Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,780
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,780
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Risikan Keselamatan Penting Kenal Pasti Risiko, Cegah Nahas Penerbangan - CAAM
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berucap pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS'26) bertemakan 'Memperkasa Keselamatan Menerusi Teknologi' hari ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mahu penggunaan risikan keselamatan termasuk kecerdasan buatan (AI), data serta kepakaran kolektif dipertingkat bagi mencegah kemalangan penerbangan dan mencapai sasaran sifar kematian.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata komuniti penerbangan perlu memanfaatkan segala sumber, pengetahuan dan kepakaran sedia ada bagi mengenal pasti serta menangani risiko keselamatan sebelum ia mencetuskan kemalangan.
Beliau berkata aspek keselamatan perlu menjadi tanggungjawab peribadi setiap individu dalam industri penerbangan khususnya susulan nahas helikopter di Sarawak dua hari lepas, yang meragut lima nyawa.
“Keselamatan adalah sesuatu yang sangat dekat dengan saya dan saya berharap anda semua turut merasakan perkara sama. Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadapnya, begitu juga dengan setiap yang berada di sini hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia (MASS) 2026 di sini hari ini.
Norazman berkata risikan keselamatan membolehkan komuniti penerbangan menganalisis sejumlah besar maklumat termasuk rekod, bahan audit dan data keselamatan, melangkaui keupayaan kaedah sedia ada untuk memprosesnya secara berkesan.
Beliau berkata MASS 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta dengan gabungan pengalaman dan pengetahuan dianggarkan mencecah 5,000 tahun, yang boleh dimanfaatkan sebagai risikan berorientasikan tindakan bagi memperkukuh keselamatan penerbangan.
Menurut Norazman, meskipun teknologi seperti AI mampu memainkan peranan penting dalam keselamatan penerbangan, matlamat akhirnya adalah untuk mencegah kehilangan nyawa serta menyokong sasaran sifar kematian yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Ya, kita boleh memanggilnya AI atau apa juga bentuk risikan, tetapi kita berharap suatu hari nanti, selaras dengan sasaran ICAO untuk mencapai sifar kematian, kita mampu merealisasikannya menerusi apa yang kita bangunkan dengan gabungan kepakaran hebat yang ada di sini,” katanya.