combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
'Jejari Emas' Bukti Usia Bukan Penghalang Hasilkan Antologi Cerpen
Naskhah buku 'Antologi Cerpen Jemari Emas Jambangan Pelangi' yang diluncurkan sempena program 'Bernama Radio Focus 30' di Konti Bernama Radio, Wisma Bernama.
Bermula dengan perbualan santai ketika bercuti, sekumpulan penulis warga emas membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk berkarya apabila berjaya menghasilkan Antologi Cerpen Jemari Emas: Jambangan Pelangi dalam tempoh kurang setahun.
Menghimpunkan 18 cerpen daripada 10 penulis berusia 60-an dan 70-an, antologi terbitan Pena Padu Press itu diusahakan secara swaterbit atau terbit sendiri dengan cetakan pertama kira-kira 1,000 naskhah dan sempat diterbitkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.
Penulis dan novelis Ruhayah Mahmod atau nama penanya Puteri Andalas berkata idea penerbitan antologi itu merupakan kesinambungan daripada naskhah buku pantun yang dihasilkan gabungan penulis berkenaan bersama Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, sebelum ini.
Beliau berkata daripada perancangan awal itu, kumpulan tersebut kemudian menarik penyertaan rakan penulis lain sehingga terbentuk gabungan 10 penulis warga emas yang dinamakan Jemari Emas.
“Secara kebetulan, 10 penulis yang menyertai projek ini semuanya dalam kalangan warga emas. Jadi kami pun menggelarkan kumpulan ini sebagai Jemari Emas kerana ia menghimpunkan penulis yang masih mahu terus berkarya walaupun usia semakin meningkat," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Fokus 30 Bernama Radio, di sini, hari ini.
Ruhayah, 77, berkata 18 cerpen yang dihasilkan merangkumi pelbagai tajuk dan tema yang banyak bertitik tolak daripada pengalaman hidup serta pemerhatian terhadap masyarakat.
Katanya, projek itu pada mulanya hanya melibatkan lima penulis, namun jumlah berkenaan ditambah bagi memastikan antologi tersebut mempunyai kandungan yang lebih lengkap dan seimbang sebagai sebuah buku cerpen.
“Memang kami buat laju kerana mahu mengejar tarikh PBAKL. Tidak sampai setahun buku ini sudah siap, namun cabarannya ialah menyelaraskan karya daripada 10 penulis kerana pada awalnya projek ini hanya bermula dengan lima penulis.
“Selain itu, buku ini diterbitkan secara swaterbit, jadi masing-masing mengeluarkan modal sendiri mengikut jumlah naskhah yang ditempah. Alhamdulillah, akhirnya kami sempat menyiapkannya,” katanya.