Kes saman Bloomberg: Shanmugam, Tan See Leng akan derma ganti rugi kepada amal; saman fitnah lindungi integriti
Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng. (Gambar fail: CNA/Justin Tan, Alyssa Tan)
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Selasa (15 Jul) bahawa mereka akan mendermakan ganti rugi yang diberikan mahkamah dalam kes saman fitnah terhadap Bloomberg kepada badan amal.
Dalam catatan berasingan di Facebook yang dimuat naik pada Selasa malam, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya, kedua-dua menteri itu mengulangi bahawa saman tersebut adalah untuk melindungi integriti dan reputasi mereka, serta kedudukan jawatan menteri yang mereka sandang.
IKLAN
Awal dari itu pada Selasa, Mahkamah Tinggi memerintahkan Bloomberg dan Low De Wei membayar ganti rugi S$230,000 kepada setiap seorang menteri selepas mendapati mereka memfitnah kedua-duanya dengan niat jahat menerusi satu artikel mengenai urus niaga hartanah mereka yang diterbitkan pada Julai 2024.
Encik Shanmugam berkata beliau akan mendermakan ganti rugi yang diterimanya kepada badan amal, manakala Dr Tan berkata, seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini, beliau juga akan berbuat demikian.
Dr Tan berkata beliau mengalu-alukan keputusan mahkamah yang "mengesahkan bahawa tuduhan dalam artikel tersebut adalah berunsur fitnah" dan membersihkan namanya.
"Sejak awal lagi, kes ini adalah mengenai melindungi integriti dan reputasi saya, serta kedudukan jawatan yang saya sandang," tulis beliau.
Beliau menambah walaupun pemegang jawatan politik perlu terbuka kepada penelitian dan kritikan yang wajar, laporan media mestilah "adil dan tepat", khususnya apabila melibatkan dakwaan yang boleh menjejas serius reputasi seseorang.
Encik Shanmugam pula berkata beliau memilih untuk memfailkan saman fitnah itu walaupun terpaksa berdepan penelitian awam dan soal balas di mahkamah kerana membenarkan "pertubuhan yang tidak bertanggungjawab seperti Bloomberg" menerbitkan "pembohongan dan kepalsuan" mengenai pegawai awam tanpa sebarang akibat akan mewujudkan "satu norma baharu".
IKLAN
"Ini bermakna sesiapa yang mahu berkhidmat kepada masyarakat akan berdepan satu lagi halangan - iaitu pertubuhan yang mempunyai sumber kewangan besar seperti Bloomberg akan menggunakan pembohongan untuk menyerang mereka, menjatuhkan mereka dan cuba memusnahkan reputasi mereka," tulis beliau.
"Perkara seperti ini berlaku di banyak negara, dan akibatnya ramai individu yang berkelayakan enggan tampil berkhidmat kepada masyarakat. Kepentingan awam secara keseluruhan terjejas di negara-negara tersebut."
Beliau menambah pertubuhan seperti Bloomberg "tidak sepatutnya dibenarkan terlepas daripada tindakan atas kelakuan yang tidak bertanggungjawab sedemikian di Singapura".
SHANMUGAM GARISKAN PENEMUAN UTAMA MAHKAMAH
Encik Shanmugam turut menggariskan apa yang disifatkannya sebagai penemuan utama Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut.
Dalam catatannya, beliau berkata mahkamah mendapati artikel Bloomberg mengandungi kenyataan palsu yang secara langsung mencemarkan integriti peribadi, perwatakan dan reputasi profesional kedua-dua menteri, serta mendapati Bloomberg dan Low bertindak dengan niat jahat.
IKLAN
Beliau turut merujuk kepada penemuan hakim mengenai proses penyuntingan Bloomberg, dengan berkata mahkamah mendapati perbincangan dalaman Bloomberg menunjukkan artikel tersebut memang bertujuan menyasarkan kedua-dua menteri, khususnya beliau sendiri, dan bahawa naratif yang lebih luas hanyalah "helah" yang direka untuk membawa cerita tersebut.
Encik Shanmugam juga merujuk kepada penemuan mahkamah mengenai beberapa dakwaan palsu dalam artikel itu berkaitan urus niaga hartanah tanpa kaveat, pemeriksaan antipengubahan wang haram dan struktur amanah.
Beliau turut menyatakan bahawa mahkamah mengeluarkan injunksi yang melarang Bloomberg daripada terus menyebarkan artikel yang memfitnah itu dan turut memberikan ganti rugi menyusuli akibat yang teruk (aggravated damages) selepas mendapati kenyataan fitnah tersebut bukan sahaja menyerang reputasi peribadi kedua-dua menteri, malah turut menjejaskan "kedudukan jawatan menteri" serta mereka sebagai pemimpin kanan sektor awam.
LAPORAN BERKAITAN:
Shanmugam, Tan See Leng masing-masing terima ganti rugi S$230,000 dalam kes fitnah terhadap Bloomberg dan wartawannya
Kes saman Bloomberg: Shanmugam, Tan See Leng akan derma ganti rugi kepada amal; saman fitnah lindungi integriti
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Selasa (15 Jul) bahawa mereka akan mendermakan ganti rugi yang diberikan mahkamah dalam kes saman fitnah terhadap Bloomberg kepada badan amal. Dalam catatan berasingan...