BTC USD 78,133.2 Gold USD 4,376.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Abu Talhah dan Kebun Bairuha’

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ الأَنْصَارِ مَالًا، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرَحَاءُ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ. قَالَ أَنَسٌ: فَلَمَّا نَزَلَتْ هذِهِ الآيَةُ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ [آل عمران: ٩٢]
قَامَ أَبُو طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ وَإِنَّ أَحَبَّ مَالِي إِلَيَّ بَيْرَحَاءُ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ، أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ شِئْتَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ.
فَقَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَبَنِي عَمِّهِ

Daripada Anas RA berkata: Sesungguhnya Abu Talhah RA adalah orang Ansar yang paling banyak harta berupa kebun kurma di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairuha’, yang terletak menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW sering masuk ke dalam kebun itu dan meminum air yang baik dari situ. Kata Anas: Apabila diturunkan ayat ini: "Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu cintai." (Surah Ali ‘Imran: 92) Maka Abu Talhah pergi menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat ini, dan sesungguhnya harta yang paling aku sayangi ialah kebun Bairuha’. Maka aku sedekahkannya kerana Allah, aku harapkan kebaikan dan ganjaran yang berkekalan di sisi Allah. Oleh itu, wahai Rasulullah, gunakanlah ia sebagaimana yang Allah tunjukkan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: "Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah dengar apa yang kamu katakan, dan aku berpendapat supaya kamu menyedekahkannya kepada kaum kerabatmu." Lalu Abu Talhah berkata: “Aku akan lakukan, wahai Rasulullah.” Maka beliau membahagikan kebun itu kepada kaum kerabat dan sepupu-sepupunya. (HR Muslim No: 998) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hadis ini mengajar umat Islam supaya berusaha mencapai darjat al-birr (kebaikan yang sempurna) dengan pengorbanan menyumbang sesuatu yang paling disayangi, bukan sekadar lebihan harta.

2. Tindakan Abu Talhah sebagai contoh keikhlasan tertinggi dalam bersedekah iaitu kebun kurma yang disayanginya bernama Bairuha’. Imam Nawawi menyebut bahawa tindakan beliau menunjukkan nilai ketakwaan dan pengorbanan yang tinggi kerana beliau menyedekahkan harta yang paling disayangi, bukan lebihan atau yang kurang berharga.

3. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengarahkan Abu Talhah agar kebun itu disedekahkan kepada kaum kerabat, menunjukkan bahawa sedekah kepada keluarga sendiri lebih utama jika mereka memerlukan. Dalam hadis lain menyebut:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ : صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Maksudnya: “Sedekah pada orang miskin itu adalah sedekah semata-mata, sedangkan sedekah pada kerabat mengandungi dua hal, sedekah dan mengeratkan tali persaudaraan.” Riwayat Ibn Hibban (3344).

4. Hadis ini menggambarkan betapa para sahabat tidak terikat dengan dunia, walaupun mereka memiliki harta yang bernilai, mereka tidak teragak-agak untuk mengorbankannya demi Allah.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

17hb Rabiul Akhir 1447H
09hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Dan Keikhlasan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki berkata: "Aku akan bersedekah." Lalu dia keluar dan meletakkan sedekahnya (tetapi sedekahnya jatuh) di tangan seorang pencuri. Pagi harinya, orang ramai bercakap: “Semalam, dia bersedekah kepada pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian, aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar dan memberikan sedekahnya dan jatuh kepada seorang pelacur. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Semalam, dia bersedekah kepada pelacur!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. (bersedekah) kepada pelacur? Aku akan bersedekah lagi” Dia keluar sekali lagi dan memberikan sedekahnya (kebetulan) kepada seorang yang kaya. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Dia bersedekah kepada orang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian (sedekahnya jatuh) kepada pencuri, pelacur dan orang kaya.” Maka dia didatangi dalam mimpi dan dikatakan kepadanya: “Sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia insaf dan meninggalkan perbuatan mencuri. Sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan dia bertaubat dan meninggalkan zina. Sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya.” (HR Muslim No: 1022) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Niat adalah asas utama dalam semua amal ibadah. Lelaki dalam hadis ini bersedekah dengan niat yang tulus kerana Allah, bukan untuk menunjuk.

2. Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang dengan ikhlas ingin bersedekah. Namun, tiga kali sedekahnya "tersalah sasaran" jatuh ke tangan pencuri, penzina, dan orang kaya. Namun dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, dan akhirnya dia diberitahu bahawa setiap pemberian itu berpotensi memberi kesan positif kepada penerimanya.

3. Jangan kita menilai masa depan seseorang berdasarkan dosa atau statusnya hari ini. Jangan terlalu cepat menghakimi hasil sesuatu amal kerana Allah Sahaja yang Maha Mengetahui hikmahnya.

4. Allah SWT kadang-kadang mengatur sesuatu yang kita tidak sangka. Tindakan lelaki dalam hadis ini menjadi asbab hidayah dan perubahan hidup seseorang dimana pencuri, pelacur dan orang kaya, masing-masing terdorong untuk berubah.

5. Sedekah mendidik jiwa dan menyedarkan manusia, termasuk mereka yang melakukan maksiat atau lalai. Ibn Qayyim menyebut bahawa “sedekah yang ikhlas boleh membuka pintu taubat bagi mereka yang tidak pernah terfikir untuk berubah.

6. Hadis ini menegaskan bahawa sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia, walaupun kelihatan tidak “kena” pada pandangan manusia. Setiap perbuatan baik, jika diniatkan kerana Allah, pasti ada ganjaran dan hikmahnya yang tersembunyi. Kita diajar agar tidak menghukum amal seseorang hanya pada zahir. Yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui niat dan akibat sesuatu perkara.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

18hb Rabiul Akhir 1447H
10hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Lindungi Diri Dari Api Neraka

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ الطَّائِيِّ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَتِرَ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَلْيَفْعَلْ

Daripada Adi bin Hatim at-To’I, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa di antara kamu yang mampu melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan separuh biji tamar, maka lakukanlah." (HR Bukhari No: 6195) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Nilai sedekah tidak terletak pada jumlah, tetapi pada keikhlasan dan niat memberi. Separuh biji tamar adalah simbol kepada sesuatu yang sangat kecil, namun tetap diterima di sisi Allah jika diberikan dengan niat yang ikhlas.

2. Amalan kecil seperti bersedekah dengan separuh biji kurma boleh menjadi asbab keselamatan dari api neraka jika disertai niat yang ikhlas.

3. Rasulullah SAW mengajar kita agar tidak memandang remeh amalan baik, kerana sekecil mana pun amalan itu, ia tetap diberi ganjaran oleh Allah. Kita tidak tahu mana satukah amalan kita yang diterima oleh Allah?

4. Kemampuan bukan alasan untuk tidak memberi. Hadis ini menunjukkan bahawa tiada alasan untuk tidak bersedekah walau sekecil apa pun yang dimiliki, tetap ada ruang untuk memberi.

5. Jangan tunggu kaya untuk bersedekah, berilah walaupun sedikit yang kita ada kerana ia boleh menjadi sebab keselamatan kita di akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

19hb Rabiul Akhir 1447H
11hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebajikan Diganjari Kebaikan

عن أم سلمة أم المؤمنين قالَ, قالَ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ خَفِيًّا تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ زِيَادَةٌ فِي الْعُمُرِ، وَكُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَأَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الْآخِرَةِ، وَأَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الْآخِرَةِ

Daripada Ummu Salamah, Ummul Mukminin RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Amalan-amalan kebajikan dapat menghindarkan daripada kecelakaan yang buruk, dan sedekah yang diberikan secara sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah. Menyambung silaturahim pula dapat memanjangkan umur. Setiap kebaikan adalah satu sedekah. Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia adalah juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan di akhirat, dan orang-orang yang biasa melakukan kejahatan di dunia akan juga menjadi ahli kejahatan di akhirat." (HR Tobrani No: 6086) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbuatan baik seperti membantu orang lain, sedekah, meringankan beban, dan memberi manfaat kepada orang, akan menjadi asbab turunnya Rahmat Allah serta mampu menghindar bala, musibah dan penutup kepada kesudahan yang buruk.

2. Sedekah yang dilakukan secara rahsia menunjukkan keikhlasan dan jauh dari riyak. Ia dapat menghapuskan dosa dan memadamkan kemurkaan Allah.

3. Menghubungkan silaturrahim keluarga boleh membawa keberkatan umur, ketenangan hidup, terpelihara dari keburukan dan memperoleh rezeki yang luas.

4. Setiap kebaikan adalah sedekah termasuk memberi senyuman, menolong orang, menasihati, atau menyingkirkan gangguan dari jalan.

5. Orang yang biasa berbuat baik di dunia akan mendapat tempat yang baik, ganjaran dan kemuliaan di akhirat.

6. Orang yang melakukan kejahatan di dunia tanpa bertaubat, akan mendapat balasan kejahatan di akhirat kecuali mendapat keampunan Allah.

7. Marilah kita menjadi orang yang suka berbuat baik, walaupun kecil. Jauhi maksiat dan dosa, kerana ia memberi kesan akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Rabiul Akhir 1447H
12hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Menyediakan Sumber Air

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ حَفَرَ مَاءً لَمْ تَشْرَبْ مِنْهُ كَبِدٌ حَرَّى مِنْ جِنٍّ وَلَا إِنْسٍ وَلَا طَائِرٍ، إِلَّا آجَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Jabir bin Abdullah RA Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menggali sumber air (seperti telaga) dan daripadanya diminum oleh makhluk yang kehausan sama ada jin, manusia atau burung maka Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya pada hari kiamat." (HR Khuzaimah No: 1292) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menyediakan air sama ada dengan menggali perigi, menyediakan saliran air, membina paip atau wakaf air, termasuk dalam amal soleh yang besar ganjarannya dan menjadi amal jariah buatnya walaupun selepas kematian.

2. Memberi air kepada makhluk adalah antara sedekah yang utama kerana ia keperluan asas semua kehidupan.

3. Kita dianjurkan berbuat baik bukan hanya kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuhan juga jin. Setiap nyawa yang diselamatkan atau dibantu, walau bukan manusia, dikira sebagai amalan soleh.

4. Islam menekankan belas kasihan bukan hanya kepada manusia, tetapi kepada semua makhluk hidup.

5. Hadis ini menggambarkan luasnya ganjaran kebaikan dalam Islam, termasuk memberi manfaat kepada haiwan dan makhluk lain. Menggali perigi atau menyediakan sumber air bukan sahaja memenuhi keperluan makhluk lain, bahkan ia menjadi pahala berterusan hingga akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

21hb Rabiul Akhir 1447H
13hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ihsan Kepada Penghutang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِهِ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW: "Sesiapa yang memberi tempoh kepada orang yang dalam kesusahan (untuk membayar hutang), atau mengurangkan sebahagian daripadanya, maka Allah akan menaunginya pada hari kiamat di bawah naungan ‘Arasy-Nya, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya." (HR Tirmizi No: 1306) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Melanjutkan tempoh pembayaran hutang bagi orang yang tidak mampu membayar tepat pada masanya juga menghapuskan sebahagian atau keseluruhan hutang kepada orang yang berhutang adalah akhlak terpuji yang amat digalakkan dalam Islam, khususnya ketika seseorang benar-benar menghadapi kesempitan hidup.

2. Orang yang memiliki sifat ini akan mendapat naungan di bawah ‘Arasy Allah pada Hari Kiamat kelak, hari di mana matahari terlalu dekat di kepala dan manusia dalam ketakutan, dan tiada tempat perlindungan kecuali naungan yang Allah berikan kepada hamba-hamba pilihan-Nya.

3. Islam sangat menekankan sikap ihsan dalam urusan kewangan, termasuk kepada penghutang. Memahami keadaan orang lain dan meringankan beban mereka adalah sebahagian daripada taqwa dan kasih sayang sesama manusia.

4. Memberi tangguh, mengurangkan atau memaafkan hutang kepada orang yang tidak mampu bayar hutang dalam waktunya, bukan hanya meringankan orang lain, tetapi sebenarnya pelaburan besar untuk akhirat.

5. Bagi penghutang yang berkemampuan untuk membayar, perlu segera melunaskannya. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.” (HR Bukhari No: 2305) Status Hadis Sahih

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

22hb Rabiul Akhir 1447H
14hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Permudahkan Urusan Orang

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ رَجُلًا كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، أَتَاهُ الْمَلَكُ لِيَقْبِضَ رُوحَهُ، فَقِيلَ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: مَا أَعْلَمُ. قِيلَ لَهُ: انْظُرْ، قَالَ: مَا أَعْلَمُ شَيْئًا، غَيْرَ أَنِّي كُنْتُ أُبَايِعُ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا، وَأُجَازِيهِمْ، فَأُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ، فَأَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Daripada Huzaifah bin Yaman RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ada seorang lelaki dalam kalangan umat sebelum kamu, didatangi oleh malaikat untuk mencabut rohnya. Maka ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Malaikat berkata kepadanya: ‘Cuba ingat kembali.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu apa-apa kebaikan melainkan aku biasa berniaga dengan manusia di dunia. Aku memberi kelonggaran kepada orang yang senang, dan memberi tempoh kepada orang yang susah.’ Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga.” (HR Bukhari No: 3451) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah amat menghargai mereka yang mempermudahkan urusan orang lain, terutamanya yang dalam kesusahan, bersikap lembut dan bertimbang rasa dalam urusan dunia.

2. Sikap memberi tempoh kepada orang yang susah dan tidak menekan pelanggan menunjukkan rahmat dan belas kasihan yang sangat dihargai.

3. Orang yang memudahkan urusan orang lain di dunia walaupun kecil nescaya Allah akan memudahkan urusannya di akhirat.

4. Lelaki dalam hadis ini tidak menyedari bahawa ada amalan yang kecil yang diamalkan dalam hidupnya dalam berurusan dengan manusia lain boleh menjadi sebab masuk Syurga iaitu memberi kelonggaran kepada orang yang berurusan dengannya.

5. Hadis ini memperlihatkan kemuliaan akhlak dalam jual beli, di mana sifat lembut, pemaaf dan tidak berkira adalah antara ciri-ciri utama orang yang disayangi Allah.

6. Hadis ini mengajar kita agar tidak hanya mencari keuntungan dalam berurusan, tetapi juga menyemai nilai kemanusiaan, keihsanan, sabar dan rahmat dalam semua urusan.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

23hb Rabiul Akhir 1447H
15hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Memberi Pinjaman

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ، إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

Daripada Abdullah bin Masud RA Nabi SAW bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang memberi pinjaman kepada Muslim lain sebanyak dua kali, melainkan ia (pahalanya) seperti bersedekah sekali.” (HR Ibnu Majah No: 2430) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan adalah amalan terpuji kerana sanggup mengorbankan kesenangan diri.

2. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan, jika dilakukan dua kali, maka ganjarannya seolah-olah memberi sedekah sekali. Ia menunjukkan bahawa memberi pinjaman kepada yang memerlukan dianggap sebagai ibadah besar dan mendapat pahala sedekah, selagi tidak disertai riba.

3. Pinjaman diberi ganjaran seperti sedekah kerana ia membantu secara langsung orang dalam kesempitan, diberi tanpa faedah dan hanya untuk membantu bukan meraih keuntungan.

4. Memberi pinjaman dua kali menyamai pahala sedekah sekali ganjarannya kerana pinjaman tetap perlu dibayar balik, sedangkan sedekah tidak.

5. "Pinjaman dua kali" dalam hadis ini mengisyaratkan nilai kesabaran dan kesediaan untuk membantu lebih daripada sekali walaupun mungkin orang tersebut pernah gagal melunaskan hutang pada kali pertama.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Rabiul Akhir 1447H
16hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan dan Minum Dengan Tangan Kanan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Daripada Ibn ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya." (HR Muslim No: 2020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab untuk makan dan minum adalah menggunakan tangan kanan, jika dilakukan dengan niat mengikuti sunnah akan mendatangkan pahala.

2. Kita dilarangan menggunakan tangan kira untuk makan dan minum kerana ia adalah perbuatan Syaitan.

3. Ulama fiqh menyatakan bahawa jika seseorang tidak mampu menggunakan tangan kanan kerana sakit, lumpuh, atau uzur syar‘ie, maka tidak mengapa makan atau minum dengan tangan kiri.

4. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa larangan menggunakan tangan kiri bukan sekadar adab, tetapi membezakan akhlak seorang mukmin dengan syaitan dan orang fasik.

5. Hadis ini menunjukkan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunnah yang dituntut, dan ia merupakan satu cara membezakan diri kita daripada syaitan serta menghidupkan sunnah Nabi SAW. Ia mendidik kita agar berdisiplin, beradab, dan taat kepada panduan syariat dalam setiap aspek kehidupan, sekecil mana pun perbuatan itu.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

25hb Rabiul Akhir 1447H
17hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Makan dan Minum Berdiri

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا: فَالْأَكْلُ؟ فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ، أَوْ أَخْبَثُ

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW melarang seseorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah: Maka kami bertanya, bagaimana pula dengan makan? Baginda menjawab: "Itu lebih buruk atau lebih keji." (HR Muslim No: 2024) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Duduk ketika makan dan minum adalah amalan sunnah yang dituntut kerana ia lebih sopan dan selamat.

2. Nabi SAW melarang perbuatan minum dan makan sambil berdiri. Menurut Imam Nawawi, larangan ini termasuk dalam bab adab, bukan bermaksud haram tetapi makruh tanzih (tidak disukai, tapi tidak berdosa jika dilakukan).

3. Imam al-San'ani menyebutkan dalam Subul al-Salam, larangan ini bertujuan untuk mendidik adab kesopanan, menghindari mudarat kesihatan serta menunjukkan tawaduk dan ketertiban dalam adab makan dan minum.

4. Dari sudut kesihatan, pakar perubatan menyatakan minum sambil berdiri boleh menyebabkan aliran air ke perut menjadi terlalu cepat, yang mengganggu fungsi sistem pencernaan.

5. Makan sambil berdiri lebih buruk daripada minum berdiri. Dalam keadaan tertentu misalnya tempat kotor, ruang sempit, tiada tempat duduk, minum berdiri diharuskan. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah minum sambil berdiri.

6. Hadis ini menekankan keutamaan adab dalam hal makan dan minum, menunjukkan bahawa Islam mengajar umatnya kesopanan dan penghormatan terhadap nikmat walaupun dalam perkara yang kelihatan kecil.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb Rabiul Akhir 1447H
18hb Oktober 2025
 
Back
Top
Log in Register