadis ini mengajar kita tentang luasnya rahmat dan ganjaran Allah kepada sesiapa yang mengurus jenazah dengan penuh hormat dan beradab. Bahkan mengajar kita untuk menjaga hak si mati dan kehormatannya.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Rabiul Akhir 1447H
02hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kematian Akibat Sakit Perut

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ السَّبِيعِيِّ قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ لِخَالِدِ بْنِ عُرُفْطَةَ أَوْ خَالِدٌ لِسُلَيْمَانَ: أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَن قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ؟ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: نَعَمْ

Daripada Abu Ishaq al-Sabi‘i, beliau berkata: Sulaiman bin Surad berkata kepada Khalid bin ‘Urfaṭah atau Khalid berkata kepada Sulaiman: "Tidakkah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesiapa yang mati disebabkan sakit perut, dia tidak akan diazab dalam kuburnya'?" Lalu salah seorang daripada mereka menjawab kepada rakannya: "Ya (benar, aku mendengarnya).” (HR Tirmizi No: 1064) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Mati akibat sakit perut dianggap sebagai bentuk syahid (seperti cirit-birit yang teruk, barah perut, atau penyakit dalaman) termasuk dalam kategori syahid akhirat dimana mereka tidak diazab di dalam kubur.

2. Al-Qurtubi menyatakan bahawa maksud "tidak diazab di kubur" kepada orang yang mati akibat sakit perut adalah merujuk kepada ringannya keadaan mayat dalam alam barzakh, sebagai bentuk rahmat dan keampunan daripada Allah akibat Redha dan kesabaran menanggung kesakitan semasa di dunia.

3. Penyakit yang menimpa seorang mukmin boleh menjadi penghapus dosa apabila ia sabar, redha dan ikhlas dengan ujian yang dilalui.

4. Sakit bukan petanda dimurkai, bahkan boleh menjadi tanda kasih sayang Allah yang ingin menyucikan hamba-Nya daripada dosa sebelum kematian.

5. Hadis ini memberi pengharapan dan ketenangan kepada mereka yang sedang sakit atau menghadapi ujian kesihatan, bahawa dengan kesabaran dan keimanan, bahkan kematian dalam keadaan sakit pun boleh membawa kemuliaan seperti syahid dan keselamatan di alam kubur.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Rabiul Akhir 1447H
03hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Masuk Syurga dan Jauhi Neraka

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ خَالِدِ بْنِ زَيْدٍ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ، قَالَ: وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعْبُدُ اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, di mana seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, beritahulah aku satu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka." Maka Baginda SAW bersabda: "Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyambung silaturahim." (HR Bukhari No: 5983) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amalan yang membawa ke syurga dan menjauhkan neraka ialah beribadat dengan tidak melakukan syirik, menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan menjaga hubungan silaturahim.

2. Segala amalan bergantung kepada akidah yang benar. Menyembah Allah tanpa syirik adalah syarat utama untuk masuk syurga.

3. Mendirikan solat bukan hanya bermaksud menunaikan solat, tetapi melaksanakan solat dengan penuh syarat, rukun, kekhusyukan dan tepat waktunya. Solat adalah tiang agama dan pemisah antara iman dan kufur.

4. Menunaikan zakat bukan hanya membersihkan harta, tetapi juga memupuk keadilan sosial dan menghapus sifat tamak.

5. Islam sangat menekankan hubungan kekeluargaan. Memelihara silaturrahim adalah salah satu tanda kesempurnaan iman. Menyambung silaturrahim bermaksud berbuat baik kepada kaum keluarga, bertanya khabar, membantu ketika susah, dan tidak memutuskan hubungan.

6. Hadis ini memberi panduan lengkap dan ringkas untuk mencapai kejayaan akhirat iaitu memiliki akidah yang benar, ibadah yang sempurna, dan akhlak sosial yang baik. Ia juga menegaskan bahawa Islam adalah agama yang seimbang antara hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Rabiul Akhir 1447H
04hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zakat Menghilangkan Keburukan

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ أَدَّى الرَّجُلُ زَكَاةَ مَالِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن أَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ فَقَدْ ذَهَبَ عَنْهُ شَرُّهُ

Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata: Seorang lelaki dari kalangan kaum itu bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana jika seseorang itu menunaikan zakat hartanya?" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, maka hilanglah keburukan (bahaya) daripada hartanya." (HR Ibn Khuzaymah (4/13), al-Hakim (1/390) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Dengan menunaikan zakat, seseorang telah mensucikan hartanya daripada hak orang lain, dan dengan itu akan dihindarkan daripada bala, musibah, dan kemurkaan Allah yang mungkin datang akibat kedekut atau menzalimi hak orang miskin.

2. Harta yang tidak dizakatkan berpotensi membawa keburukan, seperti hilang keberkatan, menjadi penyebab azab di akhirat, bahkan boleh membawa bala di dunia.

3. Zakat bukan sahaja menyucikan harta, tetapi juga jiwa pemberinya, menjadikannya lebih tenang dan diberkati.

4. Orang yang menunaikan zakat telah menyempurnakan tanggungjawab agama serta bebas dari beban dosa dan tuduhan pengabaian hak orang lain.

5. Zakat mengekalkan keharmonian sosial. Zakat dapat mengelakkan jurang antara si kaya dan si miskin, serta menghapuskan rasa benci dan iri hati.

6. Islam menitikberatkan keseimbangan antara hak individu dan hak masyarakat. Zakat ialah salah satu cara untuk memastikan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.

7. Menunaikan zakat bukan sekadar transaksi kewangan, tetapi membentuk keperibadian dermawan dan menjauhkan diri daripada cinta dunia yang melampau.

8. Bagi mereka yang memiliki harta yang dikenakan zakat seperti wang simpanan, binatang ternakan, emas perak, pendapatan tetap juga pelaburan, yang mencukupi haul dan nisab, usahakanlah untuk dikeluarkan zakat dengan ikhlas dan yakinlah bahawa ia membawa keberkatan serta perlindungan daripada Allah SWT.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Rabiul Akhir 1447H
05hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Bersedekah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَيْنَمَا رَجُلٌ بِفَلاَةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، فَتَنَحَّى ذَٰلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَٰلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلاَنٌ، لِلاِسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ -الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ- يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ. [وَفِي رِوَايَةٍ]: وَأَجْعَلُ ثُلُثَهُ فِي الْمَسَاكِينِ، وَالسَّائِلِينَ، وَابْنِ السَّبِيلِ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Ketika seorang lelaki berada di sebuah kawasan padang pasir (yang tandus), dia mendengar satu suara dari awan yang berkata: ‘Sirami kebun si fulan!’ Maka awan itu bergerak dan menurunkan airnya ke atas sebidang tanah berbatu hitam (harrat). Air tersebut mengalir ke satu saluran (longkang) di antara saluran-saluran air, dan saluran itu menampung semua air tersebut. Lelaki itu mengikuti aliran air tersebut, lalu dia melihat seorang lelaki sedang berdiri di kebunnya dan mengarahkan air ke kebunnya menggunakan cangkul. Maka dia berkata kepada lelaki itu: ‘Wahai hamba Allah, apakah nama kamu?’ Lelaki itu menjawab dengan menyebut nama yang dia dengar dari awan tadi. Lelaki itu pun berkata: ‘Wahai hamba Allah, mengapa kamu bertanya tentang nama aku?’ Dia menjawab: ‘Sesungguhnya aku mendengar suara dalam awan yang menurunkan air ini, ia berkata: Sirami kebun si fulan (iaitu nama kamu). Maka ceritakanlah kepada aku, apakah yang kamu lakukan (dengan kebun ini)?’ Maka lelaki itu menjawab: ‘Kalau begitu, aku akan beritahu kamu. Aku melihat hasil yang keluar daripadanya (hasil kebun ini), lalu aku sedekahkan satu pertiga daripadanya, aku makan dan beri makan keluargaku satu pertiga, dan aku pulangkan satu pertiga semula ke dalam kebun ini (untuk pelaburan dan penjagaan).’
[Dalam satu riwayat yang lain disebut:] "Aku bahagikan satu pertiga daripadanya untuk orang miskin, orang yang meminta dan musafir yang dalam kesusahan." (HR Muslim No: 2984) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bersedekah membuka pintu keberkatan rezeki. Ibn Rajab menjelaskan bahawa lelaki dalam hadis ini telah diberi keistimewaan luar biasa kerana keikhlasannya dalam membelanjakan hartanya di jalan Allah.

2. Keberkatan rezeki tidak ditentukan oleh banyaknya, tetapi oleh cara penggunaannya. Lelaki dalam hadis diatas membahagikan hasil rezekinya kepada tiga bahagian:
a) 1/3 untuk sedekah (kepada miskin, peminta dan ibnu sabil),
b) 1/3 untuk keperluan diri dan keluarga,
c) 1/3 dilaburkan semula (untuk kesinambungan hasil).

3. Hadis ini menjadi hujah kuat tentang kelebihan bersedekah, bahkan ia menjadi sebab turunnya hujan kepada kebun lelaki tersebut untuk menyuburkan tanamannya sebagai hasil dari barakah amalannya.

4. Apabila kita memberi manfaat kepada orang lain terutamanya golongan yang memerlukan, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan dan menambah keberkatan dalam kehidupan kita.

5. Bijak mengurus rezeki dengan membahagikan hasil kepada sedekah, keperluan diri dan pelaburan semula adalah tanda hikmah dan tanggungjawab.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Rabiul Akhir 1447H
06hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perumpamaan Baju Besi Pada Si Dermawan dan Si Bakhil

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ «مَثَلَ الْبَخِيلِ وَالْمُتَصَدِّقِ كَمَثَلِ رَجُلَيْنِ عَلَيْهِمَا جُنَّتَانِ مِنْ حَدِيدٍ قَدِ اضْطُرَّتْ أَيْدِيهِمَا إِلَى ثُدِيِّهِمَا وَتَرَاقِيهِمَا، فَجَعَلَ الْمُتَصَدِّقُ كُلَّمَا تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ انْبَسَطَتْ عَنْهُ، حَتَّى تُغَشِّيَ أَنَامِلَهُ وَتَعْفُوَ أَثَرَهُ، وَجَعَلَ الْبَخِيلُ كُلَّمَا هَمَّ بِصَدَقَةٍ قَلَصَتْ، وَأَخَذَتْ كُلُّ حَلَقَةٍ مَكَانَهَا»، قَالَ: فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللّهِ يَقُولُ بِإِصْبَعِهِ فِي جَيْبِهِ، فَلَوْ رَأَيْتَهُ يُوَسِّعُهَا وَلاَ تَوَسَّعُ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW memberikan perumpamaan bagi orang yang bakhil (kedekut) dan orang yang bersedekah seperti dua orang lelaki yang memakai baju besi (perisai) yang dibuat daripada besi. Perisai itu menutupi dada dan tengkuk mereka. Apabila orang yang bersedekah memberi sedekah, maka perisainya menjadi longgar dan meluas sehingga menutupi hujung jarinya dan menghapuskan kesan jejaknya (dosa-dosanya). Manakala orang yang bakhil, setiap kali dia berniat untuk bersedekah, perisainya menjadi ketat dan mencengkam tubuhnya sehingga setiap lingkaran perisai itu melekat pada tempatnya. Abu Hurairah berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan jarinya ke arah leher bajunya, seolah-olah Baginda cuba melonggarkannya, tetapi ia tidak longgar. (HR Bukhari No: 5797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perumpamaan baju besi bagi orang yang bersedekah atau dermawan, dimana baju besi itu melonggar dan meliputi tubuhnya, menunjukkan kelapangan dada, ketenangan jiwa, dan keluasan rezeki. Setiap kali dia bersedekah, dia semakin bebas dan ringan, ini adalah tanda keberkatan dan keikhlasan.

2. Perumpamaan bajuk besi bagi orang yang bakhil, baju besi itu semakin ketat, seolah-olah menjerut dirinya sendiri. Setiap kali dia mahu bersedekah, kesempitan jiwa, ketakutan, dan keraguan menghalangnya. Hal ini menunjukkan kesan buruk sifat kedekut terhadap hati dan ruh seseorang.

3. Sedekah adalah penawar kepada penyakit kedekut. Bersedekah secara konsisten akan melapangkan hati, menjadikannya lebih mudah untuk berbuat baik dan memberi.

4. Kedekut menjadikan hati sempit dan sukar menerima kebaikan. Orang yang bakhil bukan sahaja menzalimi orang lain, tetapi juga menyiksa dirinya sendiri dengan kegelisahan dan ketakutan akan kehilangan harta.

5. Orang bakhil mungkin berniat untuk bersedekah tetapi tidak mampu melaksanakannya kerana hati dan nafsunya telah dikuasai oleh sifat tamak dan cinta dunia. Sifat bakhil adalah antara tanda hati yang keras dan merupakan punca kepada kehancuran diri dan masyarakat.

6. Bersedekah akan menyuburkan hati dan memudahkan amalan. Sedangkan kedekut mematikan hati dan menyempitkan rezeki.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

15hb Rabiul Akhir 1447H
07hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Menjadi Pelindung

وَعَنْ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: حَدَّثَنِي بَعْضِ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ ظِلَّ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَة صدقته

Daripada Marthad bin ‘Abdillah, beliau berkata: "Telah menceritakan kepadaku sebahagian sahabat Rasulullah SAW bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya naungan bagi orang beriman pada hari kiamat adalah sedekahnya.'" (Musnad Imam Ahmad No: 23490) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hari Kiamat adalah hari yang penuh kepanasan dan huru-hara. Matahari akan berada sangat dekat di kepala, manusia akan ditimpa kepanasan yang luar biasa, dan masing-masing tenggelam dalam peluh mereka mengikut kadar amalannya.

2. Sedekah menjadi penaung di Hari Kiamat. Mengikut Ibn Hajar, maksud “naungan” di sini ialah perlindungan dari azab, ketakutan, dan kepanasan hari kiamat.

3. Kita dituntut untuk bersedekah dalam pelbagai bentuk tidak hanya wang atau harta, tetapi juga termasuk senyuman, pertolongan, ilmu, nasihat, makanan, doa dan seumpamanya.

4. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya, dan salah satunya ialah:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ

"Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (HR Bukhari No: 620).

5. Hadis ini menggambarkan bahawa sedekah adalah pelindung dan penyelamat di hari kiamat, hari di mana setiap manusia dalam kesusahan dan memerlukan naungan. Oleh itu, setiap mukmin disarankan untuk menjadikan sedekah sebagai amalan harian, kerana manfaatnya bukan hanya di dunia, tetapi berpanjangan hingga ke akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Rabiul Akhir 1447H
08hb Oktober 2025
 
Back
Top
Log in Register