BTC USD 80,882.6 Gold USD 4,382.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selagi kalian berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya (hadis) " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini. Menurut Imam al-Syafi‘i dalam al-Risalah, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana Sunnah adalah penjelasan dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran.

3. Al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa siapa yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah akan terpelihara daripada kesesatan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak.

4. “Berpegang teguh” ialah mengikuti, memahami, dan mengamalkan kedua-duanya, bukan sekadar membaca atau menghafal.

5. Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

6. Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

7. Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

8. Al-Quran dan Sunnah adalah dua pegangan utama yang wajib diikuti oleh setiap Muslim. Sesiapa yang menjadikan kedua-duanya panduan hidup akan mendapat hidayah dan tidak akan tersesat. Umat Islam pada setiap zaman wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam menangani segala isu kehidupan, sama ada dalam aspek ibadah, akhlak, sosial, ekonomi mahupun politik.

Marilah kita memastikan dua pusaka ini kita pelajari, fahami dan mengamalkannya sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Rabiul Awal 1447H
09hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadh bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu Kami berkata; "Wahai Rasulullah, seolah-olah engkau memberi nasihat perpisahan, maka wasiatkanlah sesuatu kepada kami”. Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat (kepada pemimpin) meskipun pemimpin itu seorang hamba Habsyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang banyak, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulaf ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham kamu, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menjadi asas dalam menjaga agama, kerana mengandungi tuntutan takwa, ketaatan, berpegang kepada sunnah dan larangan bid‘ah.

2. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa takwa adalah asas bagi keselamatan dunia dan akhirat. Taqwa kepada Allah, iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

3. Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habsyi. Ibn Hajar menyebut bahawa ketaatan ini penting untuk mengelakkan perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat.

4. Sepeninggalan Rasulullah SAW, akan berlaku banyak perselisihan. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk (perumpamaan menggigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap).

5. Berpegang teguh dengan sunnah ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.”

6. Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Mengikut Ibnu Hajar dengan menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak. Imam al-Syafi‘i menjelaskan bahawa bid‘ah yang tercela ialah yang menyalahi al-Quran, Sunnah, ijmak atau athar sahabat.

7. Hadis ini mengandungi wasiat penting Rasulullah SAW agar bertakwa kepada Allah, taat kepada pemimpin, berpegang teguh dengan sunnah Baginda dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin, serta menjauhi perkara-perkara baru yang tidak ada asas dalam agama.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

17hb Rabiul Awal 1447H
10hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Akhlak Rasulullah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا

Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu: Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begitu ? (HR Muslim No: 2309) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran :

1. Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba.

2. Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati atau mengherdik. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti: “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! Bodo!! Bengong!! Binatang! dan sebagainya.

3. Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik atau diterjemah dalam bentuk tulisan di media sosial. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.

4. Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar, mencela atau mengherdik kepada sahabat juga pekerja. Baginda juga tidak memarahi orang yang berkhidmat dengannya.

5. Perkataan “uff” adalah kalimah ringan yang menunjukkan rasa tidak puas hati, namun Nabi SAW tidak pernah mengucapkannya kepada Anas. Ia mengajar kita agar mengelakkan perlian atau cercaan walaupun ringan kerana ia boleh menyakitkan hati dan mematahkan semangat orang lain.

6. Kelembutan Nabi SAW adalah bentuk tarbiyah terbaik. Dengan kelembutan, Baginda menanam rasa cinta dan hormat dalam hati para sahabat sehingga mereka lebih terdorong untuk taat.

7. Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21).

Selamat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dan contohi akhlak baginda SAW.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

18hb Rabiul Awal 1447H
11hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Dalam Majlis

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1. Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW

2. Hadis ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya sekali selawat dalam sesuatu majlis sudah memadai untuk menunaikan tuntutan selawat dalam majlis tersebut. Namun, menurut Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, adalah lebih utama (afdhal) memperbanyakkan selawat, bukan hanya sekali.

3. Imam al-Sindi menjelaskan bahawa maksudnya ialah seseorang yang berselawat sekali dalam majlis, tidak lagi dianggap lalai atau cuai dalam menunaikan hak Rasulullah SAW pada majlis itu.

4. Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:

مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً, فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ.

“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.” (Al-Musnad Imam Ahmad X/106-107 No. 6605) Status: Hadis Hasan

5. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.

6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa selawat adalah doa, maka ia menjadi sebab rahmat Allah turun ke dalam majlis. Justeru, memperbanyakkan selawat adalah bukti cinta kepada Rasulullah SAW serta cara untuk membersihkan majlis daripada unsur yang sia-sia.

Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan

Selamat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dan perbanyakkanlah berselawat kepada baginda SAW.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

19hb Rabiul Awal 1447H
12hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ

Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain. Kelembutan dan kasih sayang dalam keluarga adalah asas keharmonian rumah tangga.

2. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan buruk dan keji seperti perbuatan kasar kepada orang lain.

3. Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, bertengkar serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks) atau di mana sahaja.

4. Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).

5. Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain. Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim menegaskan bahawa sifat Baginda ini menunjukkan keutamaan memberi maaf kerana ia lebih membawa kepada kasih sayang dan keberkatan.

6. Berusahalah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan tidak mengeluarkan kata-kata kotor, terjerit-jerit dimana sahaja kita berada termasuk dalam bentuk tulisan di media sosial. Jadilah kita orang yang pemaaf.

Selamat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dan contohi akhlak baginda SAW.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Rabiul Awal 1447H
13hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadis riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadis ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim).

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW diutus membawa rahmat untuk seluruh alam.
Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya:107).

2. “Rahmat yang dihadiahkan” mengikut Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir bermaksud: kewujudan Nabi SAW sebagai hadiah besar dari Allah yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliah dan menuju cahaya hidayah.

3. Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap perintah Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari perintah Allah.

4. Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

5. Ibn Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau makhluk alam juga menjauhkannya daripada bencana.

Jadilah kita pewaris sifat rahmah kepada sesama manusia juga kepada makhluk alam yang lain.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

21hb Rabiul Awal 1447H
14hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengumpat, Gosip Perbuatan Tercela

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya: "Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Iaitu engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnah (tuduhan dusta) terhadapnya." (HR Muslim No: 4690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perbuatan ghibah atau mengumpat atau gossip adalah berdosa.

2. Ghibah atau mengumpat adalah menceritakan sesuatu yang buruk, aib atau kelemahan yang ada pada diri orang lain. Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya.

3. Imam al-Ghazali mengatakan ghibah itu bermaksud: ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4. Ghibah atau Mengumpat atau Gossip boleh berlaku melalui lisan, sindiran, tulisan, gambar atau melalui bahasa isyarat.

5. Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah.

6. Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

7. Kesan buruk ghibah boleh menghancurkan silaturahim dan menimbulkan permusuhan dalam Masyarakat disamping menghilangkan pahala amalan solehnya kerana berpindah kepada orang yang diumpat pada hari kiamat.

Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

22hb Rabiul Awal 1447H
15hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menjaga Hak Sesama Muslim

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim Adalah saudara bagi muslim yang lain. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak membiarkannya (diserahkan kepada musuh atau dalam kesusahan). Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan menghilangkan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat, dan sesiapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain

2. Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim bahawa hadis ini mengandungi prinsip asas ukhuwah Islamiyyah yang menuntut setiap Muslim melindungi, membantu, dan menjaga saudaranya.

3. Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan atau tindakan.

b. Tidak boleh membiarkan saudaranya dalam keadaan dizalimi tanpa bantuan, bahkan wajib mempertahankan jika mampu.

4. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.

5. Orang Islam yang menghilangkan kesusahan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan menghilangkan kesusahannya dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat.

6. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

7. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:

a. Allah SWT akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.

b. Allah SWT tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”

Setiap kita perlu berhati-hati terutama dalam penggunaan media sosial. Mudahnya membuka aib, membuat fitnah dengan menzalimi terhadap individu tertentu. Namun, ia tidak bermaksud menyembunyikan kezaliman atau kemungkaran yang membahayakan orang lain, kerana dalam keadaan itu menegur atau melaporkannya adalah lebih utama. Sama-samalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain.

Selamat Menyambut Hari Malaysia 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

23hb Rabiul Awal 1447H
16hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berhati-hati Dalam Berbicara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebab (kata-kata tersebut) ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

2. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Adzkar bahawa hadis ini memberi peringatan tentang bahaya kata-kata yang kelihatan ringan pada pandangan manusia, tetapi besar di sisi Allah. Kadang-kadang perkataan yang dianggap biasa boleh mengandungi unsur syirik, penghinaan agama, fitnah, mengumpat, atau menyakiti hati orang lain.

3. Menurut al-Qurtubi, kata-kata yang boleh menjerumuskan seseorang ke neraka termasuklah:

a. Mengucapkan kalimah kufur walaupun bergurau.
b. Menghina atau memperlekeh hukum Allah.
c. Menyebarkan fitnah dan berita palsu.
d. Mengumpat atau mencela orang lain.

4. Dalam menyampaikan info atau maklumat, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.

5. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, angka “70 tahun” adalah kiasan kepada masa yang sangat lama, bukan semestinya bilangan literal. Hal ini menunjukkan betapa beratnya dosa perkataan tersebut. Perkataan yang salah boleh menjadi punca azab yang panjang di akhirat.

6. Setiap info atau berita yang diucap, ditulis mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).

7. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut bahawa kebanyakan dosa manusia berpunca daripada lidah. Ia lebih berbahaya daripada senjata kerana satu perkataan boleh meruntuhkan maruah, memutuskan silaturrahim, bahkan membawa kekufuran.

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menuturkan kata, menulis serta menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Rabiul Awal 1447H
17hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, kemudian bangunlah seorang lelaki. Kemudian seorang lelaki lain menceritakan keaibannya (mencelanya) selepas dia pergi. Maka Nabi SAW bersabda: “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata: Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.

2. Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain.

3. Nabi SAW menggambarkan perbuatan mengumpat sebagai memakan daging saudara sendiri. Ia adalah satu perumpamaan yang sangat keras untuk menunjukkan betapa jijik dan besar dosanya. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

4. Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

5. Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a) Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b) Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c) Meminta fatwa
d) Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e) Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f) Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

6. Hadis ini menegaskan bahawa dosa lidah boleh menjadi sebab manusia terjerumus ke dalam neraka, walaupun dosa itu kelihatan kecil di mata manusia. Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

25hb Rabiul Awal 1447H
18hb September 2025
 
Back
Top
Log in Register