kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Naik Taraf FT17: Transformasi Lebuhraya Pasir Gudang Tingkat Keselamatan Pengguna
Kebimbangan pengguna jalan raya terhadap aspek keselamatan di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) kini kian reda, susulan inisiatif naik taraf bersepadu kerajaan negeri yang berjaya mentransformasikan nadi utama industri itu menjadi laluan yang lebih selamat, efisien dan moden.
Tinjauan Bernama mendapati siri naik taraf infrastruktur secara bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri itu, berjaya mentransformasikan imej laluan berkenaan, sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna harian yang sebelum ini sering berhadapan dengan risiko “laluan gelap”.
Kakitangan syarikat swasta Nur Izzati Mohd Nor, 28, mengakui peningkatan kualiti penglihatan hasil pemasangan lampu LED amat membantu pengguna, terutamanya wanita, untuk lebih bersedia dan pantas bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Apabila persekitaran terang dan jalan lebih lebar, kita tidak perlu lagi bimbang tentang risiko lubang atau objek asing, kerana semuanya nampak jelas. Memandu pada lewat malam kini terasa lebih tenang dan selamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang rutin berulang-alik melalui lebuh raya tersebut mengakui, kawasan yang dahulunya mencetuskan kebimbangan kini bertukar menjadi infrastruktur penting, yang menjamin keselamatan dan keselesaan perjalanannya ke tempat kerja.
Bagi pesara S. Rathakrishnan, 62, beliau menyifatkan transformasi itu, sebagai satu pembuktian terhadap keseriusan pihak berkuasa dalam menjaga nyawa rakyat, menerusi penyediaan fasiliti berkualiti tinggi di kawasan berkepadatan tinggi.
“Kalau dahulu lalu di sini (Lebuhraya Pasir Gudang) memang cukup berbahaya, suasana gelap, jalan berlubang membahayakan keselamatan kami penunggang motosikal, lebih-lebih lagi ketika hujan. Tetapi sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) infrastruktur ini jauh lebih baik.
“Usaha kerajaan negeri menyelenggara lampu jalan, menurap dan melebarkan jalan ini, satu usaha yang cukup bermakna untuk rakyat yang sentiasa bergantung kepada lebuh raya ini,” katanya yang menetap di sekitar Bandar Seri Alam.
Seorang lagi pengguna, Tan Wei Lun, 38, memuji usaha berterusan kerajaan negeri dalam menaik taraf fasiliti penting yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi setempat.