Jika wang pertimbangan utama, saya tidak akan ceburi politik: Tan See Leng
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Dr Tan See Leng. (Gambar fail: CNA)
SINGAPURA: Menteri Tan See Leng pada Khamis (10 Sep) berkata jika wang menjadi pertimbangan utamanya, beliau tidak akan sekali-kali menceburi bidang politik. Beliau berkata demikian ketika mengimbas pengorbanan dari segi peribadi dan kewangan yang perlu dilakukan apabila meninggalkan sektor swasta untuk berkhidmat dalam sektor awam.
"Saya hanya merasakan bahawa saya perlu berbakti kepada negara dan rakyat yang telah memberikan begitu banyak kepada saya," kata Dr Tan semasa perbahasan di parlimen berhubung gaji pemegang jawatan politik.
IKLAN
Dr Tan, 61 tahun, kini Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan). Beliau pernah bertugas sebagai doktor dan memegang jawatan kepimpinan kanan dalam sektor penjagaan kesihatan sebelum menceburi politik pada 2020.
Pada Selasa, Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan bahawa para pemegang jawatan politik Singapura akan menerima kenaikan gaji sehingga sembilan peratus – kali pertama gaji menteri diubah sejak 2011.
Mengimbas pengalamannya sendiri, Dr Tan berkata mereka yang diminta menyertai khidmat awam perlu membuat perubahan besar dalam kehidupan, manakala pasangan dan anak-anak mereka mungkin perlu melakukan beberapa pengorbanan.
"Ya, kami berharap ramai masih akan menyahut panggilan untuk berkhidmat. Tetapi jangan lupa, pada peringkat peribadi, banyak yang perlu mereka korbankan," kata Dr Tan, sambil merujuk kepada masa, peluang pada masa depan, matlamat peribadi, privasi dan pendapatan sebagai antara kos lepas.
Sesetengah individu mungkin membuat kesimpulan bahawa "keseluruhan pengorbanan" tersebut terlalu besar, tambah beliau.
IKLAN
"Jika perkara itu berlaku terlalu kerap, Singapura yang akan rugi – bukan kerana mereka yang kami dekati tidak mempunyai keinginan untuk berkhidmat, tetapi kerana pengorbanan peribadi yang perlu dilakukan menjadi terlalu besar."
Dr Tan, yang menghabiskan lebih tiga dekad dalam sektor swasta sebelum menceburi politik, berkata tiada tahap gaji menteri yang realistik dapat menyamai pendapatannya sebelum menyertai pemerintah – atau pendapatan yang boleh terus diraihnya jika beliau kekal dalam sektor swasta.
PENGALAMAN PERIBADI
Dr Tan memulakan ucapannya dengan mengimbas kembali pengalamannya dalam sektor swasta.
Sebelum menceburi bidang politik, Dr Tan bertugas sebagai doktor. Beliau mengasaskan Healthway Medical Group dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya dari 1993 hingga 2002. Di bawah kepimpinannya, kumpulan tersebut berkembang kepada 40 lokasi dan mencatat perolehan sebanyak S$20 juta.
IKLAN
Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Urusan Parkway Pantai dari 2010 hingga 2019, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IHH Healthcare Berhad dari 2014 hingga 2019.
"Selama bertahun-tahun, tanggungjawab saya berkembang melangkaui bilik konsultasi.
"Saya berpeluang memimpin pertubuhan dan perniagaan penjagaan kesihatan, dengan peluang untuk membentuk bukan sahaja penjagaan pesakit secara individu, malah sistem jagaan kesihatan yang memberi khidmat kepada ratusan ribu orang," kata Dr Tan, sambil menyifatkan tugas tersebut sebagai "amat bermakna dan memuaskan".
Walaupun mencabar dari segi intelektual, pekerjaan itu juga "memberikan ganjaran yang lumayan", kata beliau.
Mengenai sebab beliau akhirnya meninggalkan kerjaya tersebut, Dr Tan berkata tiada satu detik tertentu yang mendorong keputusannya.
IKLAN
"Ia merupakan kesedaran yang timbul secara beransur-ansur dan semakin kuat bahawa segala pengalaman yang saya kumpulkan sepanjang bertahun-tahun dalam sektor swasta mungkin boleh dimanfaatkan dengan cara berbeza – bukan sekadar mengubah kehidupan beberapa orang pada satu-satu masa atau membangunkan sebuah pertubuhan, tetapi untuk berbakti kepada negara dan rakyat saya.
"Jadi apabila peluang untuk berkhidmat muncul, saya tampil ke hadapan."
Jawatan politik lebih mencabar, dengan waktu kerja yang lebih panjang, tanggungjawab yang lebih berat dan keputusan yang tertakluk kepada penelitian, selain perbezaan yang tipis antara tugas awam dengan kehidupan peribadi, kata beliau.
Namun, Dr Tan berkata beliau melihat khidmat awam sebagai satu panggilan yang istimewa tetapi mencabar.
Beliau menambah bahawa pemerintah "tidak seperti mana-mana pertubuhan" yang pernah disertainya, dengan pelbagai isu rumit dan pertimbangan yang mencabar yang perlu dibuat.
"Bagi saya, proses pembelajaran bukan sahaja sangat mencabar, malah menyedarkan saya betapa banyak yang masih perlu dipelajari ... sehingga hari ini," kata Dr Tan.
"Walaupun mempunyai pengalaman dalam kepimpinan selama berdekad-dekad, saya mendapati diri saya masih perlu mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari – memahami bagaimana pemerintah benar-benar berfungsi, bagaimana dasar saling berkait; belajar untuk mendengar dengan lebih baik, mengimbangi kepentingan yang berlawanan; dan memahami bahawa niat baik sahaja tidak pernah mencukupi."
Dr Tan berkata beliau kadangkala bertanya kepada dirinya sama ada keputusan untuk menceburi politik merupakan pilihan yang tepat.
"Adakah saya sudah terlalu banyak berkorban; adakah saya benar-benar melakukan kebaikan sehingga dapat mewajarkan pilihan saya untuk berkhidmat dalam sektor awam?
"Hakikatnya, khidmat politik menuntut jauh lebih banyak daripada mereka yang memilih untuk berkhidmat."
TEMPOH LEBIH PANJANG
Dr Tan turut mengenang keputusannya menceburi politik pada usia yang agak lewat, sambil berkata beliau pernah terfikir bagaimana keadaannya jika beliau berpeluang berkhidmat lebih awal – ketika berusia 40-an berbanding 50-an.
"Ada kalanya, saya berharap saya dapat membuat persediaan yang lebih baik untuk memegang jawatan awam. Mungkin jika saya mempunyai tempoh yang lebih panjang, saya dapat menyumbang lebih banyak dan menjadi lebih berguna kepada Singapura," kata beliau.
Dr Tan mengakui ia bukan mudah bagi golongan profesional dan eksekutif muda untuk meninggalkan kerjaya yang sudah dibina selama bertahun-tahun.
Dr Tan merujuk kepada Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan mantan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, yang merupakan pakar bedah sebelum menceburi politik.
"Gaji menteri mereka tidak mungkin dapat menyamai pendapatan yang mereka korbankan," kata beliau.
Dilema sama mungkin dihadapi seorang usahawan yang perniagaannya baru mula berkembang dengan pesat, seseorang dalam sektor kewangan yang mula menikmati ganjaran besar selepas bertahun-tahun bekerja, atau seorang eksekutif pertengahan kerjaya yang semakin maju sambil menyara ibu bapa yang semakin berusia dan membesarkan anak-anak.
Namun, mereka merupakan antara individu yang pengalamannya boleh memberi manfaat kepada Singapura sekiranya memilih untuk berkhidmat dalam sektor awam, kata Dr Tan.
"Mereka yang menceburi politik ketika berada di kemuncak kerjaya mempunyai tempoh yang mencukupi untuk menimba pengalaman daripada pemimpin lebih kanan, sebelum memberikan sumbangan berkekalan kepada Singapura."
TIDAK BOLEH DIDORONG KEUNTUNGAN KEWANGAN
Dr Tan berkata perbahasan itu bukan mengenai sama ada khidmat awam harus didorong oleh wang.
"Tiada persoalan mengenainya: Ia tidak boleh sesekali didorong oleh keuntungan kewangan," kata beliau.
Matlamatnya juga bukan untuk memastikan para menteri dapat memperoleh pendapatan yang sama seperti yang boleh diraih dalam sektor swasta, katanya, sambil menyifatkan perkara itu sebagai "mustahil".
Sebaliknya, persoalan lebih asas adalah sama ada Singapura dapat terus memikat individu berkebolehan, berintegriti dan berpengalaman daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai khidmat politik, termasuk mereka yang berada di kemuncak kerjaya, dan bukan hanya mereka yang sudah mengumpul kekayaan.
"Jika kos peribadi untuk menyertai khidmat awam menjadi terlalu tinggi bagi terlalu ramai rakyat Singapura yang berkebolehan, lama-kelamaan kita akan mengecilkan kelompok individu yang boleh dipilih untuk menjadi pemimpin negara," kata beliau.
"Dan ... kos itu jauh lebih besar daripada sebarang jumlah gaji yang kita bahaskan di Dewan ini."
Pada akhirnya, kekuatan pemerintah tidak bergantung kepada jumlah yang dibayar kepada mereka yang berkhidmat, tetapi sama ada ia dapat terus memikat individu terbaik, tambah beliau.
"Jika wang pertimbangan utama, saya tidak akan ceburi politik": Tan See Leng
Menteri Tan See Leng pada Khamis (10 Sep) berkata jika wang menjadi pertimbangan utamanya, beliau tidak akan sekali-kali menceburi bidang politik.