Wartawan Redah Laluan Sukar Kongsi Realiti Kehidupan Masyarakat
Wartawan New Straits Times, T N Alagesh (dua, kanan) dan Kosmo! Abdul Rashid Abdul Rahman (kiri) ketika membuat liputan di SK Lenjang, Lipis pada 2017. Kredit: Alagesh
Di sebalik kejayaan menjejaki dan menyelamatkan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih, terselit sebuah kisah lain yang jarang disedari ramai, iaitu perjalanan sukar untuk membawa berita itu keluar dari sebuah perkampungan Orang Asli yang terpencil di pedalaman Perak.
Penemuan Jaslinda yang selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah oleh penduduk Orang Asli bukan sahaja meredakan kebimbangan ramai, tetapi turut menarik perhatian kepada sebuah komuniti di pedalaman, selain cabaran petugas media mendapatkan perkembangan sebenar dari lokasi kejadian.
Perjalanan ke Pos Musoh bukanlah sesuatu yang mudah, apabila laluan balak dengan perjalanan lebih dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), merupakan satu-satunya akses utama melalui jalan berbatu, berlumpur dan terasing jauh daripada kemudahan asas.
Bagi petugas media, usaha mendapatkan laporan dari kawasan itu bukan sekadar tugasan harian, sebaliknya satu ujian ketahanan fizikal dan komitmen terhadap tanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Namun kesukaran itu, turut membuka realiti kehidupan komuniti Orang Asli di pedalaman yang masih bergelut dengan isu infrastruktur asas termasuk keadaan jambatan kayu yang uzur di kawasan kejadian.
Hakikatnya, kisah Jaslinda hanyalah satu daripada banyak cerita yang wujud di kawasan pedalaman yang sukar dijejaki media, walaupun sarat dengan nilai kemanusiaan, budaya dan cabaran hidup komuniti Orang Asli.
Mengambil contoh di Pahang, yang mempunyai populasi masyarakat Orang Asli terbesar di Semenanjung dengan hampir 85,000 orang pada 2024, sebahagian besar komuniti masih menetap di kawasan pedalaman dan pinggir hutan, sekali gus menjadikan usaha mendapatkan maklumat di lapangan semakin mencabar.
Bagi wartawan New Straits Times (NST) Pahang T N Alagesh, 46, pengalaman membuat liputan di kawasan pedalaman sejak 2007 bukan sekadar tugasan, tetapi perjalanan yang mengubah perspektif terhadap kehidupan masyarakat Orang Asli.