Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
KKR Kenal Pasti 94 Lokasi Strategik Naik Taraf Keselamatan Jalan Raya
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI : Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya 2026 di Bahagian Perkhidmatan Mekanikal JKR Workshop.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 94 lokasi strategik di Semenanjung Malaysia bagi pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya tahun ini, melibatkan 77 lokasi di bawah Program Blackspot dengan peruntukan sebanyak RM27.85 juta.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain itu, sebanyak 17 lokasi turut dikenal pasti di bawah Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) dengan peruntukan RM5.2 juta yang akan dilaksanakan tahun ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk di 11 negeri dan 36 daerah, sekali gus mempertingkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menyumbang kepada kesejahteraan pengguna di kawasan terlibat.
“Antara inisiatif utama peningkatan tahap keselamatan infrastruktur jalan raya secara menyeluruh oleh KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot), iaitu pendekatan strategik KKR dalam menangani lokasi berisiko tinggi, yang dikenal pasti melalui analisis data Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) yang digunakan secara menyeluruh sejak 2021.
“Antara kriteria lokasi Blackspot ialah berlakunya tiga kemalangan sama jenis atau lima kemalangan pelbagai jenis dalam tempoh tiga tahun serta berada dalam lingkungan 50 meter daripada pusat atau 100 meter daripada panjang jalan.
“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 342 lokasi Blackspot telah berjaya dirawat melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM118.5 juta, yang telah membantu meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta melindungi pengguna jalan raya dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI: Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya 2026 di sini hari ini.
Nanta berkata dalam usaha memastikan keselamatan pejalan kaki terus diberi perhatian, KKR telah melaksanakan LPKSI sejak 2018 bagi menyediakan kemudahan lintasan pejalan kaki yang lebih selamat, teratur dan mesra pengguna.
“Sehingga 2025, sebanyak 154 lokasi telah dilengkapi dengan kemudahan LPKSI melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM39.79 juta, yang telah membantu meningkatkan keselamatan pejalan kaki, mengurangkan risiko kemalangan serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap kemudahan jalan raya lebih selamat,” katanya.
Loading…
www.bernama.com