BTC USD 76,950.0 Gold USD 4,346.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Daripada al-Miqdam bin Ma‘dikarib RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satu bekas yang lebih buruk diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia mesti (mengisi perutnya), maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya." (HR Tirmizi No: 2380) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam menggalakkan kesederhanaan dalam makan dan minum. Makan berlebihan boleh membawa mudarat kepada tubuh badan juga akan menyebabkan kita malas, mengantuk serta lalai.

2. Larangan melampau dalam makan dan minum. Nabi SAW mencela perbuatan memenuhi perut secara berlebihan, dan mengumpamakannya seperti mengisi bekas paling buruk jika berlebihan.

3. Perut yang terlalu penuh membawa kepada kemalasan, penyakit, dan keras hati. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan: "Kenyang yang berlebihan adalah akar segala penyakit hati dan jasad."

4. Nabi SAW memberikan kadar ideal keperluan perut untuk menjaga kesihatan dan keseimbangan tubuh iaitu ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk minuman dan ⅓ untuk pernafasan.

5. Nafsu makan yang tidak dikawal menjadi punca kepada penyakit. Islam menyeru supaya kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

6. Orang yang mengawal perutnya, akan mudah menjaga lidah, mata, dan hatinya kerana kawalan nafsu bermula dari kawalan makanan

7. Sunnah Rasulullah SAW menekankan kesederhanaan dalam pemakanan, dan ini telah terbukti secara saintifik membantu mencegah pelbagai penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, dan diabetes.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb Rabiul Akhir 1447H
19hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memelihara Aurat Sesama Jantina

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ وَاحِدٍ

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Lelaki juga tidak boleh bersentuhan badan dengan lelaki lain dalam satu kain, dan wanita tidak boleh bersentuhan dengan wanita lain dalam satu kain." (HR Muslim No 338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjaga aurat adalah kewajipan bagi setiap Muslim bukan hanya antara lelaki dan Wanita, termasuk dalam kalangan sesama jantina.

2. Larangan bagi lelaki melihat aurat lelaki lain, dan wanita melihat aurat wanita lain, kecuali dalam keadaan darurat (seperti rawatan perubatan) dan mengikut batas yang dibenarkan oleh syarak.

3. Larangan bersentuhan badan secara langsung atau berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syahwat antara sesama jantina bertujuan menutup jalan kepada fitnah, gangguan seksual, atau kecenderungan tidak sihat sesama jantina.

4. Islam menutup segala pintu yang boleh membawa kepada maksiat atau kelakuan menyimpang. Pergaulan sesama jantina walaupun sesama jenis tetap perlu dijaga untuk mengelakkan jenayah homoseksual juga lesbian.

5. Hadis ini menjadi panduan penting dalam menjaga maruah, aurat, dan kehormatan sesama Muslim. Ia menekankan kepentingan menjaga batasan fizikal walaupun dalam kalangan jantina yang sama, sebagai satu usaha menghindari maksiat serta menjaga kesucian masyarakat Islam.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb Rabiul Akhir 1447H
20hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي فِي حُلَّةٍ، تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ جُمَّتَهُ، إِذْ خَسَفَ اللَّهُ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah RA Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai pakaian yang cantik, yang menyebabkan dia kagum dengan dirinya sendiri, dan dia merapikan rambutnya (bergaya), maka Allah menenggelamkannya ke dalam bumi. Maka dia terus terjerumus (tergelincir, tenggelam) ke dalam bumi sehingga hari kiamat.” (HR Bukhari No: 5789) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Takabur dan ujub adalah dosa besar, walaupun tidak dizahirkan secara lisan.

2. Penampilan diri yang baik tidak salah, tetapi hendaklah disertai dengan sifat rendah hati dan kesyukuran kepada Allah.

3. Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang berjalan dengan penuh rasa kagum terhadap diri sendiri (ujub), dengan pakaian yang cantik dan kemas. Ia seolah-olah memperagakan penampilannya untuk meraih pujian atau merasa lebih hebat daripada orang lain. Inilah penyakit ujub yang akan ditimpa azab di dunia dan berterusan di akhirat.

4. Islam tidak melarang berpakaian cantik, tetapi melarang bermegah dan menyombong diri kerana pakaian.

5. Ulama bersepakat bahawa takabur, ujub, dan riak adalah penyakit hati yang merosakkan amal dan membawa kemurkaan Allah.

6. Muslim perlu berhati-hati dengan penyakit hati yang boleh membinasakan walaupun amalannya kelihatan baik secara zahir.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb Rabiul Akhir 1447H
21hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Merapikan Rambut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai rambut, maka hendaklah dia memuliakannya (menjaganya dengan baik)” (HR Abu Daud No: 4163) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan dan penampilan yang kemas, termasuk dalam penjagaan rambut.

2. Memuliakan rambut bermaksud menjaga kebersihan rambut, menyikat dan merapikannya, memotong rambut jika perlu serta menghindari penampilan kusut, kotor, atau menjijikkan.

3. Rambut adalah amanah dan sebahagian dari keindahan fizikal, maka wajib dijaga dan tidak diabaikan. Penjagaan rambut merupakan adab seorang Muslim, kerana Islam adalah agama kebersihan dan keindahan. Sesungguhnya Allah menyukai keindahan. Hadis Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai kecantikan” (HR Muslim No: 164)

4. Hadis ini memberikan mesej yang jelas bahawa menjaga penampilan, terutama rambut, adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Hal ini mencerminkan akhlak, kesopanan, dan kebersihan yang amat ditekankan dalam kehidupan seharian seorang Muslim.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

30hb Rabiul Akhir 1447H
22hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemaskan Janggut dan Misai

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ؛ وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا حَجَّ أَوِ اعْتَمَرَ قَبَضَ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَمَا فَضَلَ أَخَذَهُ

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Bezakan diri kamu daripada orang musyrik; panjangkan janggut dan pendekkan misai. Dan adalah Ibn ‘Umar, apabila beliau menunaikan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggutnya, dan apa yang melebihi genggamannya, beliau akan memotongnya." (HR Bukhari No: 5892) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memelihara janggut dan mencukur misai adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.

2. Membiarkan janggut tumbuh dan tidak dicukur atau dipendekkan secara melampau serta pendekkan misai sehingga tidak menutupi bibir bertujuan untuk membezakan penampilan orang Islam dengan orang musyrik (pada waktu itu orang musyrik mencukur janggut dan membiarkan misai panjang).

3. Menggenggam janggutnya, dan memotong bahagian yang melebihi genggamannya, semasa haji atau umrah menunjukkan bahawa memelihara janggut tidak bermaksud membiarkannya tidak terurus, tetapi dikemaskan tanpa mencukurnya keseluruhan.

4. Hikmah arahan ini bagi kaum lelaki Muslim untuk membezakan dari amalan agama lain yang mencukur janggut serta menggalakkan kebersihan dan ketertiban.

5. Dalam Mazhab Syafie, hukum memelihara janggut adalah sunat muakkad dan mencukurnya makruh kecuali jika ada keperluan syar‘ie.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Jamadil Awal 1447H
23hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sebaik-baik Pakaian

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: البِسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبِيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمْ الإِثْمِدُ: يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعَرَ

Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Pakailah pakaian berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati kamu dengannya. Dan sebaik-baik celak kamu ialah al-Ithmid, kerana ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata (rambut)." (HR Abu Daud No: 3878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam menganjurkan kesederhanaan dalam berpakaian, dan warna putih adalah sunnah yang terbaik.

2. Pakaian berwarna putih adalah sebaik-baik pakaian kerana ia melambangkan kesucian dan kebersihan serta tidak melambangkan sesuatu yang berlebihan, warna sederhana amat sesuai dengan adab tawaduk dalam Islam.

3. Menggunakan kain kafan warna putih untuk jenazah melambangkan kesederhanaan dan kesucian dalam menghadap Tuhan.

4. Penjagaan diri termasuk penggunaan celak seperti ithmid juga dianjurkan. Ithmid adalah sejenis batu mineral hitam kemerah-merahan, dihancurkan halus dan digunakan sebagai celak mata.

5. Celak Ithmid boleh memberi kesan kesihatan kepada mata jika digunakan dengan betul, mampu mencerahkan pandangan mata dan membantu menumbuhkan bulu mata atau rambut halus di sekeliling mata.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Jamadil Awal 1447H
24hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Berhutang

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قِيلَ نَعَمْ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ

Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu harta?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Rasulullah, solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu harta (untuk membayar hutang)?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah berkata: “Mohon solatkan ke atas jenazah ini wahai Rasulullah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (HR Bukhari No: 2286) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hutang adalah perkara penting yang perlu diambil berat. Hutang yang belum diselesaikan boleh menyebabkan urusan akhiratnya terganggu, termasuk dari aspek penghormatan ke atas jenazahnya.


2. Setiap hutang yang dibuat perlu dijelaskan dengan segera, sama ada hutang kepada individu mahupun hutang pada bank atau organisasi.

3. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang berhutang sehinggalah ada yang menjelaskan hutang tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tindakan Nabi SAW adalah untuk mendidik dan menakutkan umat tentang kesan buruk hutang, bukan kerana jenazah itu tidak layak disolatkan.

4. Berusahalah sedaya upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali diyakini mampu untuk membayarnya semula.

5. Bagi orang yang berhutang, pastikan hutang ditulis dan dimaklumkan kepada ahli waris agar dapat diselesaikan daripada harta pusaka yang ditinggalkan apabila berlaku kematian kepada penghutang.

6. Pentingnya perancangan kewangan sebelum mati. Muslim digalakkan membuat wasiat dan meninggalkan harta yang cukup untuk melangsaikan hutang jika ada.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Jamadil Awal 1447H
25hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pesanan Buat Musafir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda: Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.” (HR Tirmizi No: 3445) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti rehat bersama keluarga mahupun menziarahi ahli keluarga pada hujung minggu juga cuti sekolah. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang yang soleh atau berilmu. Wasiat yang baik akan menjadi panduan sepanjang perjalanan.

2. Musafir itu satu bentuk ibadah jika niatnya baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu perlu disertai dengan amalan sunnah dan adab Islam.


3. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:

a. Sentiasa bertaqwa kepada Allah. Takwa adalah bekalan utama dalam setiap keadaan, termasuk ketika bermusafir, kerana ia melindungi kita daripada dosa dan maksiat.

b. Apabila menaiki tempat yang tinggi hendaklah bertakbir.

4. Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadis ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:

a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

b. Sentiasa takut dan menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya.

c. Mengingati kebesaran Allah SWT dan bersyukur dengan segala kurniaan-Nya (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/406)

5. Bagi kita yang mengetahui ada ahli keluarga atau sahabat yang akan bermusafir, doakanlah mereka dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya (cepat sampai ke destinasi), dan mudahkanlah perjalanannya (jauh daripada bahaya juga gangguan)”

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Jamadil Awal 1447H
26hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَسْدِ يُقَالُ لَهُ ابْنُ اللُّتْبِيَّةِ قَالَ عَمْرٌو وَابْنُ أَبِي عُمَرَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا لِي أُهْدِيَ لِي قَالَ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي أَفَلَا قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِي بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَيْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abu Humaid As Sa'idi dia berkata, "Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan kepada kamu (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku sebagai hadiah." Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu naik ke atas mimbar dan berkhutbah, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan: "Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? “Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang mengambil sesuatu daripadanya (harta secara tidak halal), melainkan dia akan datang pada hari Kiamat sambil memikul ditengkuknya. Jika (yang diambil) seekor unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu pun) bersuara." Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: 'Ya Allah, telah aku sampaikan.' Baginda mengatakannya dua kali." (HR Muslim No: 3413) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan amanah bukan mengkhianatinya.

2. Pekerja yang amanah dan jujur hanya akan mengambil upah yang diberi dan tidak sekali-kali mengkhianatinya.

3. Sesiapa yang mengambil sesuatu yang lain daripada upah yang dibayar kepadanya, akan dipersoal di hari kiamat.

4. Hadiah kepada penjawat awam dalam konteks ini dianggap sebagai rasuah atau salah guna kuasa, kerana tidak akan diberikan kepadanya jika dia bukan seorang yang berjawatan.

5. Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang kerana dibimbangi ada tujuan lain.

6. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap harta kita akan dipersoal dari mana sumbernya dan kemana dibelanjakan:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ …… وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

Maksudnya: “Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya - tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan” (HR Tirmizi No: 2341).

Sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan memiliki semangat patriotik dan cintakan negara, pastikan setiap kita memelihara amanah yang diberi. Pastikan juga harta yang kita perolehi adalah yang bersih dan halal. Jangan sesekali mengambil dan menerima yang bukan hak kita.

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Jamadil Awal 1447H
27hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pelaku Rasuah Dilaknat Allah dan Rasul

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin 'Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah" (HR Tirmizi No: 1337) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji bukan hanya haram tetapi termasuk dalam dosa besar dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

2. Rasuah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

3. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun dan sebagainya.

4. Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah masyarakat dan agama. Rasuah membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem masyarakat. Rasuah menyekat hak orang lain dan mengangkat yang tidak layak.

5. Rasulullah SAW juga mengancam neraka ke atas mereka yang terlibat.

الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ

Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.” (HR al-Tabarani dalam al-Kabir No: 4415) Status: Hadis Sahih

6. Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil atau salah adalah dosa besar dan dilarang. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat: 188).

7. Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan dari Rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ia adalah amaran keras, kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, tetapi rasuah termasuk di antaranya. Jangan sekali-kali terlibat dengan Rasuah yang mengakibatkan kita dilaknat oleh Allah dan Rasul.

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Jamadil Awal 1447H
28hb Oktober 2025
 
Back
Top
Log in Register