BTC USD 86,003.0 Gold USD 4,333.54
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Enam Larangan

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, meminta-minta tetapi enggan memberi (menunaikan kewajipan), Allah membenci orang yang banyak bercakap perkara yang sia-sia (mempercayai setiap khabar angin serta menyebarkan), banyak bertanya (yang tidak berfaedah) dan menyia-nyiakan harta (boros atau membazir)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1. Mendurhakai ibu. Berbakti kepada ibu adalah satu kewajipan.

2. Menanam anak perempuan hidup-hidup. Anak adalah amanah Allah yang mesti dipelihara, dididik, dan dimuliakan.

3. Larangan meminta tetapi enggan memberi. Ia bermaksud suka meminta hak daripada orang lain tetapi enggan menunaikan kewajipan. Perbuatan ini dikeji kerana menzahirkan sifat tamak dan tidak bertanggungjawab.

4. Larangan bercakap perkara sia-sia iaitu bercakap tanpa manfaat, berdebat atau bertengkar tanpa tujuan yang baik, menyebarkan khabar angin, atau suka memanjangkan cerita. Ibnu Hajar menjelaskan sebagai sifat orang yang suka menukilkan cerita tanpa menyemak kesahihannya dan boleh membawa kepada fitnah dan permusuhan dalam masyarakat.

5. Banyak bertanya yang tidak berfaedah atau bertujuan untuk menguji atau mengadu domba.

6. Boros terhadap harta (tidak berjimat). Harta adalah amanah Allah. Membazir atau menggunakannya tanpa tujuan yang baik adalah perbuatan yang dimurkai, kerana harta seharusnya digunakan untuk manfaat diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Marilah kita menjadi Muslim yang baik dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, menunaikan kewajipan sebelum menuntut hak, memastikan setiap yang dibicarakan dan disebarkan adalah benar dan bermanfaat bukan sia-sia atau fitnah, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb Rabiul Awal 1447H
19hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertakwa Walau Dimana Berada

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan (dosa) dengan (amalan) kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi, No: 1987) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Taqwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah, meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap siksaan Allah jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui.

3. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa takwa ialah menjaga diri daripada kemurkaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Arahan “di mana sahaja engkau berada” menekankan bahawa takwa mesti dipelihara dalam semua keadaan, sama ada ketika sendirian mahupun di khalayak.

4. Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari atau melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya beristighfar, bersedekah, berzikir, menunaikan solat sunat dan sebagainya.

5. Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan taubat nasuhah.

6. Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji.

7. Berakhlak yang baik mencakupi sifat sabar, lemah lembut, berlapang dada, memaafkan, tidak menyakiti orang lain, serta bersikap adil. Rasulullah SAW menekankan bahawa hubungan sesama manusia mestilah dihiasi dengan akhlak yang mulia agar masyarakat hidup dalam keharmonian.

Bertakwalah walau dimana kita berada.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb Rabiul Awal 1447H
20hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara sesama Muslim lebih daripada tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih daripada tiga hari, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika dia (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima (tidak dijawab), maka Malaikat akan menjawab salamnya, dan (si 'B') yang mendiamkan diri akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan (bermusuh), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga hari. Menurut Imam al-Nawawi, tempoh tiga hari adalah ruang masa untuk meredakan emosi seseorang. Lebih daripada itu dianggap berdosa kerana melanggar adab ukhuwah Islamiah.

2. Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa orang yang mula-mula memberi salam dan memulakan perdamaian akan mendapat kelebihan besar kerana ia dianggap sebagai penebus dosanya.

4. Jika seseorang memberi salam tetapi tidak dijawab, maka malaikat akan menjawab bagi pihaknya, sebagai bukti keredaan Allah kepadanya. Sebaliknya, syaitan akan memperkukuh permusuhan pada pihak yang enggan membalas salam.

5. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling bermusuh, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. Para ulama menjelaskan, maksud “tidak berhimpun di syurga” bukanlah kekal selama-lamanya, tetapi sebagai ancaman keras bahawa permusuhan itu boleh menjadi sebab seseorang dihalang daripada nikmat syurga, kecuali dengan rahmat Allah.

6. Setiap Muslim mesti berusaha menjadi orang yang pertama memulakan perdamaian jika berlaku perselisihan antara mereka. Jauhi sifat ego, dendam dan keras hati kerana ia merosakkan agama dan merugikan kehidupan di akhirat.

Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb Rabiul Awal 1447H
21hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa atau pemerintah yang berlaku adil, banyak bersedekah dan diberi taufik oleh Allah, seorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang menjaga kehormatan diri, menjauhkan diri daripada meminta-minta” (HR Muslim No: 5109) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1. Pertama: Pemerintah atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan mendapat taufik Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pemerintah yang adil adalah tonggak utama masyarakat. Keadilannya bukan sahaja menjaga hak rakyat, malah dengan sifat pemurahnya dia menggunakan kekuasaan dan harta untuk kemaslahatan umat. Taufik Allah adalah syarat terpenting untuk dia istiqamah dalam keadilan dan kebaikan.

3. Kedua: Orang yang penyayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain. Ibn Hajar menjelaskan bahawa sifat penyayang ini meliputi keluarga terdekat serta masyarakat Muslim secara umum. Ia tidak mementingkan diri, tetapi prihatin dengan kesusahan orang lain, membantu, dan memaafkan.

4. Ketiga: Orang yang menjaga kehormatan diri iaitu orang yang hidup dalam kesusahan tetapi tetap menjaga maruah, tidak meminta-minta daripada orang lain, serta berusaha bersungguh-sungguh menyara ahli keluarganya. Ulama menyatakan bahawa orang sebegini mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah kerana kesabarannya.

5. Islam memberi peluang kepada setiap lapisan Masyarakat, sama ada pemimpin, orang berkemampuan, mahupun orang miskin untuk mencapai syurga melalui jalan kebaikan masing-masing.

Sebagai warganegara, sama ada kita seorang pemimpin mahupun pengikut, berusahalah memiliki sifat adil, pemurah, penyayang, lemah lembut serta menjadi pemberi bukan peminta.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb Rabiul Awal 1447H
22hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Rasulullah SAW Dalam Kecerian Wajah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Jangan sekali-kali engkau meremehkan suatu kebaikan meskipun hanya sekadar engkau menemui saudaramu dengan wajah yang ceria (senyuman)" HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menegaskan bahawa semua bentuk kebaikan, walaupun kecil, mempunyai nilai besar di sisi Allah. Kadang-kala amalan yang dianggap kecil oleh manusia boleh menjadi sebab seseorang masuk syurga kerana keikhlasan hatinya.

2. Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu dengan orang lain adalah antara amal kebaikan yang dituntut. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa senyuman kepada saudara Muslim adalah satu bentuk sadaqah yang menunjukkan akhlak mulia. Ia menyemai kasih sayang, menghilangkan kebencian, dan menguatkan ukhuwah Islamiah.

3. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim. Senyuman ikhlas dapat menenangkan hati saudara Muslim, membuang prasangka, dan menambah pahala di sisi Allah.

5. Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar antaranya senyuman, memberi salam apabila bertemu.

Marilah kita sentiasa berwajah ceria dengan senyuman sebagai menyahut sunah Nabi walaupun amalan ini dilihat kecil kerana senyuman itu sedekah.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Rabiul Akhir 1447H
23hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Rasulullah SAW Dalam Berakhlak

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya" (HR Tirmizi No: 1898) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sebaik-baik kita ialah yang paling baik akhlaknya.

2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa kemuliaan seseorang tidak diukur pada kedudukan, harta atau keturunan, tetapi pada akhlaknya yang baik.

3. Akhlak yang baik adalah akhlak terpuji yang dicontohi dari Rasulullah SAW. Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (HR Ahmad No:8952) Status: Hadis sahih

4. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menegaskan bahawa akhlak yang baik adalah ukuran utama dalam menentukan keutamaan seseorang di sisi Allah dan manusia.

5. Akhlak yang baik adalah sifat-sifat terpuji seperti sabar, lemah lembut, jujur, amanah, rendah hati, menahan marah, memaafkan kesalahan, serta memberi manfaat kepada orang lain.

6. Setiap Muslim dituntut memperbaiki akhlaknya kerana ia menjadi asas kepada hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

7. Bersifat terpujilah kita dengan sentiasa memiliki akhlak yang paling baik sama ada dalam beribadat mahupun ketika berhubungan sesama manusia dan makhluk yang lain.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Rabiul Akhir 1447H
24hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Rasulullah SAW Jika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak disukai, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Baginda SAW mengajarkan umatnya untuk sentiasa mengaitkan segala perkara dengan Allah SWT, sama ada perkara itu membawa kegembiraan atau sebaliknya.

2. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.

3. Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna."

Kalimah ini menunjukkan bahawa segala kebaikan dan amal soleh hanya sempurna dengan izin dan pertolongan Allah.

4. Apabila melihat sesuatu yang kita tidak suka hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

"Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan

Kalimah ini mencerminkan kesabaran, reda dan kepasrahan terhadap segala ketentuan Allah, walaupun perkara itu tidak disukai.

5. Ucapan syukur ketika mendapat nikmat menambah keberkatan, manakala ucapan pujian ketika ditimpa ujian menanamkan sifat reda dan sabar.

6. Seorang mukmin yang benar tidak hanya bersyukur ketika senang, tetapi juga reda dan memuji Allah dalam keadaan susah kerana dia yakin setiap ujian ada hikmahnya.

7. Zikir dan doa yang diajarkan Nabi SAW adalah panduan praktikal dalam mengurus emosi dan perasaan seorang Muslim dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan.

Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Rabiul Akhir 1447H
25hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Penghapus Dosa

عَنْ عُثْمَانَ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا، إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوبِ، مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً، وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ

Daripada Uthman RA beliau berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang Muslim pun yang tiba waktu solat fardu ke atasnya, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kekhusyukannya, dan rukuknya, melainkan solat itu menjadi penghapus dosa-dosa yang dilakukannya sebelum itu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan yang demikian itu berlaku sepanjang masa." (HR Muslim No: 228) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Imam al-Nawawi menegaskan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa solat yang dilakukan dengan sempurna dari segi wuduk, khusyuk, dan rukuk berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil. Namun, ia tidak menghapuskan dosa-dosa besar kecuali dengan taubat nasuha.

2. Pentingnya menjauhi dosa besar agar dosa-dosa kecil dapat diampunkan.

3. Wuduk yang sempurna adalah syarat pertama untuk solat yang sah dan diterima. Wuduk bukan sekadar membasuh anggota, tetapi juga perlu dilakukan dengan penuh kesedaran dan niat.

4. Khusyuk dalam solat adalah kunci utama untuk mendapatkan pahala dan keampunan. Tanpa kekhusyukan, solat mungkin hanya menjadi rutin tanpa kesan rohani.

5. Hadis ini menunjukkan bahawa solat bukan sekadar kewajiban harian, tetapi juga alat pembersih rohani harian. Namun, keberkesanannya bergantung pada kualiti pelaksanaannya antaranya wuduk yang betul, kekhusyukan hati, dan rukuk yang sempurna. Ia juga menegaskan pentingnya bertaubat daripada dosa-dosa besar, kerana solat semata-mata tidak mencukupi untuk menghapuskannya. Maka, seorang Muslim perlu menumpukan kepada mutu ibadah, bukan sekadar kuantiti atau kebiasaan.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Rabiul Akhir 1447H
26hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menjaga Solat Fardhu Lima Waktu Dijanjikan Syurga

عَنْ أَبي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: قَالَ اللَّهُ عز وجل افْتَرَضْتُ عَلَى أُمَّتِكَ خَمْسَ صَلَوَات، وَعهِدْتُ عَنِّي عَهْدا - أَنَّهُ مَنْ حَافَظَ عَلَيْهِنَّ لِوَقْتِهِنَّ أَدْخَلْتُهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظ عَلَيْهِنَّ، فَلَا عَهْدَ لَهُ عِنْدِي

Daripada Abu Qatadah bin Rib‘i RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman:"Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Aku telah fardukan ke atas umatmu lima solat (sehari semalam), dan Aku telah membuat perjanjian di sisi-Ku bahawa sesiapa yang menjaganya pada waktunya, maka Aku akan memasukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak menjaganya, maka tiada perjanjian untuknya di sisi-Ku."
(Hadis Qudsi – diriwayatkan oleh Ibn Majah No: 221) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Hadis ini menegaskan bahawa solat lima waktu adalah perintah langsung daripada Allah SWT menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan solat dalam Islam.

2. Orang yang menjaga solat fardhu dengan sempurna, menunaikannya tepat pada waktunya dan dilaksanakan dengan khusyuk, Allah SWT telah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga.

3. Solat adalah ikatan perjanjian antara Allah dan hamba-Nya. Apabila seorang hamba menjaga solat, dia memenuhi syarat perjanjian itu dan mendapat ganjaran Syurga di akhirat.

4. Orang yang tidak menjaga solatnya, khususnya dalam konteks melambat-lambatkannya atau meninggalkannya tanpa sebab, maka mereka telah melepaskan diri mereka daripada jaminan Allah.

5. Solat lima waktu adalah asas keselamatan dan kejayaan seseorang Muslim di akhirat. Ia adalah amalan yang menjadi ukuran hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Menjaganya adalah syarat untuk mendapat jaminan syurga, manakala melalaikannya membawa risiko besar kehilangan rahmat Allah. Maka, setiap Muslim perlu memastikan solatnya dijaga dengan penuh disiplin dan keikhlasan.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Rabiul Akhir 1447H
27hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Bergilir Di Waktu Subuh dan Asar

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ‏"‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat bergilir-gilir datang kepada kamu, malaikat pada waktu malam dan malaikat pada waktu siang. Mereka berkumpul pada waktu solat Subuh dan solat Asar. Kemudian malaikat yang menjaga kamu pada waktu malam naik (ke langit), lalu Allah bertanya kepada mereka sedangkan Allah lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu tinggalkan?’ Mereka menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat, dan kami datang kepada mereka juga dalam keadaan mereka sedang solat.’ (HR Bukhari No: 555) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, para malaikat bertugas silih berganti siang dan malam untuk mengawasi, mencatat amalan, serta menyaksikan ibadah setiap manusia. Setiap hari dan malam ada dua giliran utama malaikat untuk setiap orang dan mereka bertukar giliran ketika solat Subuh dan Asar.

2. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan solat Subuh dan Asar kerana kedua-dua waktu ini menjadi saat peralihan giliran malaikat yang menjaga manusia. Mereka melaporkan keadaan manusia kepada Allah SWT, dan Allah memuliakan mereka yang menjaga solat pada waktu ini.

3. Solat Subuh dan Asar adalah solat yang disebut secara khusus dalam hadis ini kerana:

o Subuh: Waktu permulaan siang, susah untuk bangun.
o Asar: Waktu sibuk memuncak.

Justeru, siapa yang menjaga solat pada waktu ini menunjukkan keimanan dan keikhlasan sebenar mereka.

4. Muslim yang baik adalah yang sentiasa memelihara Solat Fardhu secara istiqamah dan dilakukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.

5. Orang yang sentiasa menjaga solat pada waktunya, nescaya dia berada dalam naungan rahmat Allah dan pujian para malaikat.

6. Hadis ini mengajar kita untuk mengambil serius soal solat, terutamanya solat Subuh dan Asar. Hal ini menyedarkan kita bahawa setiap amal kita tidak tersembunyi daripada pengawasan Allah dan para malaikat. Maka, setiap Muslim seharusnya berusaha untuk memperbaiki solatnya dan istiqamah dalam ibadah agar termasuk dalam kalangan hamba yang disebut dengan baik oleh para malaikat di hadapan Allah SWT.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Rabiul Akhir 1447H
28hb September 2025
 
Back
Top
Log in Register