Shanmugam, Tan See Leng masing-masing terima S$145,000 bagi kos guaman kes saman fitnah Bloomberg
Wartawan Bloomberg, Low De Wei, tiba di Mahkamah Agung pada 7 April 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
SINGAPURA: Menteri Kanan K Shanmugam dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Tan See Leng, masing-masing diberikan S$145,000 bagi kos guaman selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Bloomberg dan seorang wartawannya.
Awal bulan ini, mahkamah memutuskan bahawa artikel Bloomberg yang diterbitkan pada Disember 2024 mengenai urus niaga Good Class Bungalow (GCB) memfitnah kedua-dua menteri berkenaan.
IKLAN
Bloomberg dan wartawannya, Low De Wei, turut diarahkan membayar S$230,000 sebagai ganti rugi kepada setiap seorang menteri.
Butiran mengenai kos guaman itu dikongsi kepada pihak media menerusi petikan nota prosiding mahkamah.
Pecahan kos menunjukkan setiap menteri diberikan S$50,000 bagi kerja-kerja sebelum perbicaraan, S$65,000 bagi perbicaraan, dan S$30,000 bagi kerja-kerja selepas perbicaraan.
ARTIKEL DIFAHAMKAN MEMFITNAH
Artikel Bloomberg itu bermula dengan dakwaan bahawa golongan paling kaya di Singapura semakin merahsiakan pembelian hartanah mewah mereka.
IKLAN
Selepas merujuk kepada kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion, yang menyebabkan para individu terlibat disabitkan kesalahan, dihukum penjara dan diekstradisi ke negara asal, artikel itu menyatakan pembeli hartanah mewah lebih gemar merahsiakan urus niaga mereka.
Artikel tersebut kemudian menamakan kedua-dua Encik Shanmugam dan Dr Tan sambil merujuk kepada urus niaga GCB masing-masing.
Bloomberg dan Encik Low mempertikaikan dakwaan itu dengan menyatakan artikel berkenaan menyentuh trend lebih meluas dalam pasaran GCB di Singapura, dan bukannya mengenai kedua-dua menteri secara peribadi atau sebarang salah laku oleh mereka.
Bagaimanapun, hakim menolak hujah tersebut dan memutuskan bahawa apabila dibaca secara keseluruhannya, artikel itu mengaitkan urus niaga kedua-dua menteri dengan dakwaan mengenai kerahsiaan, ketelusan dan pengubahan wang haram, sekali gus mewujudkan tanggapan yang memfitnah.
Hakim turut menolak pembelaan Reynolds, iaitu pembelaan berasaskan kepentingan awam di bawah undang-undang Britain, kerana ia bukan sebahagian daripada undang-undang Singapura.
IKLAN
Bloomberg enggan mengulas apabila dihubungi mengenai perintah mahkamah berhubung kos guaman tersebut.
Shanmugam, Tan See Leng masing-masing terima S$145,000 bagi kos guaman kes saman fitnah Bloomberg
Menteri Kanan K Shanmugam dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Tan See Leng, masing-masing diberikan S$145,000 bagi kos guaman selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Bloomberg dan seorang wartawannya.